image_2021-07-16_200957
image_2021-07-16_200957

4 penyelenggaraan asas komputer yang wajib diketahui

Mohd Khairi Mohamad Yusri
16 Jul 2021 08:18pm
A
A
A

Tahukah anda sekiranya komputer digunakan secara berterusan, ia akan membuatkan prestasi dan kestabilan komputer tersebut menjadi semakin merosot.

Jika prestasi komputer perlahan, sudah tentu ia akan mengganggu prestasi produktiviti. Bayangkan, mahu membuka Google Meet untuk menghadiri kelas pun terpaksa dilakukan dengan lebih awal kerana risau jika membuka aplikasi tersebut mengambil masa yang agak lama.

Jika ada pembentangan lagilah teruk, anda mungkin tidak dapat membuka slide semasa pembentangan seterusnya menjejaskan konfiden anda pada hari tersebut.

Inilah sebab mengapa pengetahuan mengenai penyelenggaraan asas komputer adalah suatu perkara yang wajib diketahui oleh semua orang.

Penyelenggaraan komputer secara berkala bukan sahaja dapat memastikan prestasi yang optimum, tetapi juga dapat memanjangkan jangka hayat komputer.

GPSBestari hari ini berkongsi beberapa cara penyelenggaraan komputer yang boleh anda lakukan sendiri.

1. Sentiasa memastikan sistem pengoperasian dikemas kini

Salah satu kaedah terbaik untuk memastikan komputer berjalan dengan lancar adalah dengan sentiasa mengemas kini sistem pengoperasian.

Gambar hiasan: logo-logo sistem pengoperasian

Anda boleh memilih untuk mengemas kini setelah anda menerima pemberitahuan atau menangguhkan aktiviti tersebut di lain waktu.

Walaupun proses kemas kini secara berterusan kadang kala boleh menjadi satu proses yang menjengkelkan kerana biasanya komputer perlu dimatikan dan dihidupkan semula, tetapi dengan mengemas kini komputer anda meningkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhan serta melindungi komputer anda daripada sebarang virus yang bahaya.

2. Nyahpasang (Uninstall) program yang tidak digunakan lagi

Sekiranya anda mempunyai aplikasi yang jarang atau tidak pernah digunakan, mempertimbangkan untuk membuangnya daripada komputer anda.

Aplikasi yang tidak diperlukan sebenarnya mampu menjadi beban kepada komputer dan akan menjadikan komputer semakin perlahan dari masa ke masa.

Aplikasi-aplikasi tersebut menggunakan ruang penyimpanan yang sebenarnya dapat digunakan untuk fail-fail atau aplikasi yang lain.

cara memadamakan aplikasi di windows 10

Penulis yakin, aplikasi-aplikasi seperti Quicktime atau Microsoft Silverlight yang mungkin telah pun sedia dipasang ketika baru sahaja membeli komputer, tidak disentuh langsung sepanjang anda menggunakan komputer tersebut.

Sekiranya anda memerlukan aplikasi tersebut di masa hadapan, anda boleh dengan mudah memuat turun dari internet dan memasangnya (install) semula.

3. Kemas kini Pemacu Peranti (Driver)

Di dalam sebuah komputer, terdapat pelbagai jenis komponen yang berhubung antara satu sama lain, bagi memastikan semua komponen tersebut dapat berkomunikasi dengan baik, pemacu peranti (driver) adalah diperlukan.

Untuk memastikan komputer anda senantiasa dalam keadaan yang terbaik, pastikan pemacu peranti anda sentiasa dikemas kini.

Anda boleh memasang pemacu dengan menggunakan CD / DVD yang datang bersama semasa dibeli. Namun, sekiranya ingin mengemas kini pemacu peranti anda ke versi terkini, anda perlu memuat turunnya secara manual dari internet.

Tetapi mengapa melakukannya secara manual apabila terdapat aplikasi yang akan melakukannya secara automatik?

Terdapat banyak aplikasi yang boleh dipercayai seperti DriverSupport, Driver Booster, EasyDriver dan sebagainya. Semua aplikasi tersebut boleh memastikan semua pemacu peranti di komputer anda sentiasa dikemas kini. Tinggal pilih sahaja.

aplikasi easy driver yang boleh membantu mengemas kini pemacu peranti dengan automatik

4. Lakukan Disk Cleanup

Selepas menggukan komputer dalam satu jangka masa yang lama, komputer anda pasti akan dipenuhi sampah (junk) yang tidak diingini seperti fail sementara, halaman web luar talian, gambar-gambar kecil, sistem Windows lama serta banyak lagi.

Fail-fail tersebut sebenarnya telah mengambil terlalu banyak ruang dan akan melambatkan komputer jika tidak ada apa-apa tindakan diambil.

Sekiranya anda menggunakan Windows, disyorkan agar anda menggunakan utiliti Disk Cleanup membersihkan sampah-sampah tersebut.

Untuk mengakses ke utiliti ini, anda hanya perlu menulis “Disk Cleanup” di kotak search di bawah sebelah kiri komputer anda.

Langkah-langkah penyelenggaraan komputer secara berkala dapat membantu menjaga komputer sentiasa berada dalam keadaan terbaik. Oleh itu, anda perlu melakukanya dari masa ke masa.

Penyelenggaraan komputer yang betul akan memberi anda pengalaman menggunakan komputer yang lebih baik dan memberikan jangka hayat yang lebih lama untuk komputer anda.

Sumber: Driversupport

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok