Untitled design (4)
Untitled design (4)

Kreatif betul Project Based Learning yang Cikgu Anne buat. Boleh jadi contoh untuk guru-guru lain cuba!

Roshlawaty Md Raieh
20 Jul 2021 08:23pm
A
A
A

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pasti akan berjalan lancar apabila seorang guru mempunyai pelbagai kreativiti ketika berPdPR.

Bagi Guru bahasa Inggeris Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Dato' Seri Kamaruddin, Seri Manjung, Perak, Cikgu Nor Naimmah Othman, idea mewujudkan projek dalam pembelajaran dipuji ramai.

“Kena ada kelainan ketika mengajar. Tambahan pula, semuanya harus belajar secara dalam talian.

“Justeru, saya kongsikan projek PdPR yang saya lakukan ini untuk semua pendidik. Diharapkan ia dapat membantu guru-guru yang sedang mencari buah fikiran atau idea untuk menjalankan PdPR akan datang,” katanya.

Mari hadam perkongsian Cikgu Nor Naimmah atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Anne kalangan warga sekolah.

Perkongsian tersebut telah dipetik menerusi akaun Facebook yang dimuat naik oleh Cikgu Anne, baru-baru ini.

*****

Saya kongsikan projek PdPR iaitu PdPR Project Based Learning (PBL) atau dalam bahasa mudahnya, Pembelajaran Berasaskan Projek.

Saya laksanakan PBL bagi Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas (KSSMPK) Kefungsian Rendah Komponen Bahasa Melayu (akan datang) dan PBL bagi mata pelajaran KSSMPK Bahasa Inggeris Komunikasi.

Pada kali ini, saya akan ceritakan tentang projek PBL Bahasa Inggeris Komunikasi yang melibatkan semua pelajar Pendidikan khas kecuali kelas Tingkatan 1 di sekolah saya.

Ini projeknya.

Environmental Awareness Campaign (EAC) adalah satu usaha dan kempen yang dijalankan untuk mempromosi kesedaran tentang pentingnya memulihara alam sekitar kepada pelajar Pendidikan Khas dengan memfokuskan kepada kemahiran mendengar dan bertutur Bahasa Inggeris Komunikasi.

PBL EAC ini dijalankan selama lima minggu bermula 14 Jun sehingga 16 Julai.

Maka, dalam tempoh lima minggu itu terdapat lima aktiviti yang sedang dijalankan.

Setiap minggu, objektif pembelajaran dan kriteria kejayaan adalah berbeza-beza. Ikut kesuaian pelajar dan pendedahan tajuk pembelajaran.

Minggu 1: World Ocean Day (14/6 - 18/6)

Aktiviti bertajuk Kraf Sotong. Kraf ini dihasilkan daripada roll tissue paper atau kertas terpakai atau apa jua kertas yang ada di rumah.

Minggu 2: World Environment Day (21/6 – 25/6)

Untuk minggu kedua ini, murid didedahkan dengan konsep pemuliharaan hutan. Maka PBL Beg Kertas daripada kertas terpakai dijadikan produk projek.

Minggu 3: World Turtle and Sea Turtle Day (28/6 – 2/7)

Pada minggu ini, kita jalankan PBL Sea Turtle and Oil Spills Experiment. Kita buat simple eksperimen sebenarnya dengan menggunakan air, minyak dan pewarna makanan.

Tiga bahan sahaja untuk kita berikan kefahaman kepada murid tentang bahaya tumpahan minyak ke atas penyu. Nak kata faham, asalkan mereka dapat jawab dengan betul, dah faham la tu. Tak boleh nak expected to high macam PBL murid aliran perdana.

Bagi saya, satu eksperimen mudah. Simple. So far, objektif pembelajaran tercapai ikut kemampuan murid.

Minggu 4: International Day For The Conservation of the Mangrove Ecosystem (5/7 – 9/7)

Aktiviti PBL menghasilkan replika pokok bakau (bentuk 3D) dengan menggunakan tepung, garam, minyak dan air. Macam doh polisterin tu. Tapi kita guna tepung gandum sahaja.

Minggu 5: Day of the Seafarer (12/7– 16/7)

Untuk minggu terakhir, saya bawakan mereka tentang Hari Pelaut Sedunia. Dan sebagai pelaut juga memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan lautan.

Jadi, saya bawa konsep recycle botol plastik menghasilkan ‘pencil case’. Bahan yang digunakan adalah botol plastik, zip dan gam uhu.

Secara keseluruhan setiap minggu itu, persediaan pengajaran saya mengandungi:

1. Video pengajaran saya sendiri (saya buat unlisted kat youtube)

2. Video-video sokongan daripada youtube berkaitan setiap topik

3. Slaid persembahan dan poster menggunakan Slidesgo dan Canva.

4. PBL ini ada flowchart. Bermaksud ada carta alir dan penerangan tentang proses PBL yang dilaksanakan.

5. Soalan berasaskan permainan menggunakan Gamilab dan Kahoot. Yang ini tambahan sebab yang utama murid perlu jalankan proses PBL tersebut.

6. Bahan-bahan saya sediakan dan edarkan kepada ibu bapa (sesi pengambilan modul oleh pihak ibu bapa di luar kawasan sekolah). Contoh, tepung, garam, bekas makanan, pewarna makanan, bekas dadih dan ada murid yang saya berikan kertas warna.

7. Medium pengajaran adalah menggunakan Google Meet. Bagi murid yang tak hadir, saya kongsikan pautan video dan buat penerangan.

8. Ada senarai kehadiran murid. Old school style. Guna google docx je. Mana murid yang siap dan mana yang murid belum kita dapat tahu dan ambil pendekatan bantu dan telefon mereka.

9. Semua bahan saya masukkan dalam Google Drive untuk dokumentasi dan penulisan Kajian Tindakan akan datang.

10. Dan kebetulan baru-baru ini, Sekretariat Pengakap Laut Kebangsaan Malaysia Sea Scouts mengadakan webinar kesedaran alam sekitar berkaitan tajuk-tajuk sambutan dunia.

Sudah empat webinar yang mereka anjurkan. Semua saya sertai dan banyak ilmu dan pengetahuan baru yang saya dapat.

Sebagai ahli penolong pemimpin pengakap di daerah ini juga rasa terpanggil untuk menjalankan kempen ini. Maka, saya mempraktikkan ilmu yang diperolehi dalam webinar, pembacaan website untuk saya terjemahkan dalam bentuk slaid yang berinformasi dan penerangan sewaktu PdPR berlangsung sesuai dengan murid Pendidikan khas.

Saya juga adalah graduan Sains Perhutanan UPM tahun 2003 .

Begitulah sedikit sebanyak aktiviti yang saya jalankan semasa tiga minggu pertama PdPR kali ini.

Isu pemuliharaan alam sekitar ini sebenarnya adalah tanggungjawab bersama.

Jika kita lihat, banyak video di youtube dan laman-laman NGO di Malaysia dan di dunia menceritakan tentang kesan buruk dan ancaman kepada bumi.

Kerja perancangan saya untuk projek PBL ini kadang-kala tertangguh kerana semasa sedang membuat persediaan bahan pengajaran, hati sering tersentuh.

Dunia makin tenat kawan-kawan. Jom kita bantu dunia mana yang termampu.

Jika ada yang guru-guru yang mahu gunakan idea ini, dialu-alukan.

Ini hanyalah usaha kecil kita. Bukan besar pun. Bukan mengeluarkan wang ratusan ringgit mahupun ribuan ringgit untuk membantu kumpulan NGO conservation di Malaysia.

Namun, saya yakin. Ini merupakan sedikit gerak kerja amal untuk sokong dan membantu mewujudkan kesedaran alam sekitar dalam peringkat komuniti.

Moga bermanfaat.

Sumber: Facebook Cikgu Anne (Nor Naimmah Othman)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok