2C951015-ADDF-4D7F-B893-242E27B9B833
2C951015-ADDF-4D7F-B893-242E27B9B833

Asah kemahiran menjahit, pelajar boleh praktik sehingga berjaya

Rasyidah Zulkifi
04 Feb 2022 09:44pm
A
A
A

Sejak tahun 2017, subjek Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) telah dijenamakan semula secara berperingkat-peringkat kepada subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).

Silibus asas jahitan merupakan salah satu cabang KHB yang masih dikekalkan bagi pelajar Tingkatan 3 dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Asas teknologi rumah tangga ini merupakan satu mata pelajaran amali yang berteraskan teknologi.

Baca juga Mendidik dan mahir menjahit, Cikgu Salina antara guru vokasional yang serba boleh

Baca juga Bidang fesyen dan tekstil janji peluang cerah, pelajar perlu lengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran

Kursus RBT tersebut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kemahiran mendraf pakaian, mengubahsuai pola serta menjahit pakaian.

GPSBestari ingin berkongsi kepada pelajar tentang beberapa jenis jahitan yang boleh dipraktikkan dari subjek RBT.

Secara asasnya jahitan terbahagi kepada dua, jahitan sementara dan jahitan kekal.

1. Jahitan sementara

Jahitan sementara mempunyai beberapa jenis jahitan termasuklah jelujur halus, jelujur kasar, jelujur tidak sama dan jelujur panjang pendek.

Jahitan jelujur halus boleh digunakan untuk membuat kedut dan mengetatkan kepala lengan.

Jahitan tersebut juga boleh menyambungkan dua atau lebih kepingan kain jika pelajar tiada mesin jahit.

Cara menjahitnya (rujuk contoh 1) boleh dimulakan dengan mata jahitan halus dan sama besar dengan jarak 3 milimeter hingga 5 milimeter.

Contoh 1 - jahitan jelujur halus

Jahitan jelujur kasar boleh digunakan untuk menetapkan kedudukan kelepet sebelum jahitan kekal

Jahitan tersebut mampu menetapkan bahagian kain yang berkedut atau melengkung supaya tegang semasa memadankan pakaian, namun, senang ia senang dicabutkan.

Cara menjahitnya (rujuk contoh 2) dimulakan dengan jahitan kia dari kanan ke kiri dan pastikan mata jahitan tersebut sama panjang atas dan bawah iaitu dengan jarak satu suku sentimeter.

Contoh 2 - jelujur kasar

Untuk mematikan jahitan, boleh tamatkan dengan jahitan kia.

Jahitan jelujur tidak sama juga menawarkan fungsi yang sama seperti jahitan jelujur kasar.

Jahitan tersebut senang dicabutkan kerana tidak begitu kukuh.

Cara menjahitnya (rujuk contoh 3) dimulakan dengan jahitan kia dari kanan ke kiri dan mata jahitan pada sebelah luar mesti berjarak satu suku sentimeter.

Contoh 3 - jelujur tak sama

Kemudian jahitan jelujur tidak sama boleh ditamatkan dengan jahitan kia.

2. Jahitan kekal

Jahitan kekal mempunyai beberapa jahitan termasuklah jahitan penyambung, jahitan pengemas dan jahitan hiasan.

Jahitan penyambung terbahagi kepada jahitan kia, jahitan halus dan jahitan mesin.

Jahitan kia (rujuk contoh 4) berfungsi sebagai penyambung kain bagi menggantikan jahitan mesin.

Contoh 4 - jahitan kia

Cara menjahitnya adalah dari kanan ke kiri dengan mata jahitan (3 milimeter ke 5 milimeter).

Jahitan kekal bersifat kukuh dan rapat ibarat dijahit dengan menggunakan mesin jahit.

Jahitan pengemas pula terbahagi kepada jahitan sembat, jahitan insang pari dan jahitan silang pangkah.

Umumnya, jahitan sembat (rujuk contoh 5) sangat kemas kerana tidak kelihatan lembaran benangnya di sebelah luar pakaian.

Contoh 5 - jahitan sembat

Cara menjahitnya dimulakan dengan jahitan kia di bawah lipatan dan dijahit dari kanan ke kiri.

Kemudian, ambil sedikit kain berdekatan tpi berlipat dan tarik jarum keluar.

Jahitan insang pari pula berbentuk ulat-ulat (rujuk contoh 6) digunakan sebagai jahitan perhiasan untuk mengemas tepi kain.

Contoh 6 - jahitan insang pari

Cara menjahitnya dimulakan dengan jelujur halus dan jarum mestilah menegak tepat ke arah penjahit di sebelah kiri.

Untuk menjahit jahitan silang pangkah, pelajar perlu jahit dari kiri ke kanan (rujuk contoh 7) dan jahit satu mata jahitan sembat kemudian tarik jarum keluar di bawah jahitan kia yang telah dibuat.

Contoh 7 - jahitan silang pangkah

Buat mata jahitan berikutnya dan ulang jelujur halus secara berselang-seli dengan selapisan dan dua lapisan fabrik.

Jahitan hiasan pula melibatkan beberapa jahitan seperti jahitan (rujuk contoh 8) insang pari, jahitan padu, jahitan suji bilang dan jahitan tulang ikan.

Contoh 8

Walaupun kelas jahitan sebegini dianggap remeh tetapi banyak kebaikannya yang pelajar perlu aplikasikan dalam kehidupan seharian.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Tuntasnya, GPSBestari berharap lebih ramai pelajar yang boleh mempraktikkan budaya menjahit ini bukan sahaja di sekolah, malah, dalam kehidupan seharian kerana bidang jahitan mendapat permintaan tinggi setiap kali musim perayaan.

Sumber: Blog Reka Bentuk dan Teknologi

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok