Komputer tiba-tiba hidup sendiri daripada sleep mod? Jangan risau, ikuti cara ini untuk mengatasinya

Mohd Khairi Mohamad Yusri
24 Aug 2021 10:57am
A
A
A

Meletakkan komputer pada mod tidur adalah antara perbuatan yang biasa dilakukan selepas habis menggunakannya. Ini kerana dengan menggunakan mod tidur, komputer akan mudah untuk dihidupkan apabila ia hendak digunakan kelak.

Namun, kadang-kadang anda akan mendapati komputer hidup dengan sendiri pada waktu tengah malam atau bila-bila masa sahaja. Perkara ini pastinya merunsingkan kerana ia akan meningkatkan bil elektrik bulanan.

Jangan risau kerana ia bukan perbuatan paranormal, tetapi mungkin kerana terdapat beberapa aplikasi yang dihidupkan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh sistem Windows.

1. Cari punca kenapa komputer tiba-tiba hidup dengan sendirinya.

Sistem Windows mengetahui apa yang menyebabkan komputer hidup dengan sendiri. Jadi ketika ia tiba-tiba hidup, pergi ke menu Start dan cari "cmd," kemudian right-click Command Prompt dan pilih Run as administrator. Kemudian, tulis command di bawah ini dan tekan Enter:

powercfg -lastwake

Sekiranya bernasib baik, sistem akan terus memberitahu punca dengan serta merta. Dari situ, anda boleh menetapkan semula tetapan program tersebut atau menyahpasangnya (uninstall) terus bagi menghentikan masalah ini.

Sekiranya command tersebut tidak membantu, cuba pula command di bawah ini.

powercfg -waketimers

Anda juga mungkin akan menjumpai maklumat tentang punca masalah ini di Windows Event Viewer. Klik menu Start, cari "Event Viewer," dan lancarkan program tersebut. Kemudian, di bar sisi, pergi ke Windows Logs > System, kemudian klik butang Filter Current Log di sebelah kanan tetingkap.

Pilih Power-Troubleshooter daripada menu Event Sources dan klik OK untuk melihat jadual masa komputer dihidupkan dan apa yang menyebabkannya.

Dengan menggunakan maklumat tersebut, anda boleh mencuba beberapa penyelesaian di bawah ini agar komputer anda tidak terbangun secara rawak lagi.

2. Ubah kemaskini Windows dan jadual pemulihan

Kemas kini Windows memang selalu menjadi punca kenapa masalah ini berlaku. Terdapat beberapa cara untuk menyelesaikan masalah ini.

Pertama sekali, buka Windows Updates untuk menetapkan semula jadual kemas kini dan boot. Di sini, tetapkan Active Hours and Reboot ke masa yang lebih sesuai atau tangguhkan terus kemas kini. Perkara-perkara ini mungkin dapat menyelesaikan masalah ini.

Jika masalah ini masih berterusan, buka menu Start, cari "Group Policy," dan pergi ke Computer Configuration > Administrative Templates > Windows Components > Windows Update, kemudian klik dua kali Enabling Windows Update Power Management dan tetapkan ke Disabled.

Windows juga menjalankan tugas membaiki perisiannya secara automatik sekurang-kurangnya sekali sehari. Perkara ini merangkumi kemas kini, imbasan keselamatan, dan beberapa tugas lain.

Jadi perkara ini akan menyebabkan komputer akan terbuka dengan sendiri. Tetapi tidak perlu risau, kerana tetapan ini boleh diubah. Hanya perlu buka menu Start, cari "Scheduled Maintenance," dan buka pilihan yang dijumpai.

Disini, anda boleh mengubah masa pembaikan dijalankan. Sebagai contoh, tetapkan ia pada jam 5 petang.

3. Matikan pemasa bangun

Sekiranya langkah-langkah di atas tidak dapat menyelesaikan masalah ini, anda mungkin perlu cari pemasa bangun yang ditetapkan di dalam komputer.

Buka menu Start, cari "Edit Power Plan", dan klik Change Advanced Settings di tetingkap Edit Plan Settings.

Pergi ke Sleep > Allow Wake Timers dan matikan Battery and Plugged In. Ulangi proses ini untuk semua aplikasi.

Disyorkan juga untuk membuka PowerShell dan menjalankan command berikut:

Get-ScheduledTask | where {$_.settings.waketorun}

Perkara ini mungkin dapat membantu mencari aplikasi yang dijadualkan. Sekiranya jumpa mana-mana aplikasi yang mahu dimatikan, buka menu Start dan cari "Task Scheduler", kemudian pergi ke program yang ingin dimatikan, dan klik dua kali untuk mengedit. Pilih tab Condition dan tekan uncheck kotak Wake the Computer to Run This Task.

Masalah ini mungkin agak sangat sukar untuk diselesaikan, dan mungkin perlu mencari masalahnya dengan lebih mendalam lagi. Tetapi langkah-langkah di atas dapat membantu menyelesaikan masalah ini.

Perlu diingat bahawa masalah sama mungkin akan berulang dan perkara ini perlu dilakukan sekali lagi. Sebarang pemasangan aplikasi baru, kad grafik, perkakasan baru, atau kemas kini Windows akan menyebabkan masalah ini berulang. Tetapi sekurang-kurangnya selepas ini anda tahu apa yang perlu dibuat.

sumber: PCmag

Artikel berkaitan 

Audio komputer tidak berfungsi? Ini cara selesaikan masalah itu

Ini 6 tip dan trik komputer yang wajib anda tahu!

Pesilat perlu berani, kuasai kemahiran menerusi latihan berterusan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok