ammar-elektrik-sinarbestari-2022 (1)
ammar-elektrik-sinarbestari-2022 (1)

Nur Saif Ammar budak elektrik

nadzarul.amir
28 Oct 2022 04:31pm
A
A
A

Tidak seperti kanak-kanak berusia 11 tahun, Nur Saif Ammar Noor Soudiqqin lebih gemar 'bermain' dengan elektrik.

Lebih membanggakan anak kedua daripada tiga beradik itu merupakan antara finalis pertandingan akhir JuniorSkills Malaysia (JSM) bidang pemasangan elektrikal yang berlangsung di Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad (KVSAS), Telok Datok, Banting baru-baru ini.

Bahkan, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Undang Jelebu, Kuala Klawang, Negeri Sembilan tersebut adalah peserta termuda daripada 10 finalis dalam kategori berkenaan.

Nur Saif Ammar memberitahu dia mula serius dalam bidang elektrikal pada tahun ini apabila selalu mengikuti bapanya melakukan kerja-kerja elektrikal.

"Saya gemar mencuba rekaan baharu dari segi teknikal elektrik sekali gus memberi kepuasan apabila ia dapat berfungsi dengan baik," katanya yang menyimpan cita-cita menjadi juruterbang.

Menyentuh mengenai pertandingan peringkat akhir JSM, dia menjelaskan telah melakukan latihan intensif selama satu minggu sebelum pertandingan akhir berkenaan.

Nur Saif Ammar fokus dalam pertandingan akhir JuniorSkills Malaysia (JSM) bidang pemasangan elektrikal yang berlangsung di Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad (KVSAS), Telok Datok, Banting baru-baru ini.

"Biarpun agak memenatkan tetapi saya berpuas hati kerana dapat memberikan yang terbaik terutama apabila peserta-peserta lain lebih berusia berbanding diri saya.

"Pengalaman ini akan saya simpan untuk meneruskan minat mendalam terhadap bidang elektrikal pada masa hadapan," ujarnya.

Dalam pada itu, bapanya, Noor Soudiqqin Ismail, 38 memberitahu anaknya mula menunjukkan minat dalam bidang mekanikal dan kreatif seawal pra-sekolah lagi.

Pensyarah Elektrik di Kolej Kominiti Jelebu itu berkata, dia akan mengajar anaknya perkara asas berhubung pemasangan elektrikal tetapi dia akan menyesuaikan dengan keadaan fizikalnya yang kecil.

"Kalau dilihat dalam pertandingan ini, dia perlu melakukan pemasangan pada bahagian dinding dan bumbung untuk memastikan mentol-mentol dapat berfungsi dengan sempurna.

"Dengan keadaan fizikal yang rendah dan kecil, dia perlu menyesuaikan diri untuk menyiapkan tugasan tersebut," katanya.

Noor Soudiqqin berharap anaknya akan dapat pengalaman yang memberi manfaat apabila dapat menempatkan diri sebagai finalis JSM.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah bagi pertandingan JSM bakal diadakakan pada 3 November 2022 dalam Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM).

Artikel berkaitan

MacGyver Malaysia tidak pernah sunyi mereka cipta, inspirasi anak muda untuk terus kekal berinovasi

KPLB tambah baik silibus TVET, penuhi keperluan pasaran kerja menjelang 2025

Seminar STEM disertai 24 ahli akademik, jadikan platform bentang hasil kajian


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok