Ikon Sukarelawan Lelaki 2021 kongsi 4 kemahiran penting yang perlu semua hadam
Ramai anak-anak muda mula memenuhi masa lapang mereka dengan menjadi seorang sukarelawan.
Walaupun kerja-kerja sukarela yang dilakukan itu kadangkala perlu mengorbankan pelbagai perkara, namun mereka tidak kisah asalkan apa yang dibuat dapat memberi kebahagiaan kepada invidivu terlibat.
Bagi Ikon Sukarelawan Lelaki 2021, Mohammad Fauzi Acho, 26, tugas seorang sukarelawan bukanlah satu tugas yang mudah untuk digalas.
“Banyak cabaran yang perlu dilalui oleh para sukarelawan sepanjang penglibatan mereka dalam bidang ini.
“Namun, saya menaruh keyakinan bahawa khidmat yang diberikan oleh mereka ini pasti akan memberi manfaat kepada masyarakat dan juga orang-orang sekeliling,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian), Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Menurut anak kelahiran Tawau, Sabah ini, individu yang memilih untuk melibatkan diri dalam sukarelawan sebenarnya telah membuat keputusan yang tepat.
“Selain menimba banyak pengalaman, mereka juga perlu memiliki pelbagai kemahiran penting yang bukan sahaja boleh diaplikasikan dalam kesukarelawanan tetapi boleh digunakan untuk bidang yang lain juga,” ujar anak ketujuh daripada sembilan beradik ini lagi.
Fauzi berkata, antara kemahiran insaniah yang perlu dimiliki sukarelawan ialah keusahawanan, vokasional, berorganisasi atau kerja berpasukan dan kreatif serta inovatif.
Bagi kemahiran keusahawanan, Fauzi berkata, setiap sukarelawan ditugaskan mencari dana bagi sesebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang disertai.
“Proses mencari dana bukan senang. Kita perlu ada ilmu pengetahuan yang lengkap untuk menarik penyumbang membantu NGO yang disertai.
“Dalam konteks ini, sukarelawan akan berusaha mencari dana yang diperlukan dan ini secara tidak langsung dapat memupuk keusahawanan dalam diri,” jelasnya.
Kedua, para sukarelawan perlu miliki kemahiran vokasional di mana perkara-perkara berkaitan pertukangan, videografi, fotografi, penulisan, kewartawanan dan banyak lagi perlu diterapkan dalam diri.
Seterusnya, kemahiran berorganisasi atau kerja berpasukan yang merangkumi pelbagai kemahiran bukan akademik seperti nilai-nilai positif, kepimpinan, komunikasi dan pembelajaran berterusan.
"Sukarelawan juga perlu ada kemahiran kreatif dan inovatif ketika beraktiviti," ulasnya yang merupakan penerima Anugerah Ikon Sukarelawan Lelaki 2021 pada Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Peringkat Kebangsaan di Ipoh, Perak, baru-baru ini.
Penglibatan sebagai sukarelawan
Sikap suka membantu orang lain sememangnya sudah ada dalam diri Fauzi sejak dari kecil lagi.
Ini kerana, dia telah dididik oleh kedua orang tuanya agar sentiasa menolong mereka yang ditimpa musibah, tanpa mengira latar belakang, agama dan bangsa.
Cuma katanya, keterlibatan secara serius dalam aktiviti kesukarelawan bermula ketika dia menyambung pengajian di UIAM.
“Di universiti, saya teroka banyak perkara. Antaranya berpeluang menyertai pelbagai misi kemanusiaan, seperti Misi Kemanusiaan Musim Sejuk Pelarian Syria di Gaziantep, Turki yang telah menjadikan diri seorang yang sangat menghargai kehidupan yang diberi ALLAH. Insya-ALLAH, pengalaman ini akan saya kenang sampai bila-bila,” ujarnya.
Akhir sekali, sedikit nasihat daripada Fauzi untuk anak-anak muda di luar sana.
“Apabila kita memilih untuk menjadi sukarelawan, bantuan yang dihulurkan mestinya tanpa syarat. Wajib bantu tanpa mengira siapa pun mereka.
"Selain itu, sukarelawan juga harus meletakkan satu prinsip dalam diri bahawa apa jua bentuk bantuan yang diberikan, jangan harapkan balasan,” katanya.
INFO
Anugerah/ Pencapaian:
1) Ikon Sukarelawan Belia Malaysia (Kebangsaan) 2021
2) Tokoh Siswa Kebangsaan (anugerah Kemanusiaan- Kebangsaan) 2021
3) Anugerah Perdana Belia Negara (kategori Emas Remaja Perdana-Kebangsaan) 2020
4) Anugerah Khas Emas Remaja Perdana Sabah (Negeri) 2020
5) Malaysia Gold Award For Young People By HRH, The Prince Edward, Earl of Wessex (Antarabangsa) 2019
6) Anugerah Perdana Belia Negara bagi Negeri Sabah (Negeri) 2019
7) Touch ‘n Go CEO Special Award, Outstanding Student Monstar Awards (Antarabangsa) 2019
8) Top 50 Student Key Opinion Leaders In Monstar Awards (Antarabangsa) 2019
9) Volunteer Leader Award (terbuka), Stewards IIUM (Kebangsaan) 2019
10) Anugerah Kepimpinan Siswa, Biasiswa Tamanni Project (Kebangsaan) 2019
11) Tokoh Belia Sabah (Negeri) 2012
Penglibatan Antarabangsa:
1) Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) Academic Fellowship, Arizona State University, USA, 2020
2) Malaysian Ambassador to UN Youth Plenary and ECOSOC Youth Forum, New York, 2020
3) Programme Director to Gaziantep, Turkey, Humanitarian Mission for Syrian Refugees, 2020
4) Head of IIUM Delegation to Dubai, UAE, Educational Visit Programme, 2020
5) Malaysian Youth Representative to Korea, Youth Exchange Programme under the Ministry of Youth and Sports, Malaysia, 2019
6) Head of IIUM Delegation to Korea, Malaysian Students for Peace Leadership Conference, 2019
7) Malaysian Youth Ambassador to Cambodia, ASEAN-ROK Youth Exchange Visit under the Ministry of Youth and Sports, Malaysia, 2019
8) Malaysian Delegation to the Netherlands, Youth and Young Professional Leaders Programme, 2019
9) Malaysian Delegation to Essen University, Germany, Educational Visit Programme, 2019
10) Head of Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Law, IIUM Delegation to Universitas Islam Indonesia, Yogyakarta, Indonesia, Students Exchange Programme, 2019
11) Speaker of International Students Conference in Bandung, Indonesia, Constitutional Protection of Human Rights in Malaysia, 2018
Artikel berkaitan
7 peralatan penting untuk membersihkan kotoran akibat banjir
10 petua menjadi pemidato hebat, ini perkongsian Ikon Pemidato Malaysia