Hasil projek inovasi yang dihasilkan oleh Nur Fatiha bersama pasukannya, langsir dengan menggunakan barang kitar semula.
Hasil projek inovasi yang dihasilkan oleh Nur Fatiha bersama pasukannya, langsir dengan menggunakan barang kitar semula.

Murid berbakat ceburi pelbagai pertandingan, raih anugerah peringkat sekolah hingga kebangsaan

Rasyidah Zulkifi
30 May 2022 03:28pm
A
A
A

Setiap pertandingan yang dianjurkan dan melibatkan pelajar sekolah rendah atau menengah tidak kira di peringkat mana pun tujuannya adalah untuk mencungkil bakat sedia ada dan juga kreativiti pelajar itu sendiri.

Ramai murid berbakat gemar menceburkan diri dalam apa jua pertandingan anjuran pihak sekolah yang pastinya menawarkan pengalaman berharga tidak kurang juga memberi peluang kepada mereka untuk mengumpul sijil penyertaan.

Artikel Berkaitan

Gigih cungkil bakat murid Orang Asli dalam robotik. Akhirnya, usaha Cikgu Mohd Zulkhairi berbaloi!

Lukis potret guna tangan dan kaki, bakat luar biasa Cikgu Saiful buat ramai terpegun

Untuk itu, apa juga pertandingan yang diadakan, cikgu-cikgu pastinya tidak ketinggalan untuk mendaftarkan nama anak murid masing-masing untuk diketengahkan.

Begitulah yang berlaku kepada dua murid aktif Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Jaya, Jengka, Pahang, Muhammad Hadif Hafiy Sharizul, 12, dan Dhiya Nur Safiyya Mohamad Safuan, 11.

Mereka yang sememangnya aktif dari peringkat awal persekolahan dilihat gembira apabila dapat melakukan perkara yang diminati dan pada masa sama dapat mengharumkan nama sekolah.

Menurut Muhammad Hadif Hafiy yang merupakan Ketua Murid, disebabkan minatnya suka meneroka sesuatu yang baharu, dia tidak hanya menumpukan kepada pembelajaran dalam bilik darjah.

Disebabkan itulah, anak bingsu daripada empat beradik ini banyak menyertai pertandingan di peringkat sekolah juga kebangsaan.

Muhammad Hadif bersama antara anugerah yang diterimanya.

“Saya pernah jadi pengacara ketika berusia sembilan tahun dan menemu ramah tokoh merdeka yang merupakan usahawan dan ahli politik di sini (Jengka, Pahang).

“Selain itu, saya juga ada menyertai pertandingan syarahan yang bertajuk Pandemik Covid-19 dan mendapat tempat ketiga," katanya yang mula meminati untuk menyertai pertandingan ketika berada di Tahun Tiga.

Apabila ditanya siapakah sumber inspirasinya, Muhammad Hadif memberitahu, ia adalah ibunya yang juga merupakan seorang guru.

Selain itu, ahli keluarga serta tidak ketinggalan guru sekolah juga selalu memberi sokongan kepadanya.

Pada masa akan datang, dia bercadang untuk menyambung Tingkatan Satu di Sekolah Permata Pintar yang dikhaskan untuk pelajar cemerlang dan berpotensi tinggi.

Sementara itu, Dhiya Nur Safiyya Mohamad Safuan pula, dia sememangnya aktif dengan pelbagai aktiviti ketika di prasekolah lagi.

Hari ini selain merupakan seorang pengawas, anak bongsu daripada tiga beradik itu merupakan seorang murid aktif dalam Penilaian Abad Ke-21 (PAK21) 2019.

Walaupun pertandingan diadakan secara dalam talian, ia tidak pernah mematahkan semangat Dhiya Nur Safiyya untuk sertainya.

“Saya memang minat dan suka menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan pihak sekolah ataupun orang luar.

"Dalam banyak pertandingan, saya lebih cenderung menyertai pertandingan bercerita kerana itu kelebihan saya.

“Apa yang saya lakukan ini bukan sahaja hendak mengisi masa lapang tetapi cikgu-cikgu mempercayai bakat yang saya ada," tuturnya lanjut.

Keluar dari zon selesa

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Intan Perdana, Port Dickson, Negeri Sembilan, Nur Fatiha Mohd Sabree, 17, pula berkongsi cerita, dia gemar melibatkan diri dalam banyak pertandingan anjuran sekolah sejak berusia 13 tahun lagi.

Menurut Nur Fatiha, apa yang dilakukan lnya itu datang sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

Tahun lalu, pelajar ini telah meraih johan peringkat negeri dalam pertandingan Do It Yourself (DIY) Made Simple 2021 dan tempat ke-15 terbaik peringkat kebangsaan.

Hasil projek inovasi yang dihasilkan oleh Nur Fatiha bersama pasukannya, langsir dengan menggunakan barang kitar semula.

"Saya sertai pertandingan itu untuk merasai pengalaman dan cuba keluar dari zon selesa kerana selama di sekolah rendah saya tidak begitu aktif.

"Pada masa sama, saya juga suka  mencuba perkara yang baharu. Walaupun ada kalanya tidak menang saya tetap gembira kerana ia saat paling berharga dan tidak boleh didapati di mana-mana," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Sambung Nur Fatiha, menang atau kalah adat bertanding begitupun dia masih dapat mengumpul sijil dan menambah markah kokurikulum.

"Saya berharap dapat menyertai banyak lagi program sebegini dan sebenarnya ramai dalam kalangan pelajar-pelajar mempunyai bakat terpendam dan mereka perlulah berani mencuba," katanya sebelum mengakhiri bicara.

***

Info

Nama: Muhammad Hadif Hafiy Sharizul

Umur: 12 tahun

Pencapaian dan anugerah:

1. Anugerah Emas Kuiz Bola Baling Peringkat Negeri

2. Anugerah Tokoh Kokurikulum Kategori Lelaki 2021

3. Naib Johan Pertandingan Syair Peringkat Daerah

4. Tempat Ketiga Pertandingan Syarahan Cabaran TKRS Peringkat Kebangsaan 2021

5. Pertandingan Teknovasi Peringkat Kebangsaan 2021- Inovasi Bahasa Melayu

6. Pertandingan Nyanyian Solo Kerohanian Adni Peringkat Daerah 2022

7. Pertandingan Seloka Peringkat Negeri Pahang 2021

8. Ketua Murid SK Desa Jaya 2022

9. Nyanyian Patriotik Peringkat Negeri 2021

10. Peserta Bicara Buku Peringkat Negeri Pahang 2022

Nama: Dhiya Nur Safiyya Mohamad Safuan

Pencapaian dan anugerah:

1. Pingat gangsa dalam Kangaroo Math Competition 2021

2. Pingat gangsa dalam Kancil Science Competition 2021

3. Johan pertandingan bercerita Bahasa Melayu peringkat zon

4. Johan pertandingan bercerita Bahasa Melayu peringkat daerah

5. Naib johan pertandingan bercerita Bahasa Melayu peringkat negeri

6. Tempat ketiga pertandingan bercerita peringkat daerah 2021

7. Kancil Science Competition awarded Honoroble Mention

8. Tempat kedua Virtual Read Aloud Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang 2021

9. Anugerah murid aktif Penilaian Abad Ke-21 (PAK21)

10. Anugerah murid ikon SK Desa Jaya 2019

11. Anugerah pencapaian terbaik 2016

Nama: Nur Fatiha Mohd Sabree

Pencapaian dan anugerah:

Pertandingan Do It Yourself (DIY) Made Simple 2021 : Reimagining Plastic Waste For 21 st Century Classroom Peringkat Kebangsaan (Fasa 2), Johan peringkat negeri dan tempat ke-15 terbaik peringkat kebangsaan

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok