rafiq-portal
rafiq-portal

Inovasi rekaan fesyen, tampil kelainan untuk seiring dengan trend terkini

Mariatul Qatiah Zakaria
20 Sep 2021 02:44pm
A
A
A

Seluar bootcut, yenkee, skirt denim, dan baju kurung Saloma antara inovasi yang dapat dilihat dalam dunia fesyen tempatan.

Tidak dinafikan perubahan ini berlaku saban tahun dan rekaannya pasti mengikut trend semasa.

Inovasi dalam fesyen lazimnya akan melibatkan rekaan, warna, jenis kain, peralatan dan terkini, penggunaan teknologi dalam pembuatannya.

Menurut Pengurus D’ratisya Business, Rafiq Mazelan, 29, fesyen dan inovasi adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan kerana rekaan terbaharu pasti dikeluarkan dalam usaha mengikut peredaran zaman.

Tambahnya, selari dengan perkembangan teknologi semasa, inovasi dalam industri fesyen hari ini turut meliputi pelbagai komponen seperti penghasilan fabrik daripada benang serat daun nanas serta aksesori kepala dan anting-anting.

“Kita tidak boleh menafikan inovasi dalam dunia fesyen hari ini ‘dituntut’ untuk sentiasa seiring dengan trend terkini.

“Tambahan pula dengan kemunculan pereka-pereka muda yang sangat kreatif dengan pelbagai idea turut memeriahkan lagi rekaan fesyen tempatan.

“Untuk itu sesiapa sahaja yang menghasilkan inovasi, mereka bukan sahaja perlu kreatif tetapi juga mampu bertahan untuk terus ‘berkarya’,” ujarnya.

Mereka yang terlibat dalam industri fesyen mesti menguasai kemahiran memotong.

Kreatif elemen penting

Sambungnya, kreatif adalah antara elemen asas yang penting dan saling berkait dengan inovasi sesuatu produk khususnya dalam konteks keusahawanan dan perniagaan.

Ini dapat dibuktikan apabila dia yang mengusahakan perniagaan pakaian seragam (uniform) mengakui perlu menampilkan rekaan yang melambangkan identiti sesebuah organisasi tersebut.

Katanya, walaupun terdapat perbezaan inovasi dalam penghasilan rekaan bagi fesyen pakaian semasa dan juga pakaian seragam, hakikatnya kreativiti memainkan peranan penting dalam setiap rekaan terkini.

“Walaupun tumpuan perniagaan saya lebih kepada pakaian seragam jururawat dan kakitangan hospital tetapi bagi hospital-hospital swasta apabila sampai satu tahap mereka juga memerlukan pembaharuan untuk kelihatan ‘terkini’.

“Untuk itu saya tidak terkecuali menghasilkan rekaan terbaharu yang segar di samping mengikut peredaran zaman.

“Ini menunjukkan bahawa tidak kira pakaian tersebut formal atau tidak, ia pasti memerlukan inovasi dalam setiap rekaannya,” tuturnya lanjut.

Inovasi dalam rekaan fesyen tidak terkecuali untuk pakaian seragam.

Inovasi sepanjang masa

Bukan itu sahaja, malah ulas Rafiq, inovasi dalam industri fesyen hari ini boleh dikatakan berlaku sepanjang masa dan tidak lagi mengikut musim.

Jelasnya, jika dahulu pereka-pereka fesyen akan sibuk berinovasi setiap kali tibanya tahun baharu tetapi sejak kebelakangan ini mereka akan menampilkan sesuatu yang segar mengikut musim.

“Di Malaysia kita tidak mempunyai musim-musim seperti di luar negara jadi pereka-pereka fesyen akan memberi tumpuan setiap kali tibanya musim perayaan dan juga untuk perkahwinan.

“Contohnya kain songket yang kembali diminati dan menjadi pilihan bakal pengantin dan pastinya ia ‘tidak lapuk ditelan zaman’.

“Ini akan membuatkan pereka-pereka muda terutamanya akan menampilkan pelbagai idea rekaan yang terkini, menepati pilihan generasi hari ini yang bukan sahaja dapat menarik perhatian penggemar fesyen tempatan tetapi juga luar negara.

“Dan perlu diingatkan inovasi tidak hanya terhad kepada penghasilan rekaan pada pakaian tetapi turut meliputi pelbagai pilihan aksesori yang pastinya akan memberi impak kepada inovasi fesyen yang dihasilkan,” kata pemegang diploma dalam jurusan fesyen ini lagi.

Bercerita pula mengenai perniagaan yang diusahakannya sejak lima tahun lalu, bapa kepada seorang cahaya mata ini memberitahu, dia memilih untuk mengusahakan perniagaan pakaian seragam kerana berpendapat ia dapat bertahan lama.

Bukan tidak berani untuk turut serta dalam industri fesyen tempatan menghasilkan pakaian semasa tetapi apa yang dilakukannya hanyalah untuk memenuhi kekosongan yang ada.

“Kalau kita bercakap mengenai industri fesyen, ia sebenarnya tidak tertumpu kepada butik dan juga baju-baju untuk pakaian harian mahupun bermusim.

“Bidang dalam industri fesyen ini luas. Untuk pengetahuan semua, mereka yang mengambil jurusan fesyen juga boleh menjadi seorang penata gaya, pensyarah dan juga bekerja di belakang tabir.

“Apa pun yang penting, pelajar-pelajar jurusan fesyen ini perlulah berkemahiran menguasai semua ilmu dan juga teknik-teknik dalam industri ini seperti memotong, melukis dan menjahit selain perlu kreatif untuk tampil dengan pelbagai idea segar dan terkini,” jelasnya sebelum mengakhiri bicara.

D'ratisya Business menumpukan perniagaan pakaian seragam.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok