joshua-hoehne-iggWDxHTAUQ-unsplash
joshua-hoehne-iggWDxHTAUQ-unsplash

Perkara yang perlu dititik berat sebelum buat keputusan untuk bekerja atau belajar

Adlan Farhan Azwan
15 Dec 2021 02:42pm
A
A
A

Begitu cepat masa berlalu. Hampir dua tahun negara kita dilanda dengan pandemik Covid-19. Setakat hari ini, tiada lagi petanda yang menunjukkan kita sudah berjaya memerangi Covid-19.

Suka atau pun tidak, perkataan norma baharu sebenarnya sudah tidak boleh dipakai lagi kerana ia bukan lagi benda baharu. Kita sudah adaptasi kehidupan kita hampir dua tahun.

Banyak perkara telah berubah dan kini manusia di seluruh dunia telah pun berjaya menyesuaikan diri dalam kehidupan yang baharu.

Di Malaysia, sektor ekonomi masih dalam proses untuk menahan diri dari keruntuhan. Masyarakat juga masih berjuang demi melangsungkan kehidupan.

Melihat perspektif dari segi pendidikan, persoalan sama ada golongan muda yang berada dalam lingkungan umur 18-25 untuk sambung belajar mahupun terus bekerja menjadi perdebatan sehingga ke hari ini.

Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan seramai 202,400 bilangan graduan terpaksa menganggur. Jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya, jumlah siswazah yang terpaksa menganggur adalah 165,200.

Pertambahan angka ini sebenarnya amat meruncingkan. Sudahlah para pelajar terpaksa belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Mereka pula terbeban dengan permasalahan ini sejurus tamat belajar.

Jadi, keadaan sebegini telah mengakibatkan ramai golongan muda terpaksa berfikir lebih daripada dua kali sebelum ingin memulakan pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).

Yuran serta kos pembelajaran semakin mahal. Pembayaran internet dan mudah alih bukan sesuatu yang murah. Ramai pelajar yang terpaksa membatalkan hasrat untuk belajar atas alasan jumlah kos semasa pengajian terlalu tinggi.

Internet turut menjadi isu apabila kawasan-kawasan di luar bandar tidak mempunyai capaian internet yang begitu baik. Kadang-kala pelajar terpaksa berjalan keluar rumah hanya untuk mendapat capaian internet yang stabil bagi menjalani PdPR melalui peranti masing-masing.

Dalam pada masa yang sama, seramai 21,316 murid keciciran daripada sekolah ketika pandemik Covid-19 bagi tempoh dua tahun sehingga Julai. Angka ini sebenarnya adalah penurunan jika dibandingkan dengan tahun 2018.

Kebanyakan daripada jumlah angka ini disebabkan mereka terpaksa bekerja untuk membantu keluarga bagi kelangsungan hidup. Ramai juga yang sudah selesa bekerja sehingga tiada lagi minat terhadap pelajaran meskipun umur baru mencecah 18 tahun.

Menyambung pengajian adalah sangat penting. Mungkin bukan untuk masa terdekat tetapi untuk jangka masa yang lama. Tidak nafikan, menyambung pengajian memerlukan kos dan belanja yang besar. Tambahan pula perlukan pelbagai kelengkapan bahan pembelajaran tambahan seperti buku rujukan, laptop dan lain-lain lagi.

Jadi tidak hairanlah mengapa ramai golongan muda memilih untuk berhenti belajar dan terus ke alam pekerjaan.

BACA JUGA: “Bergelar OKU bukan penghalang untuk berjaya” – Graduan UKM

BACA JUGA: Risau untuk temu duga kerja? Lepasan pengajian baharu boleh ikuti langkah mudah ini

Namun jika golongan muda memilih untuk kerja dengan berbekalkan sijil SPM, tidak banyak pekerjaan yang boleh dilakukan.

Ingin kerja di kilang? Kilang tutup disebabkan tidak boleh beroperasi. Sektor pejabat pula turut tutup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mungkin boleh cuba untuk bekerja sebagai penghantar makanan tetapi persoalannya laratkah bekerja sebagai penghantar makanan sehingga ke hari tua.

Ikuti GPSBestari di Twitter dan Facebook

Turut dibimbangkan ialah jika berlakunya seperti pandemik ini sekali lagi, syarikat atau kilang terpaksa melepaskan pekerja bagi mengurangkan kerugian yang ditanggung. Jadi, pemilihan pekerjaan juga perlu betul.

Kesimpulannya, golongan muda pada kini perlu membuat keputusan yang tepat lebih-lebih lagi keputusan yang melibatkan masa depan. Segala jenis kebaikan dan keburukan perlu di ambil berat terlebih dahulu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok