Ingin jadi pelajar cemerlang, ini tip yang perlu diketahui

Mohd Khairi Mohamad Yusri
05 Aug 2021 09:26pm
A
A
A

Seorang pelajar seharusnya sentiasa mempunyai disiplin yang tinggi dan mampu menyusun strategi tersendiri sekiranya mahu menjadi pelajar cemerlang atau memperoleh kejayaan dalam akademik masing-masing.

Antara strategi untuk menjadi pelajar cemerlang adalah seseorang itu perlu bijak untuk menguruskan masa yang ada serta tidak sesekali melakukan perkara yang merugikan dan bertangguh dalam melaksanakan tugasan.

Namun pada masa yang sama, pelajar perlu juga belajar cara untuk menguruskan kehidupan. Jadi, mempunyai strategi pembelajaran adalah penting untuk mencapai kejayaan. Di sini, GPSBestari ingin berkongsi beberapa tip pengurusan diri untuk menjadi pelajar cemerlang.

BACA JUGA: 8 tip buat nota mudah dibaca, pelajar perlu ikut

BACA JUGA: 5 Tip tampil lebih yakin ketika pembentangan di sekolah

1) Tidur

Tidur adalah penting. Semua orang perlu untuk mendapatkan masa tidur yang secukupnya setiap hari. Namun ramai juga yang mengambil remeh akan perkara ini. Seorang pelajar sepatutnya memperuntukkan tujuh hingga sembilan jam sehari untuk tidur.

Waktu tidur yang tidak mencukupi akan menyebabkan keupayaan untuk belajar terjejas, kerana antara faedah tidur yang utama adalah memulihkan otak serta menyegarkan tubuh.

2) Makan

Pemakanan yang sihat juga sangat penting supaya dapat menempuhi hari persekolahan dengan baik. Sepertimana kenderaan yang memerlukan bahan api untuk bergerak, tubuh manusia juga memerlukan 'bahan api' supaya sistem badan dapat terus bekerja dengan baik.

Makanan yang seimbang boleh membantu tubuh untuk mendapatkan lebih banyak inspirasi dan motivasi agar mampu menjadi lebih baik bagi menempuhi hari-hari pembelajaran dengan bertenaga. Dinasihatkan juga untuk memperbanyakkan makan buah-buahan dan juga sayur-sayuran, yang mana dua jenis makanan ini akan membantu badan menjadi kuat dan cerdas.

Yang paling penting, jangan lupa untuk mengambil sarapan sebelum sesi persekolahan bermula.

BACA JUGA: GLU tawar kursus bersifat simbiotik antara 4 universiti

3) Tidak ponteng

Jangan sesekali mencari alasan untuk ponteng sekolah dengan sengaja, kecuali jika berlaku hal-hal kecemasan seperti sakit atau lain-lain.

Ini kerana jika seseorang ponteng sekolah, mereka akan terlepas pelbagai maklumat-maklumat penting yang diberikan oleh guru, di mana maklumat tersebut mungkin boleh menjadi kunci kepada kecemerlangan menjawab peperiksaan. Jadi, setiap pelajar perlu sentiasa bersedia bermula dari sekarang.

4) Kalendar

Setiap pelajar perlu mempunyai kalendar peribadi dan pastikan kalendar ini perlulah diletakkan di tempat yang mudah dilihat.

Jika ada sebarang tarikh penting seperti tarikh akhir untuk menghantar tugasan, tarikh peperiksaan dan sebagainya, perlulah diletakkan di dalam kalendar tersebut. Dengan cara ini, setiap pelajar akan sentiasa bersedia untuk menyiapkan tugasan mengikut jangka waktu yang telah ditetapkan.

Mungkin adik-adik telah menyiapkan tugasan yang diberi tetapi akibat tidak mengetahui akan tarikh akhir untuk diserahkan, markah akan menjadi rendah. Jadi, amat penting untuk mempunyai kalendar peribadi ini.

5) Belajar secara berkumpulan

Jika adik-adik merupakan seorang yang jenis tidak boleh menumpukan perhatian semasa belajar bersendirian, maka tubuhkan satu kumpulan belajar bersama-sama kawan-kawan.

Dengan mengikuti kumpulan belajar, pastinya akan dapat bekerjasama dengan orang-orang yang sentiasa bermotivasi. Insha-Allah, motivasi mereka akan turut mempengaruhi adik-adik untuk terus bersemangat menuntut ilmu.

6) Pembelajaran yang berterusan

Sekiranya ingin menjadi pelajar yang cemerlang, adik-adik haruslah sentiasa mengulang kaji pelajaran, tidak kiralah jika tarikh peperiksaan masih jauh lagi.

Setiap hari, luangkan masa untuk mengulang kaji pelajaran, ini kerana informasi yang kerap dibaca akan lebih mudah untuk diingati dan difahami. Jadi, sentiasalah mengulang kaji pelajaran agar adik-adik sentiasa bersedia.

Ikuti juga GPSBestari di Twitter

Sumber:Iluminasi.com

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok