Lebih memilukan, kebakaran tersebut bukan sahaja meragut nyawa arwah, malah turut mengorbankan hampir seluruh ahli keluarganya yang terdiri daripada bapa, ibu dan dua adiknya.
Lebih memilukan, kebakaran tersebut bukan sahaja meragut nyawa arwah, malah turut mengorbankan hampir seluruh ahli keluarganya yang terdiri daripada bapa, ibu dan dua adiknya.

Pelajar MRSM Bentong meninggal dunia dalam tragedi kebakaran! 'Arwah sedang menunggu keputusan SPM...'

26 Feb 2026 03:15pm

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dijangka diumumkan tidak lama lagi.

Namun, seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong, Pahang, Ruby Adira Batreisya Mohd Alawi, 17, tidak sempat menantikan detik tersebut apabila terkorban dalam satu tragedi kebakaran tragis.

Kejadian menyayat hati itu berlaku di sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub, Pahang, kira-kira jam 3.35 pagi tadi.

Lebih memilukan, kebakaran tersebut bukan sahaja meragut nyawa arwah, malah turut mengorbankan hampir seluruh ahli keluarganya iaitu Mohd Awi Muhammad, 56 (bapa); Zaleha Adam @ Ibrahim, 44 (ibu); Ruby Adlina Banin, 14 (adik) dan Ruby Azyan Barizah, 10 (juga adik).

Bagaimanapun, kakak arwah berusia 19 tahun dan seorang lagi adiknya berumur 15 tahun terselamat kerana tidak berada di rumah ketika kejadian.

Difahamkan, masing-masing menetap di asrama Kolej Matrikulasi Gambang serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong.

No Image Caption

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa amat terkesan dan dukacita atas tragedi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kehilangan hampir seluruh ahli keluarga dalam satu kejadian merupakan ujian yang sangat besar.

"Pastinya ujian ini terlalu berat untuk dipikul, kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi melibatkan hampir seluruh ahli keluarga. Mara amat berdukacita atas insiden yang menyayat hati ini," tulisnya di Facebook.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak Mara akan menghulurkan bantuan sewajarnya serta memastikan kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan terus diberi perhatian.

No Image Caption

Sementara itu, laman Facebook rasmi MRSM Bentong turut memuat naik ucapan takziah atas pemergian pelajar daripada kelas 5 Ibnu Haitham 2025 itu bersama ahli keluarganya.

"Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh arwah, mengampunkan segala dosa-dosanya dan menempatkan mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh..

"Salam takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga serta sahabat handai. Semoga diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini," kongsi mereka.

 

 

Ringkasan AI

  • Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dijangka diumumkan tidak lama lagi
  • Seorang bekas pelajar MRSM Bentong, Ruby Adira Batreisya Mohd Alawi, 17, terkorban dalam tragedi kebakaran
  • Kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub meragut nyawa Ruby dan hampir seluruh ahli keluarganya
  • Kakak berusia 19 tahun dan adik berumur 15 tahun terselamat kerana tidak berada di rumah ketika kejadian
  • Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dan MRSM Bentong meluahkan rasa dukacita serta menghulurkan bantuan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp