badminton (1)
badminton (1)

Jom ketahui jenis-jenis servis yang selalu digunakan dalam sukan badminton

Mohd Khairi Mohamad Yusri
28 Sep 2021 09:59am
A
A
A

Mungkin ramai dalam kalangan pelajar yang bercita-cita untuk meneruskan legasi Lee Chong Wei dan keluarga Sidek sebagai pemain badminton yang mampu membawa nama Malaysia di kejohanan badminton dunia.

Menjadi pemain seperti mereka bukannya mudah dan perlu banyak berkorban melakukan perkara yang kita inginkan. Namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil, perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah dengan mengetahui apakah teknik yang sesuai dilakukan.

Sekiranya pemain belajar dan menggunakan teknik yang salah, mungkin pada awalnya keupayaan permainan adalah lebih baik tetapi berisiko tinggi mengalami kecederaan yang kronik sekali gus akan mengurangkan kemampuan untuk beraksi.

Bermula daripada perkara asas, Sinar Bestari akan menunjukkan dua jenis servis yang biasa digunakan oleh kebanyakan pemain di seluruh dunia iaitu servis tinggi jauh belakang (lob tinggi) dan servis singkat / pendek (short service).

Servis merupakan salah satu teknik yang penting dalam permainan badminton kerana servis yang berkualiti bukan sahaja memberikan permulaan yang baik kepada permainan malahan akan meningkatkan kebarangkalian untuk memungut mata. Oleh itu,teknik servis ini harus dikuasai dengan baik agar ia konsisten dan tepat.

A) Servis tinggi jauh ke belakang (lob tinggi)

- Servis ini sangat penting dalam permainan perseorangan kerana servis yang tinggi dan menghampiri garisan belakang gelanggang akan menyukarkan pemain daripada terus menyerang dengan pukulan smesy. Ini memaksa permain yang menerima servis mengembalikan bulu tangkis dengan pukulan lob yang secara tidak langsung memberikan peluang kepada pembuka servis untuk menyerang.

Posisi pemain

- Pemain berdiri kira-kira 1 memetr (m) atau 1.2m di belakang garis servis pendek dengan kaki kiri di depan kaki kanan. Sebahagian besar berat badan tertumpu pada kaki belakang. Dalam posisi berdiri seperti ini, bahu kiri diarahkan kepada pemain yang akan menerima servis.

Posisi raket dan gerak ayun

- Raket dipegang pada kedudukan di belakang badan sedikit di mana kepala raket berada pada paras yang hampir sama tinggi dengan kepala pemain. Selepas itu, bulu tangkis akan dilepaskan serentak dengan ayunan raket dari belakang ke bawah seterusnya ke depan. Berat badan akan dipindahkan dari kaki belakang ke kaki depan sambil badan dikilas ke kiri.

- Raket perlu menyentuh bulu tangkis di bawah paras pinggang. Setelah memukul, raket akan diayun segaris dengan arah pergerakan bulu tangkis. Ayunan ikut lajak ini adalah tinggi dan melepasi bahu kiri pemain. Kebiasaannya, pemain-pemain baharu akan melepaskan bulu tangkis agak lambat dan ini mengakibatkan bulu tangkis tidak dapat dipukul dengan tepat.

B) Servis singkat / pendek ( short service)

- Servis ini biasanya digunakan dalam semua permainan beregu.

Posisi pemain

- Pemain akan mengambil tempat yang berdekatan dengan garis tengah dan garis servis pendek semasa membuat servis. Kedudukan permulaannya agak sama dengan kedudukan semasa servis tinggi dilakukan.

Posisi raket dan gerak ayun

- Bulu tangkis dipegang di bahagian depan badan pada kedudukan yang agak rendah berbanding dengan kedudukan bulu tangkis semasa servis tinggi dibuat. Berbeza dengan pukulan servis tinggi, raket tidak akan diangkat ke belakang tetapi berada di depan badan pemain. Bulu tangkis tidak dipukul kuat seperti dalam servis tinggi tetapi seakan-akan dipandu agar melepasi jaring. Sebenarnya, ayunan yang ringan sahaja diperlukan untuk melakukan servis pendek ini. Semasa ayunan dibuat, pergelangan tangan permain tetap terkunci.

-Apabila membuat servis pendek, bulu tangkis bukan sekadar dihantar melepasi jaring, malahan pemain juga perlu memastikan bulu tangkis berada sedekat mungkin di bahagian atas jaring. Ia bertujuan mengelakkan daripada terus diserang oleh penerima servis. Berat badan dipindahkan dari kiri belakang ke kiri depan semasa servis pendek dibuat. Ayunan lanjutan serta putaran bahu adalah paling minimum.

Selamat mencuba!

Sumber: http://chowyeeghee.blogspot.com

Artikel berkaitan 

Guru Cemerlang kongsi jalan pintas skor A+ Kimia SPM 2022

UPSI, UUM tubuh kelab badminton

Nur Faizzatul dan Fatin Mahirah berbakat dalam bola jaring, harum nama sekolah dan daerah Johor


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok