Pelajar menggunakan kelengkapan di Kolej Vision untuk mempelajari aspek teori dan praktikal berkaitan bidang optometri.
Pelajar menggunakan kelengkapan di Kolej Vision untuk mempelajari aspek teori dan praktikal berkaitan bidang optometri.

Juruoptik kerjaya bergaji lumayan, Kolej Vision penuhi keperluan industri, optimumkan kebolehan pelajar

Nor Azma  Muhamat LailaNor Azma  Muhamat Laila
18 Oct 2021 01:06pm

Bagi mereka yang biasa membuat pemeriksaan mata, mungkin profesion sebagai oftalmologis, optometris dan optisian (juruoptik) sudah tidak asing lagi.

Profesion ini mempunyai tanggungjawab dan bidang tugas tersendiri bagi membantu pesakit mengenal pasti masalah yang dihadapi.

Bagi memastikan seseorang individu itu mendapat kelayakan dalam bidang berkaitan penjagaan dan kesihatan mata, mereka perlu melalui beberapa peringkat pengajian seperti diploma, ijazah, sarjana dan pengkhususan tertentu untuk layak digelar doktor mata.

Oftalmologis perlu memiliki kelulusan sebagai doktor perubatan dan mempunyai bidang pengkhususan dalam ilmu kesihatan dan penyakit mata (oftalmologi) bagi melayakkan mereka mendiagnosis apa juga penyakit mata termasuk melakukan pembedahan.

Optometris pula seseorang berkelulusan ijazah pertama dalam bidang optometri dan bukan doktor perubatan tetapi boleh melakukan pemeriksaan mata serta membuat saringan masalah penglihatan seperti glukoma, katarak, retina serta merawat keadaan penglihatan seperti rabun dekat dan jauh.

Profesion ini juga memberi penekanan tentang  penjagaan dan pengurusan  pesakit-pesakit mata malah mereka juga membuat pemeriksaan sama ada seseorang pesakit itu boleh menggunakan cermin mata dengan kuasa kaca mata yang ditentukan.

Selain daripada dua kerjaya berkenaan, terdapat satu lagi profesion yang berfungsi seiring dalam industri kesihatan mata iaitu juruoptik.

Juruoptik bersama-sama oftalmologis dan optometris di hospital atau pusat kesihatan, memeriksa tahap rabun mata pesakit, memotong kanta kaca mata dan membantu seseorang memilih serta memasang bingkai untuk cermin mata serta kanta sentuh yang telah dipreskripsikan oleh oftalmologis atau optometris.

Bidang pengajian untuk bergelar oftalmologis dan optometris sudah agak meluas di Malaysia tetapi peluang akademik untuk mengikuti kursus Diploma Opticianri masih terhad di negara ini.

Mengambil kira keperluan tenaga mahir sebagai juruoptik, Kolej Vision menjadi antara satu-satunya institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia yang menawarkan program Diploma Opticianri kepada pelajar berminat membabitkan tempoh pengajian selama tiga tahun.

Ketua Komunikasi Korporat, Kolej Vision, Datuk Dr Nik Najib Nik Abdul Rahman berkata, diploma berkenaan mula ditawarkan pada 2015 dan sehingga kini sudah empat kumpulan pelajar mengikuti program itu.

Datuk Dr Nik Najib

Menurut beliau, program berkenaan sudah mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Optik Malaysia (MOC).

“Pelajar yang berminat menyambung pengajian dalam Diploma Opticianri di Kolej Vision perlu lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan tiga kredit termasuk dua subjek Sains (Biologi/Kimia/Fizik ) atau Matematik dan wajib lulus Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta Sejarah.

“Sesiapa yang berminat untuk mengikuti program ini  tetapi tidak mengikuti aliran sains di peringkat SPM juga boleh memohon kerana Kolej Vision menyediakan program Sijil Sains kepada mereka membabitkan pengajian selama setahun setengah,” katanya kepada GPSBestari pada Rabu lalu.

