Landmark College 2
Landmark College 2

Mahalnya! 10 universiti dan kolej dengan yuran tertinggi di dunia

Adlan Farhan Azwan
07 Mar 2022 04:44pm
A
A
A

Mendapatkan pendidikan yang berkualiti menjadi satu aspek penting pada hari ini supaya dapat melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sekali gus dapat memenuhi permintaan yang perbagai dalam perkembangan dunia digital.

Jadi, tidak hairanlah jika lebih ramai individu tanpa mengira peringkat umur memilih untuk menyambung pengajian di pelbagai peringkat malah semakin banyak institusi pengajian tinggi (IPT) mula menawarkan konsep pembelajaran sepanjang hayat agar lebih ramai masyarakat mampu mendapatkan pendidikan yang terbaik.

Namun begitu, kos pendidikan pada hari ini turut memberi cabaran kepada pelajar-pelajar IPT. Jika di Malaysia, pelajar boleh melakukan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk digunakan sepanjang tempoh pengajian di kampus.

Rata-rata universiti awam (UA) di negara ini juga mengenakan kadar bayaran yuran yang masih mampu dibiayai dengan adanya biasiswa dan pinjaman sedia ada.

Namun, pernahkah anda terfikir universiti manakah yang paling mahal di dunia? Dengan kos yang tinggi, adakah universiti tersebut mampu memberikan pendidikan yang setaraf dengan kos yang perlu ditanggung pelajar?

Baca juga

“Alhamdulillah, I got into Stanford” – Pelajar terharu diterima masuk ke universiti idaman

7 bangunan ikonik di dunia, terap pelbagai konsep unik, moden dan berteknologi tinggi

Sinar Bestari ingin mengambil peluang ini untuk berkongsi dengan anda semua senarai 10 universiti paling mahal di dunia.

1. Kolej Harvey Mudd, Amerika Syarikat

Kos: $67,255

Kredit foto: HMC.edu

Apakah yang menyebabkan kolej ini dinobatkan sebagai kolej paling mahal di dunia? Hakikatnya, kos pengajian yang sangat tinggi ini mempunyai kadar pengeluaran PhD dalam bidang sains, teknologi, kejuteraan dan matematik (STEM) tertinggi ke-2. Majalah terkemuka, Forbes menilainya sebagai kolej atau universiti ke-18 terbaik di negara ini.

2. Universiti Columbia, Amerika Syarikat

Kos: $66,383

Kredit foto: The New York Times

Ditubuhkan pada 1754, Universiti Columbia ialah salah satu daripada sembilan Kolej Kolonial di Amerika Syarikat, yang merupakan kumpulan universiti yang diasaskan sebelum Revolusi Amerika.

Kolej ini mempunyai 6,162 pelajar sarjana muda yang mendaftar dan hanya menerima pelajar pada kadar kira-kira enam peratus daripada jumlah permohonan.

3. Universiti New York, Amerika Syarikat

Kos: $65,860

Kredit foto: New York University

Ditubuhkan pada tahun 1830, Universiti New York merupakan salah satu universiti pertama yang mengambil pelajar berdasarkan keupayaan akademik mereka.

Ia adalah antara kolej multinasional yang paling banyak di dunia dan mempunyai cawangan di seluruh dunia. Antaranya Eropah, Asia, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

4. Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat

Kos: $65,500

Kredit foto: MIT News

Pusat pengajian ini telah memainkan peranan penting dalam pembangunan aspek kejuruteraan, sains moden dan matematik.

Tidak hairanlah ia adalah salah satu kolej termahal di dunia kerana MIT terkenal di seluruh dunia terutama dalam bidang inovasi dan kekuatan akademiknya sehinggakan mampu melahirkan seramai 93 pemenang Hadiah Nobel dan 26 pemenang Anugerah Turing.

5. Universiti Oxford, United Kingdom

Kos: $62,000

Kredit foto: India Today

Universiti Oxford ialah universiti kedua tertua di dunia. Universiti Oxford mempunyai reputasi untuk menghasilkan beberapa minda terbaik di United Kingdom.

Pada tahun 2018, universiti ini mempunyai jumlah pendapatan sebanyak £2.237 bilion dan menduduki tempat kelima dalam QS World University Rankings pada 2019.

6. ETH Zurich – Institut Teknologi Persekutuan Switzerland

Kos: $60,000

Kredit foto: ETH Zurich

Memfokuskan pada sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, ETH Zurich diasaskan oleh Kerajaan Persekutuan Switzerland pada tahun 1854.

Misi utama universiti adalah untuk mendidik saintis dan jurutera serta berkhidmat sebagai pusat kecemerlangan negara dalam sains dan teknologi.

Universiti ini dianggap sebagai salah satu universiti terbaik di dunia dan menduduki tempat ketujuh dalam QS World University Rankings.

7. Universiti Chicago, AS

Kos: $57,000

Kredit foto: University of Chicago News

Terkenal sebagai universiti yang berpengaruh, John D Rockefeller dan American Baptist Education Society telah mengasaskan Universiti Chicago pada tahun 1890.

Universiti tersebut mempunyai sebilangan besar pemenang Hadiah Nobel dan telah menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat. Ia adalah salah satu majikan terbesar di Chicago, dengan 16,000 kakitangan pentadbiran.

8. Kolej Vassar, Amerika Syarikat

Kos: $56,960

Kredit foto: Vassar College

Dengan kos bernilai $57,000 bagi yuran pengajian, Kolej Vassar menduduki tempat ketujuh dalam senarai ini. Ia disenaraikan sebagai sekolah seni liberal kebangsaan ke-11 terbaik di Amerika Syarikat.

Selain itu, kolej ini mempunyai 2,350 pelajar sarjana muda dan kadar penerimaan sebanyak 24 peratus.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

9. Kolej Trinity, Amerika Syarikat

Kos: $56,910

Kredit foto: USNews

Kolej Trinity mempunyai kira-kira 2,400 pelajar dan kadar penerimaan keseluruhan hanya 34 peratus.

Ditubuhkan pada tahun 1823, Trinity adalah salah satu kolej seni liberal tertua di negara Amerika Syarikat.

10. Kolej Landmark, Amerika Syarikat

Kos: $56,800

Kredit foto: Veterans Education Guide

Kolej ini sedikit berbeza daripada kolej termahal yang lain di dunia.

Ia direka khusus untuk pelajar yang mengalami gangguan perhatian, masalah pembelajaran dan keperluan khas.

Kolej Landmark menawarkan beberapa jenis kursus yang berbeza dan peluang pembelajaran secara dalam talian.

Universiti dan kolej dalam senarai ini sememangnya mahal, tetapi ia bergantung pada nilai yang diterima.

Walaupun mahal, kesemua universiti dan kolej ini mempunyai reputasi yang hebat dan mematuhi standard pendidikan tertinggi.

Sumber: Wealthy Gorilla

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok