nadia tengah hadapan
nadia tengah hadapan

Nadya skor aliran perakaunan, berkat patuh arahan guru

Rasyidah ZulkifiRasyidah Zulkifi
27 Jul 2022 11:33am

Tidak mustahil untuk mendapat markah penuh, 100 peratus dalam subjek Prinsip Perakaunan, jika berusaha bersungguh-sungguh kerana semua orang berhak mendapat pencapaian tertinggi dengan hasil usaha yang berterusan.

Ini diakui sendiri pelajar harapan, Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu (SAMT KKB), Selangor, Nadya Billah Norfaizul Rizal, 17.

Biarpun terpaksa melalui proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika di Tingkatan Empat, Nadya Billah membuktikan itu bukan halangan untuknya terus berjaya dalam bidang akaun.

Berbekalkan minat dan kesungguhan yang mendalam untuk menggapai impian sebagai seorang akauntan bertauliah, dia berjaya meraih keputusan cemerlang dalam ujian, baru-baru ini.

Nadya Billah (tengah dalam barisan hadapan) bersama rakan sekelas yang mengambil aliran perakaunan.

“Buat masa sekarang, saya belum menduduki peperiksaan besar dan pencapaian tertinggi saya adalah dalam ujian formatif.

“Dalam penilaian tersebut, saya berjaya mendapat markah 90 peratus bagi subjek Prinsip Perakaunan.

“Disebabkan sudah mampu melepasi angka 90 dalam ujian formatif, jadi sudah tentu saya akan target markah lebih tinggi untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Selain Prinsip Perakaunan, subjek Ekonomi, Perniagaan, Matematik dan Matematik Tambahan juga sama penting jika ingin menjadi seorang akauntan.

“Alhamdulillah, bagi subjek-subjek berkaitan, saya berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan markah 90 hingga 100 peratus dalam ujian formatif.

“Dalam masa terdekat, peperiksaan pertengahan tahun akan diadakan dan begitu juga peperiksaan percubaan SPM,” tuturnya lanjut.

Kekalkan momentum kecemerlangan

Walaupun peperiksaan sebenar semakin hampir, namun ia tidak mendatangkan masalah kepada Nadya Billah yang menginap di asrama sekolah.

Ini kerana dia gemar menyiapkan kerja yang dibekalkan guru-guru seawal mungkin, jadi dia mempunyai banyak masa untuk mengulang kaji pelajaran.

“Rahsia saya berjaya mendapat keputusan cemerlang adalah menumpukan perhatian dalam kelas dan menyiapkan segala tugasan yang diberikan oleh guru dengan cepat dan betul.

“Walaupun guru tidak masuk kelas atas urusan mesyuarat, saya tetap akan mengambil peluang untuk ke bilik guru mendapatkan tunjuk ajar supaya saya tidak ketinggalan,” katanya yang rapat dengan semua guru di SAMT KKB.

Maka, tidak hairanlah sekiranya Nadya Billah cemerlang dalam banyak subjek kerana keberkatan ilmu yang diperolehinya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, untuk berjaya dalam aliran perakaunan perlu rajin membuat latihan.

“Jika ingin skor terutama dalam subjek Prinsip Perakaunan memang perlu melakukan banyak latihan agar kita terbiasa dengan format peperiksaan sebenar.

“Tidak dinafikan kadangkala saya berasa terbeban, tapi saya menerimanya dengan berlapang dada,” ujarnya yang menganggap itu sebagai proses untuk mengekalkan momentum kecemerlangan di sekolah.

Sambungnya lagi, pelajar aliran perakaunan juga perlu rajin menyemak latih tubi yang telah dibuat untuk memastikan jawapan betul.

“Elakkan terlalu yakin dengan jawapan diberikan kerana kita manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesalahan.

“Kalau tertinggal satu kosong pun nilainya sudah menjadi lain dan kalau tersalah letak perincian pun sudah salah, jadi lebih baik lakukan semakan semula,” ulasnya lanjut.

Katanya, proses tersebut akan diulang-ulang selagi mana bergelar pelajar dalam jurusan perakaunan.

Akauntan bertauliah

Bagi Nadya Billah, aliran perakaunan menjadi pilihan kerana mendapat inspirasi daripada ibunya yang merupakan seorang akauntan.

Sebenarnya, itu yang menguatkan semangat Nadya Billah untuk menggapai cita-cita sebagai akauntan bertauliah kerana belum ada lagi adik beradiknya yang mengikuti jejak langkah ibunya itu.

Kakak sulungnya merupakan siswazah pendidikan manakala kakak yang kedua pula siswazah dalam bidang Sains, sementara adik lelaki bongsu masih bersekolah di Tingkatan Tiga.

Menurutnya lagi, kerjaya sebagai akauntan bertauliah menjanjikan pendapatan lumayan pada masa kini dan ia mendapat tempat di pasaran.

Jika dilihat dalam industri hari ini, serata tempat memerlukan khidmat akauntan bertauliah, jadi tiada istilah kerjaya ini lapuk ditelan dek zaman.

“Justeru, saya bercadang untuk menyambung pengajian dalam bidang perakaunan profesional di Universiti Malaya selepas tamat SPM nanti.

“Saya juga sudah mendapatkan khidmat konsultasi daripada kaunselor sekolah dan cikgu menyokong untuk saya meneruskan bidang tersebut.

“Jika saya mengikuti laluan seperti yang dibincangkan, peluang untuk memohon biasiswa sentiasa ada dan pada masa sama ia dapat meringankan beban ibu yang merupakan ibu tunggal,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.

**

JOM IKUT CARA NADYA BILLAH BELAJAR PERAKAUNAN

1. Hafal formula Prinsip Perakaunan

Ia berbeza dengan format kertas peperiksaan lain seperti Matematik dan Matematik Tambahan. Disebabkan itulah, formula Prinsip Perakaunan perlu dihafal kerana ia tidak disediakan di belakang kertas peperiksaan.

2. Seimbangkan debit dan kredit

Punca debit, kredit tidak seimbang adalah kerana tersalah kira atau tersalah letak perincian. Debit adalah input yang kita terima, manakala kredit pula adalah apa yang kurang atau kita beri.

3. Kira dengan cepat dan tepat

Ketika menjawab kertas soalan, adalah penting untuk mengeluarkan perincian mengikut kehendak soalan. Ini penting supaya pelajar dapat mengira dengan cepat dan tepat di samping menjimatkan masa. Masa yang terluang boleh digunakan untuk menyemak jawapan berkali-kali.

4. Fahami beza format

Bentuk T dan penyata adalah dua format yang akan memberikan jawapan pengiraan yang sama. Sekiranya ada masa lebih, pelajar disarankan membuat kedua-dua kaedah ini dalam kertas jawapan supaya lebih faham.

Artikel berkaitan

Ini yang perlu pelajar tahu tentang 7 adab terhadap guru

Pelajar perakaunan terbaik. Alumni MSU terima wang tunai RM500 dan biasiswa pengajian di ICAEW

5 tip mudah skor A+ Matematik SPM, pelajar pasti boleh buat!

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp