20181209_131735
20181209_131735

Kelab e-Sukan universiti, menyokong penglibatan mahasiswa

Nor Azma  Muhamat Laila
16 Jun 2021 12:31pm
A
A
A

Perkembangan e-sukan di negara ini semakin menunjukkan trend yang positif apatah lagi sejak setahun lalu, rakyat Malaysia banyak menghabiskan masa di rumah kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Umum mengetahui e-sukan terdiri daripada permainan video yang kompetitif pada peringkat profesional dan diterima sebagai kegiatan sukan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 2017.

Dianjurkan sebagai sukan demo ketika Sukan Asia 2018, buat julung kalinya, e-sukan menjadi salah satu acara yang dipertandingkan untuk pingat pada Sukan Asia Tenggara (SEA) 2019.

Menyedari akan potensi e-sukan, kerajaan Malaysia, terutamanya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus menyokong pembangunan e-sukan malah dalam Belanjawan 2020, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi sukan ini.

Sebahagian peserta KEK sedang beraksi untuk acara Mobile Legend.

Di peringkat universiti, penubuhan kelab e-sukan dilihat mampu memperkasakan lagi bidang berkenaan dalam kalangan mahasiswa sekali gus mencungkil bakat baharu yang bakal mewakili negara di pelbagai kejohanan antarabangsa.

Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Multimedia (MMU) antara universiti yang mengambil inisiatif menubuhkan kelab e-sukan masing-masing dengan pelbagai objektif yang ingin dicapai.

Timbalan Pengarah 1, Hab Media Kreatif dan Teknologi (CMTHub) UiTM, Dr Masrur Mohd Khir, berkata Kelab e-Sukan UiTM ditubuhkan pada tahun lalu selepas universiti itu berjaya menganjurkan kejohanan e-sukan, Celcom XPAX Kejohanan e-Sukan Kampus (KEK).

Peserta mencuba permainan ketika KEK yang dianjurkan di UiTM Puncak Alam.

Katanya, Celcom XPAX KEK merupakan kejohanan e-sukan yang dianjurkan dengan kerjasama Media Prima Digital (kini dikenali dengan nama Rev Media Group) untuk memupuk semangat kesukanan dan melahirkan bakat e-sukan baharu dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS).

"Hab ini ditubuhkan berdasarkan penanda aras hab e-sukan di Staffordshire University yang menyediakan kemudahan teknologi kepada pelajar untuk melatih bakat dalam e-sukan dan juga berfungsi untuk mendedahkan pelajar kepada profesion baharu dalam industri e-sukan.

"Melalui hab ini, pelajar akan didedahkan kepada dunia e-sukan yang bakal membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi, ekonomi dan strategik, katanya kepada GPSBestari.

Peserta KEK berentap untuk acara Dota 2.

Menurut beliau lagi, melalui hab e-sukan juga, pelajar dapat membiasakan diri dengan situasi di belakang tabir yang merupakan pengalaman berharga dan boleh dipraktikkan di alam pekerjaan kelak.

"CMTHub juga akan bekerjasama dengan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk melatih pelajar menjadi pemain e-sport profesional agar mampu melibatkan diri dalam pertandingan e-sukan di peringkat antarabangsa seperti Sukan SEA dan Sukan Olimpik," kata beliau.

Keahlian Kelab e-Sukan UiTM terbuka kepada semua pelajar universiti berkenaan yang aktif dalam bidang e-sukan di mana ketika ini mempunyai lebih 70 ahli kerana penubuhan kelab itu belum dapat dihebahkan secara menyeluruh berikutan pandemik Covid-19 yang membataskan mahasiswa untuk kembali ke kampus.

Dr Masrur berkata, mengikut perancangan, hab itu akan menyediakan lokasi khas dan dilengkapi enam zon yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar termasuklah zon komputer dan PS4, virtual reality (VR), telefon pintar serta permainan simulator.

"Bagaimanapun, semuanya masih tidak dapat direalisasikan sepenuhnya kerana kekangan PKP. Meskipun begitu, kami tetap positif dalam menjadikan hab ini satu kenyataan di masa akan datang," katanya.

Ahli Kelab e-Sukan UiTM merangkap atlet e-sukan bagi pasukan Vendetta yang mewakili universiti itu, Muhammad Nabil Japri, berkata penubuhan hab itu mampu memberi peluang kepada pelajar untuk mempelbagaikan kemahiran mereka dalam bidang e-sukan.

"Bidang e-sukan ini bukan saja terhad kepada permainan interaktif itu semata-mata tetapi juga membuka peluang kerjaya di belakang tabir dan membolehkan pelajar meluaskan rangkaian kenalan.

"Itulah yang cuba dilakukan oleh Kelab e-Sukan UiTM dan saya percaya ramai mahasiswa yang bergiat aktif dalam bidang ini akan mendapat manfaat di masa depan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan UTM, Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip, berkata penubuhan kelab e-sukan di unversiti itu yang dikenali dengan nama Kelab ESC UTM adalah atas kesinambungan pengumuman Menteri Belia dan Sukan sebelum ini yang ingin memberi tumpuan terhadap e-sukan.

"Jadi atas keperluan itu, maka satu mesyuarat telah dijalankan bagi menubuhkan kelab e-sukan di UTM. Penubuhan kelab ini terbukti berjaya menjalankan pelbagai program dan pertandingan peringkat universiti dan kebangsaan.

"Pihak UTM Sports Excellence juga telah meminta Kelab ESC UTM untuk melakukan pemilihan pemain e-sukan UTM bagi mewakili universiti ke pertandingan peringkat Majlis Sukan Universiti (MASUM)," katanya.

Kelab ESC UTM ditubuhkan pada Ogos 2019 dan pada tahun pertama penubuhannya telah menerima 400 orang ahli yang berdaftar dan berjaya menganjurkan beberapa pertandingan berkaitan e-sukan serta mewakili Malaysia untuk Kejohanan Valorant pada penghujung tahun lalu.

Di MMU pula, penubuhan kelab e-sukan dibuat pada Mei 2017 bagi menyediakan paltform kepada pelajar universiti berkenaan untuk berinteraksi dan menganjurkan pelbagai kejohanan e-sukan.

Pemenang cabutan bertuah bergambar kenangan semasa cabutan bertuah MMU Cyberplay 2018.

Presidennya, Kok Zhen Hoong berkata, ketika ini terdapat lebih 200 pelajar MMU yang berdaftar di bawah kelab berkenaan dan pendaftaran dibuka setiap kali masuk semester baru membabitkan yuran tahunan sebanyak RM5.

"Memandangkan sekarang ini semua terbatas kerana PKP, kelab turut membuka pendaftaran secara dalam talian dan menganjurkan beberapa pertandingan dalam talian juga bagi memastikan kami sentiasa mempunyai interaksi dengan komuniti e-sukan di dalam dan luar kampus," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok