Untitled (7)
Untitled (7)

Kemahiran ICT kunci utama kendali murid-murid, guru prasekolah perlu kreatif laksana PdP

Nor Azma  Muhamat Laila
18 Oct 2021 05:42pm
A
A
A

Mengambil kira peratusan bilangan individu yang mendapatkan vaksin sudah menepati sasaran ditetapkan dan peralihan fasa pandemik kepada endemik tidak lama lagi, sesi persekolahan juga dijangka dibuka semula dalam masa terdekat.

Dalam hal ini, tugas seorang pendidik sudah tentu menjadi satu kerjaya yang sangat mencabar kerana bukan saja perlu mengadaptasi norma baharu dalam profesion masing-masing tetapi juga perlu bijak mengendalikan murid-murid agar kekal bersemangat untuk menuntut ilmu, tidak kiralah secara maya atau bersemuka di sekolah.

Murid-murid yang terdiri daripada Tahap 1 dan prasekolah dilihat antara kumpulan yang paling terkesan dengan penularan virus ini kerana perlu belajar dalam takwim persekolahan yang agak tidak menentu.

Guru Prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020, Cikgu Mohd Affendy Mohd Hidzir berkata, sejajar dengan pembukaan kembali sesi persekolahan tidak lama lagi, pastinya guru-guru sudah membuat pelbagai persiapan untuk menerima kehadiran anak murid.

“Sebagai persediaan, saya juga sudah hadir ke sekolah pada minggu lepas bagi membuat pembersihan di dalam kelas dan kawasan sekitar bagi memastikan murid-murid belajar dalam keadaan selesa, bersih serta selamat.

“Dari segi persiapan pengajaran pula, guru tetap meneruskan kurikulum pengajaran prasekolah seperti yang disarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi 'KPM PerkasaKu' yang mana saya akan memberi penekanan yang lebih kepada aspek membaca sebelum mereka menempuh pembelajaran di Tahun 1.

“Antara inisiatif yang diambil ialah membuat video bacaan yang diberi nama 'Baca' untuk murid lebih seronok mengikuti kelas secara bersemuka menggunakan latar belakang kartun 'Among Us' selari dengan pendekatan prasekolah Belajar Melalui Bermain,“ ujarnya kepada GPSBestari baru-baru ini.

Tambah beliau, kemahiran komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) juga menjadi perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam mengendalikan murid-murid sepanjang tempoh pandemik yang lalu.

Ulasnya, kemahiran komunikasi sangat diperlukan supaya guru dapat menyampaikan sesuatu maklumat dengan jelas kepada murid-murid dan juga ibu bapa.

Aktiviti berasaskan projek

Berpengalaman selama 15 tahun sebagai guru prasekolah, pelbagai aktiviti dilakukan oleh Cikgu Mohd Affendy bagi menarik minat murid-murid untuk kekal fokus ketika proses PdPR berlangsung antaranya aktiviti bertema menggunakan modul pembelajaran dan video pengajaran guru serta aktiviti berasaskan projek.

Kongsi Cikgu Mohd Affendy lagi, pendekatan yang dijalankan ini dapat membantu murid-murid mengenalpasti tentang kewujudan sesuatu benda yang berada di sekeliling mereka dengan bantuan video pengajaran guru.

Melalui aktiviti ini, katanya, murid lebih fokus sekali gus dapat menarik minat mereka apabila guru mengaitkan sesuatu perkara dengan kehidupan seharian selain turut menyelitkan beberapa pembelajaran berasaskan projek.

Antara aktiviti yang dilakukan murid-murid prasekolah.

“Pendekatan pembelajaran berasaskan projek sangat menarik minat murid. Contoh yang saya jalankan ialah 'Projek Si Cilik' bertemakan haiwan.

“Murid dengan bantuan ibu bapa di rumah membuat aktiviti secara tugasan dalam jangka masa tertentu seperti diorama, kitaran hidup, rantaian makanan dan anggota badan haiwan serta anaknya.

“Ini memberi impak yang sangat besar terhadap emosi dan minat mereka dalam menjalankan PdPR,“ tuturnya lagi.

Cabaran guru prasekolah

Meskipun pelbagai usaha dilakukan ketika mengendalikan murid-murid, tidak dinafikan guru turut berdepan cabaran dalam memastikan penglibatan dan penguasaan anak-anak prasekolah ini.

Bagi Cikgu Mohd Affendy yang pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang Prasekolah Tahun 2015, kegagalan murid-murid mengambil bahagian dalam PdPR adalah perkara yang sangat merisaukan warga pendidik.

Murid-murid prasekolah melakukan aktiviti pembelajaran secara bersemuka di sekolah.

“Ini kerana, penilaian terhadap penguasaan murid tidak dapat dibuat secara terus apabila mereka gagal hadir ketika PdPR berlangsung, berbeza dengan kelas secara bersemuka di mana guru dapat menilai tahap pencapaian dengan telus,“ jelasnya lagi.

Sebelum mengakhiri sesi temu bual, Jurulatih Utama Prasekolah Negeri Perak sejak dari tahun 2007 sehingga kini sempat menitipkan pesanan kepada pelajar di luar sana yang berminat menjadi guru prasekolah di masa akan datang supaya sentiasa menyayangi murid-murid seperti anak sendiri.

“Guru prasekolah perlu menanamkan rasa seronok ketika mengajar dan sentiasa bersedia untuk belajar daripada kehidupan yang dilalui oleh murid-murid mereka.

“Sentiasalah berdoa yang baik-baik untuk semua orang dan bajai minat untuk suburkan matlamat menjadi pendidik, insya-ALLAH anda akan melalui pengalaman yang menyeronokkan sepanjang bergelar guru,“ tuturnya.

Profil

Nama: Mohd Affendy Mohd Hidzir

Status: Berkahwin

Bilangan anak : 4 orang

Umur : 41 tahun

Asal : Kuala Lumpur

Menetap : Tanjung Malim, Perak

Nama sekolah : SK Bandar Behrang 2020

Pengalaman mengajar : 15 Tahun

SK Tanjong Malim (2006 - 2012)

SK Bandar Behrang 2020 (2013 hingga kini)

Kelulusan akademik :

Diploma Pembangunan Manusia, UPM Tahun 2000

Ijazah Sains (Pembangunan Manusia), UPM Tahun 2002

KPLI Prasekolah, Maktab Perguruan Ipoh, Perak Tahun 2005

Anugerah :

Jurulatih utama Prasekolah Negeri Perak 2007 hingga kini

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2008

Anugerah Guru Cemerlang Prasekolah Tahun 2015

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2017

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok