thisisengineering-raeng-bIltCMXIwRE-unsplash (1)
thisisengineering-raeng-bIltCMXIwRE-unsplash (1)

Ingin menjadi seorang pereka cipta? Ini kualiti yang perlu anda ada

Mohd Khairi Mohamad Yusri
24 Dec 2021 11:26am
A
A
A

Mungkin juga ada kalangan adik-adik di luar sana yang memasang cita-cita untuk menjadi seperti Nikola Tesla, iaitu seorang pereka cipta yang telah mencipta sesuatu inovasi yang memberi sumbangan sangat besar kepada dunia, iaitu dengan penciptaan tenaga elektrik jenis Arus Ulang Alik (AC).

Penciptaan arus AC adalah sangat penting kerana ia merupakan sebuah arus tenaga elektrik utama yang digunakan untuk menghubungkan elektrik kepada konsumer di seluruh dunia.

Tanpa inovasi ini, kos elektrik yang perlu kita bayar kini akan menjadi lebih mahal kerana pesaingnya, iaitu arus terus (DC) tidak begitu efisien dalam menghantar bekalan elektrik dalam jarak yang jauh di samping kos penjanaannya yang lebih tinggi.

BACA JUGA: Ayat “tahniah, permohonan pertukaran anda diluluskan” bikin Cikgu Qarim terdiam dan hilang kata-kata!

BACA JUGA: Hazieque Aqashah suka cabaran dan kreatif bangunkan inovasi

Di sini kita sudah boleh lihat betapa pentingnya tugas seorang pereka cipta bagi meningkatkan kualiti hidup kita. Jika anda mahu menjadi seorang pereka cipta yang berjaya, kami senaraikan beberapa kualiti yang perlu anda miliki. i.

1. Minat

Seorang pereka cipta seharusnya mempunyai minat yang mendalam kepada sesuatu yang baharu. Pereka cipta juga perlu mempunyai minat dalam menghasilkan sesuatu rekaan bergantung kepada bidang yang diceburi sama ada bidang rekaan perabot, produk, automotif, hiasan dalaman, fesyen, seni bina dan sebagainya. Selain itu, seseorang pereka cipta tersebut haruslah sentiasa bersedia mengikuti perkembangan semasa bidang rekaan yang diminati kerana bidang rekaan sememangnya akan sentiasa berubah dengan cepat.

2. Empati

Tanpa sifat empati, seseorang pereka cipta tidak akan dapat memahami kumpulan pengguna yang disasarkan dan boleh menyebabkan rekaan yang dihasilkan tidak dapat berkembang jauh. Matlamat empati adalah untuk mengenal pasti keperluan atau masalah yang mungkin dihadapi pengguna yang tidak dapat ditonjolkan secara nyata. Empati boleh dicapai dengan menjalankan penyelidikan terhadap pengguna melalui proses tinjauan atau pemerhatian. Ciri empati dapat membantu pereka cipta menghasilkan rekaan yang lebih berpotensi tinggi.

3. Kreatif

Kreatif ialah ciri yang membolehkan seorang pereka cipta berupaya untuk mencipta, mewujud dan menghasilkan sesuatu yang baharu. Ia melibatkan keupayaan berfikir yang dapat melahirkan idea baharu yang unik dan menarik, keupayaan berfikir secara kritikal dan membuat penilaian secara analitik terhadap idea dan seterusnya mengemukakan cadangan penyelesaian dan keupayaan berfikir secara praktikal yang dapat menterjemahkan idea dan teori kepada bentuk aplikasi. Ciri seorang pereka cipta yang kreatif boleh dicapai melalui proses latihan dan pembelajaran.

4. Inovatif

Inovatif adalah satu sifat yang membolehkan seseorang pereka cipta itu mencari jalan untuk menghasilkan sesuatu rekaan yang lebih baik sama ada melalui proses pengubahsuaian atau proses penambahbaikan sesuatu rekaan yang sedia ada. Hasil cetusan idea-idea yang inovatif dalam mana-mana aspek rekaan dapat meningkatkan kualiti dan potensi hasil kerja atau idea yang dikeluarkan. Idea-idea ini boleh merangkumi perubahan dalam bentuk seperti rupa, fungsi sistem, spesifikasi, prosedur penghasilan dan sebagainya.

5. Empiritif

Seorang pereka cipta yang baik perlu berfikir seperti seorang saintis yang sentiasa melihat sesuatu masalah dan perkara daripada pelbagai perspektif. Sesuatu rekaan tidak dapat dibangunkan dengan hanya berpandukan imaginasi kreatif sebaliknya perlu disokong dengan hasil penyelidikan yang konkrit dan disertakan dengan penggunaan data kualitatif dan kuantitatif. Bukti-bukti empirikal dapat dijadikan panduan yang mewajarkan pengesahan kepercayaan dalam menentukan kebenaran atau kepalsuan sesuatu maklumat yang akan digunakan dalam proses rekaan.

6. Perseptif

Perseptif membolehkan seseorang pereka cipta membuat tafsiran maklumat deria untuk mewakili atau memahami keadaan alam sekeliling. Contohnya seperti tafsiran terhadap imej yang dilihat, bunyi yang didengar atau bau yang dihidu. Semua persepsi melibatkan isyarat dari sistem saraf, yang seterusnya membawa kepada satu capaian keputusan melalui rangsangan fizikal dan kimia badan.

7. Tidak Putus Asa

Sifat tidak boleh berputus asa sangat diperlukan oleh seorang pereka cipta. Sesuatu rekaan yang dihasilkan tidak semestinya akan berjaya pada percubaan pertama. Seorang pereka cipta akan berhadapan dengan pelbagai bentuk ujian, masalah dan cabaran. Pereka cipta juga akan berhadapan dengan beberapa kegagalan sepanjang proses reka cipta dijalankan. Sifat tidak berputus asa perlu agar pereka cipta terus bersemangat untuk bangkit dari kegagalan dan terus mencuba.

8. Menjaga Alam Sekitar

Alam sekitar merupakan aset yang penting untuk kelestarian kehidupan semua makhluk di muka bumi ini. Sesuatu rekaan yang baik sudah semestinya tidak merosakkan alam sekitar. Oleh yang demikian, seorang pereka cipta yang baik harus mempunyai kesedaran dalam memelihara alam sekitar daripada pencemaran dan tidak berlaku kerosakan sumber alam.

Memandangkan alam sekitar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita, reka cipta yang dihasilkan sekurang - kurangnya perlu menggalakkan pengguna menghargai alam sekitar.

Semoga perkongsian ini meningkatkan semangat anda menjadi seorang pereka cipta yang berjaya di masa hadapan.

Sumber Buku Teks Rekacipta tingkatan 4

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok