1412734
1412734

Nurin Nabihah impi bergelar atlet negara

Roshlawaty Md Raieh
19 Jan 2022 05:09pm
A
A
A

Kehebatan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei beraksi di gelanggang menyebabkan dirinya menjadi idola ramai tanpa mengira peringkat umur.

Dalam diam, tidak sedikit yang menyimpan impian mahu berjaya seperti beliau yang berjaya mengharumkan negara di peringkat dunia.

Kepada atlet badminton Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nurul Ittifaq, Besut, Terengganu, Nurin Nabihah Ahmad Suhaily, Chong Wei adalah satu-satunya idola yang dikaguminya.

Pelajar Tingkatan Lima yang berasal dari Setiu, Terengganu itu berkata, sukan badminton sangat diminatinya sejak kecil.

“Sejak berumur lapan tahun saya menjalani latihan di bawah bimbingan ayah, Ahmad Suhaily Mohd Salleh.

“Kata ayah, dia mahu anak-anaknya mahir dalam sukan badminton supaya boleh menjadi pelapis negara suatu hari ini,” kata atlet badminton negeri Terengganu ini.

Nurin Nabihah bersama pasukan Terengganu sewaktu menyertai pertandingan badminton lalu.

Sejak mewakili Terengganu, masa untuk Nurin Nabihah menyertai aktiviti-aktiviti luar begitu terhad.

“Saya terpilih menjadi atlet Terengganu ketika saya bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit (BRaInS).

“Ketika itu, masa sangat terbatas kerana setiap hujung minggu, saya perlu menjalani latihan bersama tiga jurulatih iaitu Cikgu Zukni Din@Yusof, Cikgu Mohd Zulkifli Abdul Rashid dan Ustaz Wan Safuan Wan Jusoh.

“Jadual latihan akan berubah sekiranya saya terpilih menyertai kejohanan badminton kerana latihan berlangsung setiap hari, bermula dari pagi hingga ke malam.

“Sebab itulah, saya tidak mempunyai masa untuk ikuti aktiviti lain kerana dunia saya hanyalah sukan badminton,” ujarnya.

Baca juga Ratu Badminton, Goh Liu Ying miliki pakej sempurna hingga jadi idola ramai

Baca juga Profesor Dr Haim Hilman, Naib Canselor baharu UUM

Pengalaman dan cabaran

Sepanjang penglibatan dalam arena badminton, Nurin Nabihah memberitahu, pelbagai pengalaman manis dan pahit telah dilaluinya.

“Peluang bersemuka dan menjalani sesi latihan bersama legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek akan diingati sampai bila-bila.

“Beliau banyak memberi sokongan dan motivasi untuk saya terus kekal dalam sukan ini.

“Legenda ini juga ada menghadiahkan buku mengenai pengalamannya dalam sukan badminton dan sempat berkongsi tip-tip penting jika mahu jadi seperti beliau,” katanya yang kini mengehadkan pembabitannya dalam sukan badminton bagi memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Anak kedua daripada enam adik beradik ini menjelaskan, persaingan dan kesukaran membahagikan masa antara akademik dan kokurikulum antara cabaran yang paling besar perlu dilaluinya.

“Dalam sukan badminton, persaingan adalah cabaran yang tidak boleh dielakkan. Bila lihat pemain lain hebat di gelanggang, rasa tergugat sekejap.

“Tapi, apabila jurulatih bagi kata-kata semangat, ditambah dengan kehadiran ahli keluarga pada setiap kali kejohanan, saya kuatkan hati dan laungkan kata-kata, ‘Aku mesti menang’,” ulasnya.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Tip mahir badminton

Nurin Nabihah berkata, jika rakan-rakan pelajar ingin aktif dalam sukan badminton, mereka perlu berpegang kepada empat tip penting.

“Anda perlu mempunyai semangat dalam diri dan jangan cepat putus asa. Mesti jujur dengan diri sendiri ketika melakukan apa yang disuruh oleh jurulatih.

“Wajib konsisten dalam semua sesi latihan dan yang terakhir, ambil serius dengan nasihat dan pesanan yang diberikan jurulatih masing-masing,” katanya.

Harapan Nurin Nabihah, dia akan terus cemerlang dalam sukan badminton dan terpilih sebagai antara atlet yang mewakili negara suatu hari nanti.

Mengharumkan nama BRaInS dengan kejayaannya dalam sukan badminton pada tahun 2018.

INFO

Anugerah dan pencapaian:

  • Wakil daerah ke peringkat negeri Terengganu pada tahun 2014, 2015, 2016
  • Menyertai Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan Nusa Mahsuri di Kompleks Belia dan Sukan Terengganu peringkat negeri 2015 hingga terpilih ke Kejohanan Badminton peringkat kebangsaan
  • Tempat kedua peringkat kebangsaan sukan badminton di TNB Integrated Learning Solution (ILSAS) pada 2015
  • Terpilih ke peringkat negeri Terengganu pada 2014, 2015 dan 2016 dalam kejohanan badminton
  • Anugerah Olahragawati Harapan 2018 dan 2019 peringkat sekolah
  • Johan acara lontar peluru peringkat sekolah dan daerah
  • Tokoh Pelajar Kokurikulum Sekolah 2016
  • Tempat ketiga peringkat negeri dalam sukan bola tampar

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok