PENGAKAP-LAUT-INOVASI-SINARBESTARI-2022 (1)
PENGAKAP-LAUT-INOVASI-SINARBESTARI-2022 (1)

Mohd Fikri kongsi penggunaan tali dalam Pengakap Laut. Bukan sekadar seutas tali

nadzarul.amir
19 Dec 2022 03:38pm
A
A
A

Menguasai kemahiran simpulan dan ikatan antara aspek penting dalam unit beruniform Persekutuan Pengakap Malaysia.

Kemahiran itu bukan sahaja dapat mempermudahkan pelaksanaan pelbagai aktiviti termasuk penerokaan dan rekreasi, malah tindakan pantas menguasai kemahiran simpulan serta ikatan mampu menyelamatkan nyawa apabila berdepan situasi tidak diingini secara mengejut.

Pengakap Laut tidak terkecuali perlu menguasai kemahiran itu, selain memberi tumpuan kepada kemahiran kepelautan dan aktiviti air.

Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan (Pengakap Laut), Persekutuan Pengakap Malaysia, Mohd Fikri Rusni berkata, terdapat pelbagai kegunaan tali terutama dalam Pengakap Laut.

“Bercakap mengenai aktiviti air, tali bertindak dalam pelbagai alat pelayaran tidak kira sama ada untuk kapal besar, kecil mahupun bot.

“Selain itu, ia juga dapat digunakan sebagai alat setting untuk persediaan dan pengemudian pelayaran,“ ujarnya.

Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan (Pengakap Laut), Persekutuan Pengakap Malaysia, Mohd Fikri Rusni.

Lelaki berusia 39 tahun itu memberitahu, tali juga merupakan medium menyelamat mangsa apabila berlaku perkara tidak diingini ketika melakukan aktiviti air.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Fik menjelaskan, terdapat perbezaan antara simpulan dan ikatan.

“Dalam bahasa mudah, simpulan lebih kepada tali itu sendiri ataupun sambungan antara dua tali.

“Bagi ikatan pula, ia melibatkan penggunaan tali dan objek. Sebagai contoh, tali akan digunakan untuk mengikat sauh,“ tuturnya lagi.

Beliau yang mula aktif sejak 2003 sebagai Pengakap Kelana Laut C di Johor Bahru, Johor, berkata, ahli Pengakap Laut perlu mahir penggunaan simpulan dan ikatan tersebut.

Kali ini Mohd Fikri berkongsi beberapa simpulan dan ikatan yang sering digunakan Pengakap Laut bersama pembaca Sinar Bestari.

1. Sambat balik (back splice)

Simpulan ini merupakan kaedah selamat untuk menghalang hujung tali daripada terburai

2. Sambat mata (eyes splice)

Sambat mata ataupun lebih dikenali sebagai eyes splice merupakan kaedah mencipta gelung kekal di hujung tali dengan penyambungan tali.

Ia turut digunakan untuk melindungi tali yang dipasang cangkuk atau dawai.

3.Lilit tindih kejap (rolling hitch)

Ia digunakan untuk memasang tali pada batang, tiang atau tali lain. Gabungan ikatan pengail dan lilit tindih kejap digunakan dalam penyediaan sauh ketika berada di lautan.

4.Ikatan pengail (fishermen‘s bend)

Ikatan pengail merupakan simpulan yang sangat kuat dan ringkas, malah tidak akan tersekat atau tergelincir di bawah tekanan serta boleh ditanggalkan dengan mudah.

Ia digunakan untuk memasang tali pada cangkuk, sauh atau objek lain.

Bagaimanapun, simpulan berkenaan boleh tergelincir jika bahagian hujung tidak diikat dengan baik.

5.Simpul ujung tali (heaving line)

Ia simpulan yang digunakan untuk menambah berat pada penghujung tali bagi memudahkan tali dilempar.

6.Genggam monyet (monkey fist)

Ia dinamakan genggam monyet kerana kelihatan seperti penumbuk kecil dan akan diikat pada hujung tali untuk dijadikan pemberat.

Kebiasaannya, genggam monyet akan dipadankan dengan lilit tindih kejap.

Gabungan tali ini akan disambung pada tali kapal besar kerana agak sukar untuk mengangkat tali besar berkenaan.

7.Simpul tindih kasih (bowline)

Simpulan ini digunakan untuk menambat bot, mengangkat, mengangkut dan mengikat satu tali ke tali lain.

Ia tidak akan tergelincir atau tersekat walaupun dalam keadaan tegang tetapi boleh dilonggarkan dengan mudah apabila ditolak menggunakan jari.

Mereka yang mahu melakukan kerja-kerja menyelamat juga boleh menggunakan ikatan ini dengan memasukkan tanjul keliling badan mangsa.

8.Simpul manok (clove hitch)

Ikatan ini dipadankan bersama simpul tindih kasih dan sheet bend, malah dianggap salah satu simpulan paling penting. Ia paling berkesan digunakan sebagai simpulan silang.

Begitupun, ia tidak boleh digunakan pada tali yang nipis atau licin kerana boleh menjadi longgar dan menyebabkan objek menggelongsor terutama apabila beban sedang berayun ataupun berputar.

Simpul manok turut digunakan semasa kecemasan atau untuk menuruni dan menaiki tebing.

Artikel berkaitan

Pengakap Laut dilengkapi kemahiran kepelautan. Keselamatan dan kelangsungan hidup di laut menjadi keutamaan

Unit beruniform tunjang kejayaan SMK Taman Maluri dalam bidang kokurikulum

Nursafiy aktif selam skuba, semangat meneroka keindahan hidupan laut dalam


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok