Khas untuk bakal jurutera 'anda perlu bijak meneroka dan memandang ke hadapan bukan ke belakang'
Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) menawarkan pelbagai jenis pengajian atau jurusan kepada pelajar lepasan sekolah menengah.
Oleh itu, bagi pelajar yang sudah membuat keputusan untuk memilih jurusan disukai, sudah tentulah mereka mengambil kursus berdasarkan keupayaan, kebolehan dan minat masing-masing.
Sinar Bestari tertarik dengan perkongsian pengguna Kamarul Sahrin yang membuat hantaran di Facebook, baru-baru ini.
Merupakan seorang jurutera sejak 1994, Kamarul menulis coretan khas untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga kepada bakal jurutera.
Dalam hantaran tersebut, beliau menggalakkan pelajar lepasan peperiksaan itu memilih bidang kejuruteraan sebagai pilihan.
Ini kerana, jurusan yang semakin mendapat perhatian itu mempunyai pelbagai keistimewaan sekiranya pelajar benar-benar berminat terhadapnya.
Berikut dikongsikan coretan ikhlas Kamarul untuk adik-adik di luar sana. Semoga bermanfaat ya!
*****
Bagi pelajar lepasan SPM, saya menggalakkan anda untuk memilih bidang kejuruteraan.
Pilih jurusan yang berkaitan software programming, data analytic, artificial intelligent dan yang sewaktu dengannya.
Tetapkan minda yang jelas iaitu anda belajar bidang ini untuk bekerja sendiri bukan untuk makan gaji.
Dengan kemahiran dan kebolehan dalam kejuruteraan perisian (software engineering), pelajar boleh mencapai pasaran di seluruh dunia.
Paling kecil pun anda boleh jadi pembangun perisian bebas (freelance software developer) sambil bekerja dari rumah dengan klien di seluruh dunia juga.
Bina jiwa, minda dan kekuatan global.
Tidak benar gaji jurutera sekarang sama dengan 20 tahun dahulu. Gaji saya iaitu jurutera sejurus tamat pengajian pada tahun 1994 ialah RM1,800.
Pada 2001 rasanya untuk graduan baru habis belajar dalam RM2,400. Sekarang sekitar RM3,400. Itu kalau makan gaji.
Kalau ada sarjana (master) pula, rasanya boleh mencecah RM4,500. Kalau doktor falsafah (PhD), sekitar RM7,000 untuk gaji permulaan.
Jadi, jika mahu gaji besar, purata gred kumulatif (CGPA) mesti capai apa yang telah ditetapkan serta beberapa kriteria lain. Barulah dapat bekerja di syarikat besar dan gaji pun banyak.
Kalau tamat pengajian dengan Kelas Pertama pula, anda mendapat gaji lebih daripada orang biasa.
Namun usahlah belajar dan menuntut ilmu kerana gaji. Belajar perlu ada semangat dan tujuan yang hebat dalam hidup. Jadi, jika nawaitu yang betul dari awal, anda tidak perlu risau soal lain.
Semasa di universiti nanti belajar kemahiran insaniah terutama kepimpinan. Kemahiran insaniah ini yang menentukan kejayaan pelajar dalam kerjaya.
‘Jurutera tanpa kemahiran insaniah ibarat jasad tanpa roh.’
‘Kemahiran insaniah lemah ibarat membawa kereta mainan dan kemahiran insaniah hebat ibarat membawa ilmu kejuruteraan menaiki kereta F1’.
Belajar menjadi lain daripada kebiasaan atau arus perdana.
Jurutera mesti kreatif dan inovatif.
Belajar menjadi analitikal. Usah terima bulat-bulat segala hukum hakam dan teori yang diajar. Cabar bagaimana semuanya bermula atau diperolehi. Baru asas ilmu kukuh.
Kalau masuk universiti anda jadi pak turut ilmu, maka elok pilih bidang lain. Ilmu bercambah dengan diskusi bukan bulat-bulat dituruti tanpa difikir buruk baiknya.
Kita memerlukan jurutera yang berminat untuk meneroka dan memandang ke hadapan bukan ke belakang.
Yang mampu mencipta bukan dicipta.
Yang sentiasa mencipta lautan peluang di hadapan mereka dan bukan disuap tanpa henti serta jurutera yang yakin dengan diri sendiri.
Justeru, pilihlah bidang kejuruteraan.
Wanita juga sangat sesuai menjadi jurutera. Malah ada syarikat memberi keutamaan kepada calon wanita.
Oh ya, satu lagi, anda boleh mulakan dengan bidang kejuruteraan dan boleh menukar kerja kepada bidang lain sebagai guru, pensyarah, pakar motivasi, perniagaan, pertanian, politik dan lain-lain.
Dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), teknologi sedang memangkin pengunaan teknologi di dalam pelbagai industri termasuk pertanian, pendidikan, pengangkutan dan logistik, perniagaan, tenaga dan banyak lagi.
Artikel berkaitan
Mahu menjadi Pakar Bedah? Ini 7 gabungan yang perlu pelajar ada
3 kemahiran yang perlu ada jika memilih kulinari sebagai kerjaya
Kerjaya guru bukan mudah. Para pelajar perlu tahu 5 perkara ini sebelum ceburi dunia pendidikan