download (5)
download (5)

Nekad bantu sekolah di Sabah, 38 pelajar UPM berjaya kumpul dana lebih RM6,000

Roshlawaty Md Raieh
14 Jun 2021 03:18pm
A
A
A

SERDANG – Hasrat murni 38 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam membantu sebuah sekolah di Sabah, akhirnya tercapai apabila berjaya mengumpul dana melebihi RM6,000.

Kutipan yang dijalankan secara dalam talian selama sebulan di bawah Program Comfort Our Youth itu adalah untuk membantu menyediakan alat tulis dan penambaikan surau Sekolah Al Huda Islamic Learning Centre, Semporna, Sabah.

Pengarah program, Muhammad Amirul Haziq Khairul Azlan berkata, sekolah berkenaan sememangnya perlu dibantu daripada segi kemudahan pembelajaran.

“Kami melihat banyak lagi kekurangan di sekolah ini yang merangkumi alat tulis, alat bantuan mengajar dan sebagainya.

“Kerana itu, kami terpanggil untuk membantu murid di Al Huda Islamic Learning Centre agar mereka dapat belajar dengan baik,” katanya pada majlis pelancaran program tersebut, baru-baru ini.

Muhammad Amirul Haziq

Muhammad Amirul berkata, sekolah ini memberikan peluang pendidikan percuma kepada anak-anak setempat yang tidak mendapat peluang pendidikan di sekolah kerajaan atas faktor masalah kewangan dan jarak rumah ke sekolah.

Selain menyediakan kemudian, pelajar UPM turut menyediakan video pembelajaran bagi subjek tertentu supaya murid-murid di sini dapat memahami dengan lebih mendalam berkata mata pelajaran tersebut.

Sementara itu, usaha yang dilakukan mahasiswa Kursus Pembangunan Kesukarelawanan UPM berkenaan turut mendapat sokongan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial, UPM, Prof Dr Ismi Arif Ismail.

“Saya amat menggalakkan program yang akan menanam nilai keprihatinan dalam diri pelajar kerana kami ingin melihat mahasiswa menjadi ahli masyarakat yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malah dari segi kepimpinan dan sahsiah.

“Saya juga mengharapkan supaya lebih ramai lagi penuntut yang mengambil bahagian dalam program kesukarelawan seperti ini sesuai dengan moto UPM, iaitu berilmu dan berbakti,” katanya ketika merasmikan Program Comfort Our Youth.

Dr Ismi Arif

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Prof Madya Dr Nur Izura Udzir.

Dalam majlis berkenaan, turut diadakan Forum Sembang Santai “Q-tea Talk Volunteerism: Kerana Cinta Aku Rela” bertemakan kesukarelawanan.

Tiga panel telah dijemput bagi perkongsian dan kesedaran terhadap orang ramai berkaitan aspek kewangan dan aspek tenaga.

Panel tersebut ialah Pengasas Hub Usahawan Digital dan Smart Belia Malaysia, Nurliana Muhammad; Youtuber dan Pengembara Sepenuh Masa, Khairul Jamain dan Pengasas Pertubuhan Semporna Prihatin, Hassan Unus.

Nurliana

Khairul

Hassan

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok