WhatsApp Image 2022-01-11 at 12.37.11 PM
WhatsApp Image 2022-01-11 at 12.37.11 PM

331 pelajar Malaysia raih Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge siri Jun 2021! Anak muda kita memang luar biasa

webadmin
11 Jan 2022 08:04pm
A
A
A

Meskipun terpaksa berdepan pelbagai cabaran dalam menyesuaikan diri dengan pembelajaran maya dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berpanjangan, pelajar-pelajar Malaysia terus mempamerkan kecekalan dan kecemerlangan dalam Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge.

Pengarah Serantau Asia Tenggara & Pasifik, Cambridge International, Dr Ben Schmidt berkata, Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge itu telah mengiktiraf pencapaian 331 pelajar daripada 78 sekolah di Malaysia dan memperakui pencapaian cemerlang mereka dalam siri peperiksaan Jun 2021 yang lalu.

“Kami dengan bangganya meraikan pencapaian para pelajar di Malaysia dan dalam masa yang sama memahami kesukaran yang mereka hadapi. Namun pelajar-pelajar tetap cekal dalam usaha mencari ilmu.

“Anugerah kali ini bukan sahaja meraikan kecemerlangan pendidikan mereka, tetapi turut mengiktiraf kekuatan mental dalam mendepani cabaran pembelajaran maya.

“Semoga ia akan menjadi pemangkin semangat dan motivasi untuk generasi yang akan datang,” katanya.

Baca juga Tebar roti canai 60 keping sehari, murid Tahun 1 SK Seri Tunjong banggakan keluarga!

Baca juga Heliza dan Hazwani aktif sertai misi kemanusiaan, berdepan pelbagai cabaran sebagai aktivis dan sukarelawan

Anugerah yang dianjurkan pada setiap tahun mengiktiraf pencapaian pelajar yang luar biasa dalam peperiksaan Cambridge di seluruh dunia iaitu Cambridge IGCSE dan Cambridge International AS & A Level.

Ia terbahagi kepada empat kategori iaitu Terbaik di Dunia (Top in the World), Terbaik di Malaysia (Top in Malaysia), Anugerah Pencapaian Tinggi (High Achievement Award) dan Terbaik Antara Mata Pelajaran (Best Across Subjects).

Salah satu daripada tumpuan utama tahun ini termasuklah empat calon yang berjaya menerima anugerah Terbaik di Malaysia untuk IGCSE Bahasa Pertama Bahasa Malaysia Cambridge International.

Tahun ini menandakan peperiksaan pertama untuk sukatan pelajaran baru yang telah diperkenalkan Cambridge International bagi menggalakkan pengajian dan penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar tempatan dan antarabangsa.

13 pelajar terima anugerah

Sementara itu, 13 pelajar telah menerima anugerah Terbaik di Dunia dalam Matematik untuk Cambridge International AS Level.

Anugerah-anugerah lain yang turut disampaikan ialah Terbaik Antara Tiga Mata Pelajaran Cambridge International A Level, Terbaik Antara Empat Mata Pelajaran Cambridge International AS Level dan Terbaik Antara Lapan Mata Pelajaran Cambridge IGCSE, bagi pelajar-pelajar yang menduduki tempat pertama di Malaysia mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Antara penerimanya ialah Chai Zi Yang dari Kolej Sunway, yang menerima anugerah Terbaik Antara Tiga Mata Pelajaran Cambridge International A Level.

Menurut Zi Yang, tahun lepas merupakan tahun yang amat mencabar bagi pelajar seperti mereka.

“Kami sukar menyesuaikan diri dengan pembelajaran maya kerana kurang maklum balas daripada guru berbanding kelas fizikal.

“Mujur guru-guru saya dapat menyesuaikan diri dengan situasi tersebut dan cepat mengatasi isu-isu berkenaan.

“Selain daripada itu, saya mendapati bahawa disiplin kendiri adalah kunci kepada kejayaan dalam persekitaran pembelajaran maya, di mana saya telah membuat sebuah jadual waktu bagi menyusun jadual ulang kaji, tekun mengambil nota dan sentiasa proaktif bertanyakan kepada guru bagi mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.

Ujarnya lagi, dia cukup gembira apabila dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan.

“Sukatan pelajaran Cambridge A Level meliputi pelbagai topik yang meluas namun tetap mendalam yang mana ia telah membantu saya dalam menentukan langkah seterusnya.

“Mata pelajaran yang paling saya gemari ialah yang berkaitan dengan kejuruteraan, seperti Matematik dan Sains di mana ia telah memberi dorongan kepada saya untuk meneruskan pengajian tinggi dalam bidang kejuruteraan elektrik,” jelasnya.

Sementara itu, Chow Yue Yao dari Sekolah Antarabangsa Tenby berkata, pengajian di Cambridge IGCSE telah mengajarnya banyak perkara selain daripada ilmu pengetahuan yang diraih menerusi mata pelajaran.

“Saya benar-benar menikmati proses pembelajaran dan memahami konsep-konsep yang berbeza kerana saya sedar bahawa kebanyakan daripada perkara yang telah dipelajari boleh diterapkan ke dalam kehidupan seharian,” kata Yue Yao.

Zi Yang dan Yue Yong antara pelajar Malaysia yang mendapat pengiktirafan kerana pencapaian mereka selama ini dengan beberapa pelajar memenangi lebih daripada satu anugerah dalam Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/ 

Senarai pelajar yang menerima beberapa anugerah dan/atau tempat pertama di Malaysia dalam kategori kelayakan masing-masing ialah:

1) Chow Yue Yao dari Tenby International School - Anugerah Terbaik di Malaysia (Kimia, Reka Bentuk & Teknologi dan Fizik)

2) Lee Hui Xi dari The International School @ Parkcity - Anugerah Terbaik di Dunia (Bahasa Asing Mandarin Cina) dan Terbaik di Malaysia (Seni & Reka Bentuk).

3) Cheok Hui Qi dari Regent International School - Anugerah Terbaik di Dunia (Bahasa Asing Mandarin Cina) dan Terbaik di Malaysia (Bahasa Asing Malaysia).

4) Lim Ee Than dari Regent International School - Anugerah Terbaik Antara Lapan Mata Pelajaran Cambridge IGCSE (Tempat Pertama di Malaysia)

5) Tan Yaann dari Kolej Yayasan UEM - AnugerahTerbaik di Malaysia (Ekonomi dan Geografi)

6) Lucius Khor Zhe Yi dari Sunway College - Anugerah Terbaik di Dunia (Matematik), Terbaik di Malaysia (Kimia) dan Terbaik Antara Empat Mata Pelajaran Cambridge International AS Level (Tempat Pertama di Malaysia)

7) Chai Zi Yang dari Sunway College - Anugerah Terbaik di Dunia (Matematik), Terbaik di Malaysia (Fizik) dan Terbaik Antara Tiga Mata Pelajaran Cambridge International A Level (Tempat Pertama di Malaysia)

Dalam pada itu, Pengarah Negara Malaysia dan Brunei, Cambridge Assessment International Education, Ng Kim Huat berkata, pencapaian tahun ini bukan sahaja untuk meraikan para pelajar tetapi juga bukti kepada kualiti kepimpinan pihak yang terlibat.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan atas sokongan mereka dalam usaha membolehkan pelajar di seluruh Malaysia menduduki peperiksaan mereka, walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran yang berterusan.

“Tidak dilupakan juga barisan pendidik berdedikasi yang memainkan peranan penting dalam mendidik pelajar cemerlang ini kerana menerusi usaha mereka inilah, kita dapat memastikan masa depan yang cerah untuk generasi muda,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok