Saya kerja sambilan kerana perlukan dana tambahan golongan B40 Nadia
Saya kerja sambilan kerana perlukan dana tambahan golongan B40 Nadia

“Saya kerja sambilan kerana perlukan dana tambahan, golongan B40” - Nadia

Rasyidah Zulkifi
14 Mar 2022 06:12pm
A
A
A

Isu bekerja sambilan dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) bukan perkara baharu lagi.

Sejak dahulu, isu ini telah diperkatakan namun nampaknya jumlah tersebut semakin meningkat terutama pada waktu pandemik.

Ada pendapat yang mengatakan bekerja sambilan ini mampu memberikan faedah dan ada pula sebaliknya. Namun semua itu bergantung kepada diri penuntut IPT itu sendiri.

Baca juga

Faedah bekerja sambilan dalam kalangan pelajar IPT

Perkara yang perlu dititik berat sebelum buat keputusan untuk bekerja atau belajar

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nadia Ahmad Fuzai, bekerja sambilan memberi kebaikan kepada dirinya.

Menurutnya, pinjaman pendidikan yang diterima tidak cukup untuk kelangsungan hidup di universiti.

“Sejujurnya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekadar menampung yuran pengajian.

“Untuk biaya perbelanjaan harian dan keperluan tambahan sebagai seorang pelajar, saya bekerja secara sambilan,” katanya.

Difahamkan, dia telah melakukan pelbagai kerja seperti mengambil bahagian di masjid, menjadi guru tuisyen dan pernah bekerja sebagai guru sambilan subjek Mandarin. Semua ini dilakukan bagi mendapatkan wang saku tambahan.

Formula WATCH kerja sambil belajar

Nadia berkongsi analogi yang diterapkan dalam dirinya iaitu formula WATCH.

“Daripada WATCH ini ada persoalan, W-Why.

“Sebagai seorang pelajar, sudah tentu kita perlukan kewangan tambahan untuk menampung perbelanjaan seharian kerana banyak keperluan dan kehendak.

“Saya ambil keputusan bekerja sambilan kerana memerlukan dana tambahan dan golongan B40,” akuinya.

Seterusnya, A-Aim bermaksud tujuan pelajar itu sendiri ketika membuat keputusan untuk bekerja sambil belajar.

Ini kerana rata-rata pelajar memerlukan kos bagi menyelesaikan tugasan dengan pergi ke merata tempat.

“Disebabkan faktor itu juga menyebabkan saya bekerja sambil belajar.

“Saya terlibat dalam kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM, jadi perlukan kos untuk pergi ke satu-satu tempat,” katanya.

Jelasnya lagi, T-Time pula masa, manakala C-Condition adalah keadaan.

“Kita tahu pelajar ini ada jadual. Kalau ada kelas, fokus guna masa untuk belajar terutamanya ketika pandemik ini belajar secara dalam talian.

“Bila tiada kelas itu kita gunakan masa sebaiknya untuk kita bekerja.

“C-Condition pula keadaan macam saya sebagai seorang pelajar yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan,” katanya.

Analogi H-Help bermaksud mahasiswa perlu membantu diri, keluarga dan orang sekeliling yang meminta pertolongan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Akhir sekali, Nadia menggalakkan penuntut IPT yang bijak mengutamakan hal penting dan mengetahui batas kemampuan diri agar berani membuat keputusan bekerja sambil belajar.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis jemputan pada sesi Facebook Live Sinar Bestari yang bertajuk 5 Daripada 10 Mahasiswa Bekerja Sambilan: Wajarkah Ini Berlaku?, sebentar tadi.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok