HomeGen ZJurubahasa isyarat untuk OKU, kerjaya penting

Artikel Berkaitan

Jurubahasa isyarat untuk OKU, kerjaya penting

Apabila kita menyebut tentang kerjaya yang mempunyai tanggungjawab besar, pasti kita akan fikirkan kerjaya seperti doktor, bomba, polis dan askar.

Namun, terdapat satu lagi pekerjaan yang amat penting kepada masyarakat iaitu jurubahasa isyarat.

Tidak dinafikan, memilih jurubahasa isyarat sebagai kerjaya bukanlah satu pilihan yang popular, namun ia adalah tugas penting bagi golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran atau pertuturan.

Jurubahasa isyarat bertanggungjawab dalam menterjemahkan bahasa pertuturan kepada bahasa isyarat dan sebaliknya untuk golongan OKU pendengaran atau pertuturan.

Individu yang memilih kerjaya jurubahasa isyarat perlu mahir dalam bahasa isyarat dan bahasa pertuturan yang lain.

Amat penting bagi seorang jurubahasa isyarat untuk mempunyai tauliah bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Selain itu, mereka juga terikat kepada etika yang akan melindungi hak peribadi golongan OKU.

Jurubahasa isyarat tidak boleh sesekali menasihati, menukar, mempromosikan, menerangkan atau memetik sebahagian daripada pertuturan semasa proses penterjemahan.

Mereka hanya boleh menyampaikan apa yang diperkatakan oleh klien dan memastikan ia disampaikan dengan nada atau intonasi yang sama.

Sebelum jurubahasa isyarat boleh memulakan proses penterjemahan, mereka perlu memahami subjek terlebih dahulu supaya maklumat dapat disampaikan dengan tepat kepada penerima.

Kebiasaannya, kajian perlu dilakukan lebih awal dengan menggunakan bahan rujukan, terutamanya jika terdapat maklumat rumit atau teknikal yang akan diterjemahkan.

Selain melihat pada isyarat tangan, ekspresi muka turut memainkan peranan penting dalam bahasa isyarat.

Sebagai contoh, perkataan ‘baik’ boleh mempunyai makna yang berbeza. Dengan menggunakan mimik muka, jurubahasa boleh mengenal pasti perbezaan antara baik (gembira) atau baik (marah).

Di samping itu, dengan menggunakan kening, mereka boleh merangka struktur ayat bagi menunjukkan sama ada ayat itu berakhir dengan tanda soal, tanda seru atau noktah.

Jika anda ingin memilih laluan kerjaya sebagai jurubahasa isyarat, perkara yang paling penting adalah matlamat utama iaitu membantu golongan OKU.

Kerjaya ini juga mampu menawarkan kepuasan tersendiri yang tidak dapat pada mana-mana kerjaya yang lain.

Sumber: Career Explorer

Artikel berkaitan

3 kemahiran yang perlu ada jika memilih kulinari sebagai kerjaya

5 tip permulaan bagi pelajar yang memilih dunia jahitan atau bidang fesyen sebagai kerjaya

Seronok mempelajari bahasa ketiga, ini 5 kepentingannya kepada para pelajar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Terkini