Bahasa isyarat penting sebagai medium pengantara
Komunikasi merupakan sebahagian penting daripada aspek kehidupan manusia dalam menyalurkan informasi atau maklumat.
Bahkan, terdapat beberapa bentuk komunikasi bagi mewujudkan penyampaian yang baik dalam kehidupan individu sekali gus membentuk budaya sihat dalam komuniti atau organisasi.
Antara bentuk komunikasi termasuk komunikasi intrapersonal dan komunikasi interpersonal.
Komunikasi intrapersonal berlaku dalam fikiran seseorang individu manakala komunikasi interpersonal melibatkan perbualan antara dua individu.
Selain itu, terdapat juga komunikasi berkumpulan atau komunikasi kumpulan kecik dan komunikasi organisasi.
Bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bisu atau pekak pula, mereka menggunakan bahasa isyarat dalam meluahkan perasaan, pendapat dan idea.
Menurut pengasas #SignOn: Malaysia Sign Language, Mohd Armi Rusli, bahasa isyarat adalah sama penting dengan bahasa lain untuk dipelajari semua golongan dewasa mahupun para pelajar.
Dia berkata, segelintir komuniti pekak berdepan kesukaran dalam menjalankan urusan melibatkan organisasi-organisasi disebabkan akses komunikasi terhad.
"Sebagai contoh, masih ramai golongan barisan hadapan seperti pegawai kesihatan atau bank yang tidak tahu menggunakan bahasa isyarat.
"Ia akan menyebabkan kami (golongan pekak atau bisu) sukar berkomunikasi dengan mereka dalam menyelesaikan urusan penting," katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.
Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) merupakan bahasa tulen atau ibunda bagi golongan pekak di negara ini mengikut Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008.
BIM juga adalah bahasa rasmi bagi komuniti pekak di Malaysia.
Jelas Mohd Armi, BIM merupakan satu keperluan bagi membantu OKU daripada terus rasa terpinggir.
"Memandangkan BIM sama penting dengan bahasa lain, adalah lebih elok sekiranya ia diterapkan dalam pendidikan hari ini bermula dari peringkat sekolah rendah,” ujar anak sulung daripada lima beradik itu.
Dia yang juga tenaga pengajar BIM menambah, terdapat banyak kelas atau program bahasa isyarat ditawarkan di negara ini sekali gus membuka peluang kepada mereka yang berminat mempelajarinya.
"BIM tidaklah sukar untuk dipelajari, mereka yang pertama kali mempelajari memerlukan masa memahami apa yang disampaikan tenaga pengajar.
"Bagaimanapun, selepas beberapa minit sesi pembelajaran, anda boleh menguasai huruf dan perkataan asas dalam BIM,” katanya yang berkecimpung dalam bidang berkenaan sejak 2013.
Dia turut menyediakan kelas asas bahasa isyarat Malaysia setiap bulan secara percuma kepada orang awam.
Mohd Armi memberitahu, BIM sangat mudah untuk dikuasai sekiranya mempunyai minat mendalam dengan latihan berkala untuk menguatkan ingatan sesuatu isyarat.
"Pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan penting dalam usaha mengangkat bahasa isyarat agar ia dipelajari oleh semua golongan, bukan terbatas kepada golongan OKU semata-mata.
"Anggaplah bahasa isyarat seperti bahasa percakapan harian biasa seperti orang bukan pekak namun diterjemahkan melalui simbol-simbol isyarat melalui tangan menggantikan suara,” jelasnya.
Artikel berkaitan
12 adab seorang pendidik ketika berkomunikasi
UA dan IPT tawar pelbagai pengkhususan komunikasi, pelajar perlu bijak pilih universiti berdasarkan minat
Peranan pengajar dalam komunikasi pembelajaran secara dalam talian