toothpoly3
toothpoly3

Penyelidik UM hasilkan ToothPoly, inovasi didik murid jaga kesihatan gigi

Nor Azma  Muhamat Laila
11 May 2022 04:35pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dalam usaha menyediakan lebih banyak bahan pendidikan kesihatan pergigian untuk kanak-kanak sekolah dan prasekolah negara, sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) menghasilkan produk inovasi yang dikenali ToothPoly.

Produk inovasi ToothPoly ini dihasilkan dalam tiga siri iaitu ToothPoly Board Game (permainan papan) untuk kanak-kanak sekolah rendah, ToothPoly Mini Kit untuk kanak-kanak prasekolah dan ToothPoly (versi web).

Menurut penyelidik utama, Profesor Madya Dr Nor Azlida Mohd Nor yang merupakan pensyarah Fakulti Pergigian UM, tujuan pembangunan bahan inovasi itu adalah untuk meningkatkan tahap pengetahuan murid-murid sekolah mengenai kesihatan gigi dan mulut.

"Idea untuk menghasilkan ToothPoly yang ditaja oleh geran prototaip, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini tercetus setelah melihat kekangan bahan pendidikan kesihatan pergigian untuk kanak-kanak sekolah dan prasekolah di dalam negara.

"Analisis data dan maklum balas daripada penilaian projek komuniti terdahulu menunjukkan murid-murid sekolah lebih menggemari konsep belajar sambil bermain (play & learn) berbanding kaedah konvensional seperti ceramah.

Nor Azlida.

"Selain itu, masalah kesihatan gigi murid-murid sekolah dan prasekolah di Malaysia juga masih tinggi berbanding negara maju yang lain, justeru itu pendekatan yang lebih inovatif diperlukan untuk penambahbaikan program sedia ada," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Buat masa ini, inovasi itu masih dalam bentuk prototaip dan dihasilkan pada kuantiti yang minimum serta belum berada di pasaran sebaliknya sekolah-sekolah terpilih menjadi kelompok sasaran untuk kajian rintis.

Bagaimanapun, produk berkenaan telah menerima dua anugerah iaitu pingat platinum dan perak dalam konvensyen inovasi yang dianjurkan oleh UM pada 2020 dan Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2021.

Ujar Nor Azlida lagi, ToothPoly memiliki keunikan tersendiri apabila menerapkan elemen bermain sambal belajar yang memberi keseronokan kepada kanak-kanak.

"Selain itu, konsep permainan interaktif ini juga boleh merangsang minda dan membantu memberi motivasti tentang kepentingan kesihatan mulut kepada murid-murid.

"Isi kandungan aktiviti di dalam produk ini unik iaitu tentang kesihatan pergigian yang bersesuaian untuk aktiviti di sekolah, bersama keluarga dan juga di klinik pergigian," jelasnya.

Tambah Nor Azlida, pihaknya berharap ToothPoly Board Game dan ToothPoly Mini Kit boleh digunakan sebagai aktiviti pendidikan kesihatan di bawah program perkhidmatan pergigian sekolah yang mahukan program 'outreach' melibatkan kanak-kanak di masa depan.

"Permainan ini juga boleh diserap dan dijadikan sebagai salah satu daripada aktiviti ko-kurikulum sedia ada seperti Program Dr Muda di peringkat sekolah rendah selain sesuai untuk dimainkan di ruang menunggu klinik-klinik gigi dan boleh dijadikan sebagai salah satu aktiviti bersama keluarga di rumah.

"Pembangunan terkini adalah projek ToothPoly (versi web) sudah berada di fasa ujian dan dijangka dilancarkan dalam bulan ini. Versi web ini boleh digunakan sewaktu aktiviti program pendidikan kesihatan secara virtual dan di rumah sebagai permainan berunsurkan pendidikan," kongsinya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok