Kaki pancing tegar! Muhammad Zafri tunjuk kehebatan tangkap udang
Kaki pancing tegar! Muhammad Zafri tunjuk kehebatan tangkap udang

Kaki pancing tegar! Muhammad Zafri tunjuk kehebatan tangkap udang

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
10 May 2022 10:13am

Memancing adalah aktiviti yang menyeronokkan bagi seorang kaki pancing. Ini kerana, ada orang mengatakan memancing boleh menenangkan jiwa dan fikiran serta menghilangkan stres setelah penat bekerja. Jika benar, wajarlah hobi ini dijadikan sebagai aktiviti sihat untuk semua orang.

Namun begitu, aktiviti memancing ini tetap tidak terlepas daripada risiko terdedah kepada bahaya.

Risiko seperti kehadiran sang buaya ketika asyik memancing, hujan lebat diiringi ribut petir, bahaya dari kepala air dan lain-lain mampu membuatkan kaki pancing cuak dan panik.

Muhammad Zafri Abdullah, 38, seorang kaki pancing tegar berkata, bila berlaku kejadian seperti ini, pemancing perlu bertindak dengan segera sebelum berlaku hal buruk.

“Jika berdepan bahaya dari kepala air, anda harus segera keluar atau naik ke lokasi yang lebih tinggi kerana kepala air akan meranapkan apa sahaja dihadapannya.

“Begitu juga ketika hujan lebat dan cuaca buruk, kemungkinan untuk disambar petir sangat tinggi apabila kaki pancing berada di tengah laut, tasik atau tebing sungai,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Muhammad Zafri yang lebih 30 tahun berada dalam dunia memancing berkata, pengalaman berdepan dengan sekumpulan buaya cukup menakutkan.

Bayangkan ketika tengah khusyuk menangkap udang, tiba-tiba buaya muncul di depan mata.

“Demi keselamatan diri, saya tidak berfikir panjang, sebaliknya terus beredar daripada kawasan tersebut.

“Sebenarnya, bukan sekali dua terserempak dengan buaya tapi itulah, semangat memancing sangat kuat jadi saya tetap teruskan hobi ini dengan mengambil beberapa langkah berjaga-jaga,” katanya yang sentiasa memakai jaket keselamatan dan memastikan mata kerap melihat sekitar kawasan memancing sebagai usaha menyedari kehadiran 'sang bedal' secara tiba-tiba.

Sepit biru atau jenggo

Oleh kerana tuntutan kerja, anak kelahiran Dalat, Sarawak ini hanya akan turun memancing pada hujung minggu ataupun ketika ada masa lapang.

Kebiasaanya, Muhammad Zafri akan memancing bersama beberapa rakan yang lain dan lokasi seperti Sungai Batang Oya dan Sungai Igan adalah tempat utama mereka.

Menurut Muhammad Zafri, sekitar dua hingga empat kilo udang galah yang juga dikenali sebagai sepit biru atau jenggo pernah diperoleh ketika memancing, malah spesies ikan seperti belida, baung dan patin juga turut menjadi rezeki.

Katanya, tiada sebarang rahsia dalam menangkap udang sebanyak itu, cuma Muhammad Zafri berpesan supaya kaki pancing menggunakan umpan yang sesuai dan memancing pada waktu yang tepat.

Menjadikan Kanicen Nix sebagai idola, Muhammad Zafri berkata, rezeki mendapat udang dan ikan ketika memancing bukanlah sepanjang masa, sebaliknya ada masa-masa tertentu, dia tidak membawa apa-apa hasil.

“Ada juga hari yang kumpau (kosong) tanpa udang walaupun seharian memancing. Sedih tu memang sedih sebab kita sudah berpenat lelah, tapi hendak buat macam mana, anggaplah tidak ada rezeki.

“Hendak kata umpan tidak menarik, saya dan rakan sudah guna anak udang kecil, cacing dan umpun-umpun, tapi tetap tidak dapat udang galah yang diinginkan. Tidak mengapalah, nanti hari lain, mungkin ada rezeki buat kami lagi,” ujarnya dengan menambah, jika ada hasil tangkapan pada hari tersebut, dia akan mengagih-agihkan kepada keluarga dan jiran. Selebihnya Muhammad Zafri dan rakan akan memasak dan menjamu selera bersama-sama.

Akhir sekali, Muhammad Zafri berkongsi beberapa sifat yang perlu ada untuk kaki pancing turun menangkap udang dan pelbagai jenis ikan di tengah laut, tasik atau tebing sungai.

“Pertama, anda kena banyak bersabar kerana memancing ini bukan hanya mengambil masa satu atau dua jam, sebaliknya tempoh memancing sangat panjang.

“Kedua, jangan buat bising dan perlu bertenang ketika berada dalam perahu. Ketiga, pemancing harus berani dan berilmu.

“Dan yang terakhir, pastikan anda ‘satu kepala’ dan mudah bekerjasama jika memancing bersama rakan-rakan. Ini penting dalam memastikan aktiviti memancing menjadi seronok dan santai,” ujarnya.

Hasil memancing terus dimasak untuk dimakan bersama keluarga.

INFO

7 tip mengelakkan kecederaan semasa memancing

1) Jangan gelojoh

Sebagai pemancing, mereka harus sedar yang hobi ini perlu dilakukan dengan cara yang sepatutnya. Kegelojohan boleh mengakibatkan kecederaan serius pada diri dan orang lain. Untuk mereka yang mempunyai rakan yang bersikap gelojoh, pastikan anda sentiasa berada dalam jarak selamat.

2) Lemas

Belilah jaket keselamatan yang sesuai dan sebagai pemancing, belajarlah berenang. Jangan ambil risiko semata-mata kerana seekor ikan atau gewang yang tersangkut.

3) Tergelincir dan jatuh

Pakai kasut yang sesuai dengan cara pancingan anda. Kasut getah, but atau jenis yang mempunyai tapak yang bagus boleh mengelakkan tergelincir dan terjatuh. Jika memancing secara landbased, kasut dengan tapak yang bagus akan membantu. Jika anda suka meranduk air, jenis mudah kering lebih sesuai digunakan.

4) Hidrasi

Elakkan berada di bawah matahari terlalu lama. Sentiasa basahkan badan dan kepala supaya tidak terlalu panas yang boleh mengakibatkan strok. Minum air sebanyak yang boleh. Pakai topi, baju lengan panjang atau pelindung kulit untuk mengelakkan sun burn.

5) Pendarahan

Pakai alat yang sesuai seperti tangguk dan jenis playar yang sesuai untuk mengendalikan semua jenis ikan. Usah menjadi hero cuba menaikkan ikan menggunakan tangan.

6) Dipatuk atau digigit

Pakaian seperti seluar panjang dan baju berlengan panjang sangat digalakkan ketika memancing. Memakai kasut but juga boleh membantu jika ada serangan jenis haiwan bahaya yang berada ditanah.

7) Jangkitan

Guna playar/forceps semasa membuka gewang dari mulut ikan. Jika terkena sebarang gigitan atau sengatan, usaha ubati bagi menggelakkan daripada terkena jangkitan. Paling penting, bersihkan diri sebelum balik berjumpa dengan keluarga.

Sumber: Blog Ultralight Anglers

Artikel berkaitan 

5 kemahiran untuk memancing udang galah

Bantu pasang capaian internet di sekolah terpilih, projek khidmat komuniti pelajar universiti berjaya

6 tip buat pemancing udang galah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp