alia azhari profesor dr Pensyarah hasilkan inovasi aiskrim misai kucing rendah kalori
alia azhari profesor dr Pensyarah hasilkan inovasi aiskrim misai kucing rendah kalori

Pensyarah hasilkan inovasi aiskrim misai kucing rendah kalori

Rasyidah ZulkifiRasyidah Zulkifi
14 May 2022 01:24pm

Khasiat pokok misai kucing sudah tidak asing lagi dimanfaatkan sejak zaman-berzaman terutamanya dalam merawat pelbagai masalah kesihatan.

Dalam perubatan tradisional, tumbuhan ini banyak digunakan supaya menjadi penawar bagi penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, batu karang dan gout.

Selain perubatan, misai kucing juga dijadikan sebagai rencah masakan untuk nasi kerabu, nasi goreng dan ulam-ulaman.

Berbeza pula inovasi yang dilakukan dua orang pensyarah Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur ‘Aliaa Abdul Rahman dan Profesor Madya Dr Azhari Samsu Baharuddin memilih untuk menghasilkan aiskrim daripada teh misai kucing.

Aiskrim misai kucing yang berjaya dihasilkan oleh UPM

Nur ‘Aliaa berkata daun teh misai kucing disejukkan melalui proses bancuhan selama 20 jam sebelum diproses menjadi aiskrim.

“Produk ini diformulasi dengan kalori yang rendah memandangkan ia diperbuat daripada AppetitTM Village berdasarkan kesihatan.

“Aiskrim AppetitTM merupakan salah satu hasil inovasi teknologi UPM yang mula berada di pasaran sejak November 2020.

“Inovasi ini mengekalkan rasa semula jadi misai kucing serta khasiatnya dan kita dalam proses menghasilkan label pada produk. Kita akan mula pasarkan perisa misai kucing ini pada awal Jun hadapan,” katanya.

Beliau berkata antara aiskrim AppetitTM Village yang sudah dikomersialkan termasuk durian D24, musang king, durian kampung, cempedak, nangka madu dan pelbagai lagi.

Sementara itu, Azhari berkata UPM melalui aiskrim misai kucing mampu bersaing dengan produk keluaran lain di pasaran.

Ini kerana UPM merupakan salah satu universiti yang mempunyai sumber pertanian yang boleh menghasilkan produk berasaskan herba.

“Kita ada kedai aiskrim yang hampir dua tahun berada di pasaran dan setakat ini sambutan sangat menarik.

“Kita akan berusaha untuk keluarkan produk penyelidikan dan pembangunan (RnD) UPM ke pihak luar.

“Pemilihan bahan-bahan dilakukan dengan teliti bagi menghasilkan aiskrim berasaskan kesihatan yang mempunyai kualiti tekstur dan rasa yang setanding dengan jenama komersial lain di pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Azhari juga berkata cawangan AppetitTM Village bakal membuka cawangan lain di Shah Alam, Putrajaya, Melaka, Kuantan, dan Kelantan.

Artikel berkaitan 

Penyelidik UM hasilkan ToothPoly, inovasi didik murid jaga kesihatan gigi

USM bangunkan lima inovasi, bantu tingkatkan pengeluaran Lada Sarawak

Usia muda sudah sambung PhD, Faiq Hazim kongsi dua rahsia yang ramai nak tahu!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp