WhatsApp Image 2021-08-03 at 8.21.39 AM
WhatsApp Image 2021-08-03 at 8.21.39 AM

Nur Aina Yasmine, Muhamad Alif antara permata negara

Roshlawaty Md Raieh
09 Aug 2021 05:46pm
A
A
A

Siapa yang tidak kenal dengan atlet memanah negara, Nur Aina Yasmine Halim, 25.

Beliau seorang yang cukup berbakat besar dalam sukan memanah dan telah meraih pelbagai kejayaan serta anugerah sama ada secara individu mahupun berkumpulan.

Ia membuktikan anak kelahiran Pengkalan Hulu, Perak ini bukan calang-calang orangnya.

Pelajar Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu itu berkata, dia tidak pernah termimpi untuk berada pada tahap sekarang.

“Tak pernah terdetik sekalipun untuk berada dalam skuad kebangsaan. Semuanya berlaku tanpa dirancang. Namun saya percaya, ini adalah rezeki yang ALLAH berikan atas usaha dan kerja keras yang dilakukan selama ini,” katanya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Menurut Nur Aina, penglibatannya dalam sukan memanah bukanlah baharu.

“Saya mula terlibat dalam sukan ini ketika berusia 10 tahun. Waktu itu, bapa, Halim Ismail merupakan jurulatih memanah dan dialah yang sering memberi pendedahan tentang sukan ini.

“Dalam keluarga bukan saya seorang yang suka dengan sukan ini, tetapi adik beradik lain juga tidak ketinggalan. Pendek kata, kami memang dilahirkan untuk meneruskan legasi abah dalam sukan memanah,” katanya lagi.

Perlawanan akhir acara berpasukan memanah di Asia Cup Stage 2, Taiwan.

Kerana minat yang mendalam dengan sukan tersebut, Nur Aina melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP), Kota Tinggi, Johor, untuk memahami selok-belok berkenaan sukan memanah.

Baca juga Pengetua kelapan SSBJ kongsi formula lahirkan atlet murid bertaraf dunia, tak sangka ini rahsianya! 

Baca juga 4 platform untuk kelas online yang jarang didengari tapi sangat membantu proses PdPR

Selepas menimba pelbagai ilmu dan memperoleh keputusan membanggakan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nur Aina menyambung pengajian peringkat diploma di UniSZA.

“Saya mengikuti Diploma Pengajian Insurans selama dua tahun dan kemudian meneruskan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial.

“Memandangkan saya atlet universiti dan negara, saya perlu bijak membahagikan masa antara akademik dan sukan,” ujarnya.

Untuk menjadi pemanah yang hebat, Nur Aina berkongsi lima perkara yang perlu ada pada seorang pemanah.

“Fokus, disiplin, kekuatan mental, ketenangan dan jangan berputus asa. Bila semua ini ada, insya-ALLAH, anda pasti akan berjaya dalam sukan memanah,” katanya yang menjadikan pemanah, Sara Lopez sebagai idola.

INFO

Nur Aina Yasmine

Pasukan Memanah UniSZA

  • Olahragawati Harapan 2016
  • Anugerah Khas Timbalan Naib Canselor 2019
  • Olahragawati 2019

Pasukan Memanah Kebangsaan 2019

  • Asian University Game, Myanmar 2018
  • Asia Cup Stage 1, Bangkok 2019
  • Asia Cup Stage 2, Taiwan 2019
  • Sukan SEA 2019 Filipina
  • Summer Universiade Napoli 2019
  • Hyundai Archery World Cup Stage 2, Shanghai 2019.

Impi beraksi bersama skuad kebangsaan

Olahragawan 2019 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor, Muhamad Alif Mat Amin, 23, merupakan atlet yang cukup aktif di universiti.

Bayangkan sejak Tahun Satu hinggalah Tahun Empat (kini), beliau masih lagi dengan dunia futsal dan berjaya merangkul pelbagai anugerah dan kejayaan.

Tidak hairanlah, dengan prestasinya itu beliau dipilih untuk mewakili negeri Terengganu.

Muhamad Alif berkata, menjadi atlet universiti (Armada UTHM) dan atlet negeri (Terengganu FC Futsal) adalah dua perkara yang berbeza.

“Kesibukan dan rasa penat berganda-ganda. Jika dulu, tumpuan hanya untuk universiti, tetapi kini, negeri juga perlu diberi keutamaan,” katanya.

Baca juga Negara – negara di dunia yang anda jarang dengar, jom ambil tahu

Walaupun sibuk dengan futsal, dia sesekali tidak pernah mengabaikan pelajaran.

“Sebelum Covid-19, jadual belajar seperti biasa. Pagi hingga tengah hari, saya akan mengikuti kelas akademik dan sebelah petang, menjalani latihan futsal di gelanggang.

“Bagi latihan negeri pula, saya akan berulang alik dari Johor ke Terengganu untuk berlatih bersama jurulatih khas. Memang agak penat, tapi  seronok,” katanya yang turut bermain dengan Kelab Keropok Dungun Futsal.

Menurut pelajar Tahun Empat jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan ini, menjadi pemain futsal perlu cepat membuat keputusan.

Muhamad Alif (kiri) memperagakan aksi cemerlang ketika mewakili Terengganu.

“Futsal bermain di kawasan tertutup. Permainan ini memerlukan kecekapan mengawal bola kerana gelanggang kecil.

“Pemain perlu memiliki stamina yang tinggi kerana perlu menendang, melompat, menggelecek dan berpusing. Kerana itu, pentingnya sesi latihan rutin yang diadakan oleh jurulatih futsal yang bertauliah,” ulasnya.

Sebagai pemain futsal universiti dan negeri, Muhamad Alif berkata, setiap atlet perlu menitikberatkan banyak perkara.

“Dua perkara yang perlu diberi perhatian sebelum menyertai kejohanan ialah pengambilan makanan dan rehat.

“Makan sebelum bertanding dan dapatkan rehat yang mencukupi sebelum kejohanan bermula. Kalau hendak berlatih, cukuplah sekadar latihan ringan,” katanya.

Memandangkan sekarang dalam pandemik Covid-19, sesi latihan dijalankan dalam talian pada setiap hari menerusi latihan kecergasan.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Akhiri Muhamad Alif, moga suatu hari nanti dia dapat beraksi bersama skuad kebangsaan dalam sukan futsal.

INFO

Muhamad Alif

  • 0lahragawan UTHM 2019
  • National Call Up 2021
  • Kini duta Figos Sportwear, duta Opi Protein Drink dan duta edstore.my
  • Idola: Khairul Effendy Bahrin (Bintang skuad futsal kebangsaan)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok