Perisian sistem perakaunan pintar yang terkini
“Apabila kita berbicara mengenai perisian untuk pembelajaran, hari ini dengan teknologi yang semakin berkembang pesat, terdapat pelbagai jenis yang ditawarkan terutamanya perisian untuk subjek perakaunan dan ia terpulang kepada para pelajar mahupun institusi pengajian tinggi (IPT) untuk memilih program yang mana satu paling dominan.”
Demikian menurut Ketua Jabatan Perakaunan, Universiti Selangor (UNISEL), Halimi Poniran, 45, ketika ditanya mengenai perisian untuk subjek perakaunan yang ada dan digunakan oleh para pelajar IPT.
Berbicara lebih lanjut mengenai corak pembelajaran pelajar perakaunan UNISEL, menurut Halimi, di peringkat awal penubuhan Fakulti Perakaunan, UNISEL menggunakan perisian UBS, kemudian ia digantikan dengan MYOB sebelum yang terkini SQL.
Katanya lagi, setiap program mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan disebabkan itulah ia ditukar daripada satu program ke program yang lain untuk tujuan penambahbaikan.
“Pelajar yang mengambil mana-mana kursus UBS, MYOB atau SQL kemudian lulus ujian 50
peratus ke atas akan dianugerahkan sijil dan ia mampu menjadi nilai tambah jika ingin
memohon pekerjaan di industri berkaitan,” katanya ketika ditemui di UNISEL, baru-baru ini.
‘Cloud computing’
Tambah beliau, sijil tersebut ‘laku’ dan graduan pasti akan diterima bekerja oleh majikan kerana disifatkan dapat beradaptasi dengan teknologi perakaunan terkini.
“Kebaikan SQL adalah ia boleh dihubungkan dengan borang-borang (percukaian) berkaitan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Disebabkan kita ada cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta cukai jualan dan
perkhidmatan (SST), jadi ciri ini membantu untuk menghantar laporan terus kepada
JKDM,” ujarnya yang pakar dalam sistem perakaunan.
SQL merupakan aplikasi perakaunan yang mempunyai ciri pengkomputeran awan (cloud
computing) yang boleh menghubungkan satu rangkaian ke rangkaian yang lain.
“SQL tidak perlu dimuat naik ke dalam komputer kerana ia boleh diakses terus
menggunakan pelayar dengan sambungan internet.
“Tetapi kalau untuk tujuan pendidikan, kami guna perisian asas sahaja yang dimuat
naik tanpa sambungan internet untuk mengelakkan sebarang isu ketika mengajar.
“Kebiasaannya, saya akan berikan link kepada pelajar baharu agar mereka dapat
‘install’ SQL ke dalam komputer masing-masing,” jelasnya.
Beritahu Halimi lagi, sekiranya para pelajar tidak didedahkan awal dengan teknologi
tersebut di peringkat universiti, apabila mereka berada di alam pekerjaan, tugasan harian
sebagai seorang akauntan akan menjadi sukar.
Ini kerana zaman sekarang, akauntan tidak lagi menggunakan kaedah konvensional,
menulis dalam buku seperti dahulu yang pastinya membebankan.
“Kaedah tersebut sudah tidak relevan lagi kerana kepesatan teknologi hari ini, jadi ia
sekadar dijadikan konsep untuk mengajar pelajar perakaunan di UNISEL agar mereka
mengetahui sistem konvensional itu pernah wujud.
“Jadi, teknologi ini sangat penting untuk memastikan semua rekod tepat ketika
melakukan transaksi yang melibatkan jumlah beribu-ribu,” tuturnya mengakhiri bicara.
**
1. SQL
SQL adalah sistem perakaunan terkini yang paling banyak digunakan dalam industri dan pendidikan. Di Malaysia, teknologi ini membantu lebih 600,000 profesional perakaunan dan
dipercayai oleh lebih 250,000 syarikat, manakala dalam sektor pendidikan pula SQL membantu pelajar jurusan perakaunan di peringkat pengajian tinggi untuk melakukan tugasan berkaitan laporan kewangan. SQL mudah digunakan dan sistem ini bersifat cepat diakses.
Selain itu, ia juga membantu semua transaksi perniagaan direkodkan mengikut tarikh yang dikehendaki atau bagi tempoh setahun. Ia menawarkan servis berbayar kepada industri, namun perkhidmatan ini percuma untuk pendidikan. Modulmodul yang ditawarkan juga berbeza untuk pemilik syarikat, pensyarah dan pelajar.
2. MYOB ABSS
Bermula 2018, MYOB telah dijenamakan semula sebagai ABSS. Ia merupakan perisian yang membantu tugas seorang akauntan dan turut digunakan sebagai medium pendidikan
dalam kelas perakaunan. Sistem ini cekap dan menjimatkan masa kerana semuanya berjalan secara automatik. Sistem perakaunan MYOB mengandungi modul asas seperti lejar am, lejar jualan, lejar belian, buku bank atau tunai dan inventori.
3. OfficeCentral
OfficeCentral adalah sistem perakaunan yang direka khas untuk peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Ia menggunakan 'cloud computing' yang membolehkan pemilik mengawal syarikat dari mana sahaja dengan mudah tanpa mengira masa dan waktu juga kos yang minimum. OfficeCentral menyediakan semua modul yang diperlukan termasuk perakaunan, bajet, kewangan, pelaburan inventori, pengurusan aset, Customer Relation
Management (CRM), Point Of Sales (POS) perolehan, penggajian dan sumber manusia.
4. Sage UBS
Lebih 500,000 perisian Sage UBS dipasang di serata
Malaysia, Brunei dan Singapura. Sistem perakaunan ini merupakan pilihan nombor satu pemilik PKS di dalam negara kerana ia ringkas dan mudah digunakan. Sage UBS menyediakan modul-modul seperti lejar am, aset tetap, penghutang dan pemiutang.
Artikel berkaitan
UMT, UTAR meterai kerjasama pintar
6 tip menjadi akauntan bertauliah
Nadya skor aliran perakaunan, berkat patuh arahan guru