mujahidah
mujahidah

Kebolehan mencipta karakter, untuk menjadi pereka kostum yang unik

Rasyidah Zulkifi
15 Aug 2022 11:52am
A
A
A

Perbezaan deskripsi kerja antara pereka fesyen dan pereka kostum adalah kemahiran mencipta karakter.

Sementara yang lain di bawah satu skil yang sama, namun pereka kostum lebih kepada pembuatan busana yang spesifik dan mempunyai tujuan tertentu.

Contohnya, seragam yang dipakai oleh barisan pelakon dalam filem-filem dengan pelbagai watak yang unik. Selain itu, kostum juga digunakan dalam majlis bertema.

Sehubungan itu, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemahiran dalam pembuatan kostum, Sinar Bestari telah menghubungi Pensyarah Seni Reka (Fesyen), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Mujahidah Mohd Misbahul Munir, 28.

Menurut Mujahidah, pereka kostum di negara ini tidak ramai dan ia boleh dibilang dengan jari jika hendak dibandingkan dengan pereka fesyen.

“Mereka yang menjadi pereka kostum ini, biasanya penaja yang akan mencari mereka.

“Dalam satu kawasan itu cuma ada dua ke tiga orang sahaja kerana pelanggan tidak ramai dan pereka kostum ini hanya dicari sekiranya ada program tertentu.

“Tambahan, kostum tidak dihasilkan setiap hari dan ia mempunyai target tertentu untuk dikeluarkan dan kebiasaannya hanya satu bagi setiap watak,” katanya yang memberitahu pereka kostum ini ‘dicari’ oleh penaja seperti dalam program The Masked Singer Malaysia.

Karakter kostum

Justeru, untuk mencipta kostum ini, Mujahidah berkata, pereka perlu memahami karakter terlebih dahulu seperti yang dibincangkan dengan pihak penaja.

“Setiap proses reka bentuk untuk menjadikan sehelai baju, memerlukan pereka membuat kajian dan fahamkan dahulu apa yang dikaji itu.

“Karakter memainkan peranan penting dan mencerminkan diri si pemakai, jadi buat langkah demi langkah dengan teliti.

“Jangan reka terus sebab jika tersalah buat, pereka akan berdepan kesukaran untuk mengubah semula pakaian yang sudah siap dan maksud karakter yang dibawakan melalui kostum itu juga lari,” ujar anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu lagi.

Menurutnya, jika pereka tidak mempunyai idea untuk memulakan projek kostum, inspirasi boleh diambil dengan merujuk kepada sesuatu isu atau objek.

“Contohnya, berkenaan mendaki. Daripada isu itu kita kena melakukan banyak pembacaan untuk mengetahui apa kekurangan yang boleh ditambah baik.

“Kemudian, kita boleh menemu bual pemilik pelbagai jenis jenama untuk mengetahui kekurangan yang ada pada baju-baju sedia ada dan akan baik pulih serta reka bentuk semula pakaian," jelasnya yang mengatakan kostum bakal menjadi produk multifungsi.

Disebabkan itulah ia disifatkan sebagai spesifik kerana lain daripada yang lain dan tidak seperti pakaian harian yang biasa.

“Contoh karakter untuk teater paling asas, kisah Nujum Pak Belalang. Pereka perlu mendalami kisah itu dahulu dan dari situ kita akan mencipta kostum tersebut.

“Kemudian pereka akan mengaitkan material dengan peredaran zaman sekarang, sama ada ia relevan atau tidak.

“Sebab Nujum Pak Belalang ini merupakan kisah zaman dahulu, jadi dari situ kita cipta setiap karakter dengan memasukkan penataan batik, sutera dan songket,” katanya yang pernah bekerja di Cempaka International School, Cheras, Selangor.

Menceritakan dengan lebih lanjut, sepanjang perkhidmatannya di Cempaka International School, Mujahidah pernah menjadi pereka kostum baju teater kanak-kanak.

“Murid-murid di sekolah tersebut tiap-tiap tahun mengadakan teater dan saya merupakan salah seorang pereka junior mereka dahulu.

“Banyak pengalaman yang diperolehi, memandangkan saya siswazah dalam bidang fesyen sejak dari diploma lagi.

“Kemudian di peringkat sarjana muda dan sarjana pun saya menyambung jurusan yang sama sehinggalah ditawarkan kekosongan jawatan sebagai pensyarah di UiTM Shah Alam,” ujarnya yang pernah mengambil kursus fesyen di GiatMARA, namun, kursus itu tidak dapat dihabiskan selepas UiTM menawarkan pengajian di peringkat diploma kepadanya.

Begitupun, dia sempat mempelajari asas fesyen lebih kurang empat bulan di sana yang sedikit sebanyak membantunya ketika belajar di menara gading.

Artikel berkaitan

Mak Roha kongsi 9 tip hasilkan kulit batang buruk, memang unik, sedap dan istimewa!

Bina karakter diri dan tip temu duga secara online

Kemahiran digital SK Dato’ Wan Kemara raih pengiktirafan antarabangsa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok