UTM hasilkan kaki palsu evolusi baharu dengan teknologi 3D
JOHOR BAHRU - Hasil daripada penyelidikan, produk inovasi dan kepakaran bidang kejuruteraan bioperubatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mencipta kaki palsu evolusi baharu dengan teknologi tiga dimensi (3D).
Menurut Ketua Projek dan Pensyarah Kanan UTM, Ts Dr Muhammad Hanif Ramlee, produk inovasi tersebut dengan penggunaan teknologi 3D mampu memberi manfaat kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan kaki palsu.
“Inovasi ini adalah kerjasama antara Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK), Fakulti Kejuruteraan, UTM dan pihak industri, 3D Gens Sdn Bhd.
“Kaki palsu yang dihasilkan dapat mengurangkan beban golongan OKU kerana bahan yang digunakan adalah lebih murah dan berdaya tahan,” katanya ketika Majlis Penyerahan Kaki Palsu sempena Program CSR UTM dan 3D Gens Sdn Bhd di Fakulti Kejuruteraan UTM, Kampus Johor Bahru, baru-baru ini.
Baca juga
Inovasi sistem fertigasi kitar semula, galak pelajar ceburi bidang pertanian
Jom kenali pereka cipta kelahiran Malaysia yang telah banyak berbakti kepada negara
Beliau berkata, bagi penghasilan sebuah kaki palsu, ia boleh mengambil masa sebulan, tanpa mengira tempoh fasa percubaan dan ujian kepada pemakai untuk memastikan soket muat dengan kaki pesakit.
“Penghasilan kaki palsu dengan teknologi 3D ini juga mampu memberi sinar baharu kepada golongan OKU yang mengalami masalah kewangan terutamanya golongan B40 kerana kos boleh dikurangkan sehingga 60 peratus berbanding harga pasaran kira-kira RM5,000.
“Inovasi kaki palsu cetakan 3D ini boleh diguna pakai oleh golongan OKU untuk menjalankan aktiviti harian seperti berjalan, duduk dan bangun, menaiki tangga atau kenderaan awam dan memandu kenderaan persendirian.
“Imbasan 3D yang dapat dilakukan tanpa bersentuhan dengan OKU pada bahagian yang mengalami kecatatan dapat menjimatkan masa, tenaga dan bahan-bahan yang diperlukan untuk penghasilan soket kaki palsu,” jelasnya.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Dalam proses penyediaan soket kaki palsu, Muhammad Hanif menjelaskan bahawa ia terdapat dalam pelbagai bentuk berdasarkan kehendak pengguna.
"Selain itu, sebelum ia diserahkan kepada penerima, padanan terhadap kaki OKU serta aktiviti latihan di makmal Motion Analysis juga akan dijalankan.
"Bagi memastikan kesinambungan projek ini dapat terus memberi manfaat yang sama kepada golongan OKU yang lain khususnya golongan B40, kami juga akan menubuhkan tabung ‘crowdfunding’ dalam masa terdekat," kongsinya.