Menurutnya, pengambilan dibuat setiap semester iaitu pada Januari, Julai dan Oktober setiap tahun malah pelajar boleh mendapatkan pinjaman pendidikan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menampung yuran pengajian.

“Graduan Diploma Opticianri memiliki peluang kerjaya cerah dan menjanjikan pendapatan lumayan sekiranya membuka perniagaan kedai cermin mata sendiri atau boleh memilih menjadi juruoptik di pusat optometri serta melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah untuk bergelar optometris,” katanya.

Kemudahan lengkap

Sementara itu, Penyelaras Program Diploma Opticianri, Wan Muhammad Hirzi Wan Din berkata, selain aspek teori, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi program Diploma Opticianri di Kolej Vision turut merangkumi sesi praktikal, klinikal di makmal dan pusat penjagaan mata milik kolej itu.

Wan Muhammad Hirz

Pelajar juga perlu menjalani latihan industri dengan pusat atau jabatan optometri awam atau swasta untuk tingkatkan lagi kemahiran.

“Mereka juga perlu mempelajari teknik berkomunikasi dengan pelanggan yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan cermin mata dan masalah penglihatan.

“Setelah tamat pengajia, graduan secara automatik akan didaftarkan bersama MOC sekali gus memperoleh Sijil Pendaftaran Penuh dan Sijil Pengamalan iaitu lesen untuk meneruskan kerjaya sebagai juruoptik berdaftar atau bertauliah,” ujarnya.

Pada masa sama, Diploma Opticianri boleh digunakan sebagai sijil kelayakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama (sarjana muda) dalam bidang optometri di IPT tempatan atau luar negara.

Jika seseorang itu berminat dalam perniagaan, graduan Diploma Opticianri layak untuk menjalankan perniagaan berasaskan penjagaan kesihatan mata seperti membuka kedai cermin mata dengan lesen yang diperoleh.

Pelajar menggunakan kelengkapan di Kolej Vision untuk mempelajari aspek teori dan praktikal berkaitan bidang optometri.

Potensi cerah

Pelajar semester empat Diploma Opticianri di Kolej Vision, Siti Hajar Sohian memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang berkenaan kerana mempunyai perancangan untuk membuka perniagaan sendiri.

“Saya sebenarnya sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda Teknologi Sains Alam Sekitar dari universiti awam (UA) tetapi minat dalam bidang optometri mula muncul ketika saya bekerja di kedai cermin mata.

“Mengambil kira kepentingan ilmu dan kemahiran yang ada bagi membolehkan saya lebih kompetitif untuk bersaing dalam pasaran kerjaya, keputusan menyambung pengajian di Kolej Vision dibuat pada tahun lalu selepas memikirkan potensi besar yang menanti graduan dalam bidang ini.

“Memandangkan tempoh pengajian selama tiga tahun saja, saya  memilih Diploma Opticianri di Kolej Vision berbanding menyambung pengajian dalam bidang optometri di UA atau IPT lain yang mungkin mengambil masa selama empat tahun,” katanya.

Sementara itu, pelajar semester lima, Tan Shin Yee memilih Diploma Opticianri bagi membolehkannya menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang optometri di universiti tempatan dan di luar negara.

“Kelengkapan peralatan dan tenaga pengajar yang sangat profesional dan banyak memberi tunjuk ajar menjadikan proses pembelajaran saya lebih mudah walaupun dalam tempoh pandemik,” ujarnya.

Sila hubungi  Kolej Vision di talian 012-6072700 atau layari www.vision.edu.my untuk keterangan lanjut.

REAKSI

"Saya memilih untuk menyambung pengajian dalam Diploma Opticianri di Kolej Vision kerana bercadang untuk membuka perniagaan sendiri satu hari nanti." - Pelajar Semester Enam, Geena Wah Loke Yee.

"Berdasarkan pengalaman bekerja sebagai jurujual di kedai cermin mata, saya mula berminat menjadi juruoptik dan membuat keputusan menyambung pengajian dalam jurusan Diploma Opticianri di Kolej Vision." - Pelajar Semester Lima, Chan Jing Wen.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp