7eddd899-1d0a-4bd4-bcf9-57f8721b6a03
7eddd899-1d0a-4bd4-bcf9-57f8721b6a03

Nurainn fasih bertutur, menulis bahasa Mandarin, nekad kongsi ilmu dengan masyarakat

Roshlawaty Md Raieh
29 Jun 2021 11:34am
A
A
A

Kemahiran menguasai pelbagai bahasa tentunya banyak memberi kelebihan.

Ini diakui Nurainn Azhar, 37, yang merupakan tutor kelas persendirian bahasa Mandarin.

Katanya, hari ini dengan dunia yang semakin pesat membangun, pelbagai kemahiran dituntut dalam usaha menempatkan diri di peringkat global.

“Zaman sudah berubah. Dulu, mungkin hanya bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sahaja yang diperlukan tetapi kini penguasaan bahasa asing menjadi satu kewajipan yang perlu dipelajari,” ujarnya.

Nurainn yang fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Mandarin berkata, sejak dari kecil, dirinya memang didedahkan dengan bahasa Mandarin.

“Saya menerima pendidikan awal di tadika Cina sejak berusia 5 tahun. Kemudian, menyambung persekolahan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Mun Yee, Setapak, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Kuala Lumpur.

Nurainn (baris ketiga, dua dari kanan) ketika berada di Tahun 1 SRJK (C) Mun Yee

“Ketika di sekolah, saya memang rasa kekok, takut dan pendiam kerana tidak ramai kawan. Tapi lama kelamaan, bila dah jumpa kawan-kawan baharu, saya jadi seronok dan terus bersemangat untuk belajar Mandarin,” tuturnya.

Sambung Nurainn, proses pengajaran sangat mencabar.

“Saya bukan daripada latar belakang pendidikan. Cuma berpaksikan pengalaman bertutur bahasa Mandarin lebih 25 tahun.

“Nekad ingin berkongsi ilmu yang ada ini dengan masyarakat sangat menebal. Sebab itu, saya beranikan diri mengajar bahasa Mandarin dan alhamdullilah, semua berjalan lancar,” ulasnya lanjut.

Nurainn bergambar kenangan di hadapan sekolah menengahnya baru-baru ini selepas 18 tahun meninggalkan alam persekolahan.

Terdahulu, Nurainn pernah mengajar di Bangi, Sentul, Shah Alam, dan Sungai Buloh.

Bagaimanapun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, semua kelas fizikal bertukar kepada kelas dalam talian menerusi media sosial Facebook HUI Mandarin.

Graduan dari Malaysian Institute Integrative Media (MIIM) dalam jurusan Diploma Kewartawanan Integratif ini berkata, sambutan terhadap kelas Mandarinnya itu sangat mengejutkan.

“Ramai pelajar yang nak belajar Mandarin. Mungkin mereka mula menyedari bahawa kelebihan menguasai banyak bahasa mampu membuka peluang kerjaya yang lebih luas, memudahkan komunikasi, dan dapat memahami budaya kaum lain,” jelas Nurainn yang pernah menjadi wartawan dan penterjemah sebelum ini.

Murid Tahun 1, Nur Ery Qaisara Adriana Mohd Nizam memilih perkataan menggunakan kad imbas bahasa Mandarin.

Bergantung pada individu

Nurainn memberitahu, tidak rugi sekiranya mempelajari banyak bahasa.

“Murid saya paling muda berumur lima tahun dan yang paling tua berusia 55 tahun.

“Kesemua pelajar saya ingin mencari kelainan dalam kehidupan selain mahu belajar sesuatu yang baharu.

“Mungkin pada mulanya ia kelihatan sukar, tapi lama kelamaan menjadi mudah bila sudah temui teknik dan rentak. Saya percaya, setiap orang ada cara tersendiri, tidak perlu rasa tercabar dengan pencapaian orang lain,” katanya.

Nurainn menambah, dia akan memulakan sesi pembelajaran dengan nama am dan untuk angka pula, dia akan pastikan semua pelajarnya dapat bercakap dan memahami nombor satu hingga 10.

Menjadikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai idola, Nurainn berkata, banyak syarikat di Malaysia memerlukan pekerjanya menguasai kemahiran berbahasa asing.

“Mandarin adalah antara bahasa yang diperlukan dalam kerjaya di negara kita hari ini selain bahasa Jepun dan Korea.

“Kerana itu, bagi pelajar yang ada kelebihan bertutur dan menulis dalam Mandarin, mereka ini sangat diperlukan dalam syarikat-syarikat tertentu,” jelasnya dengan mengharapkan agar semua sekolah dapat menawarkan kepelbagaian mata pelajaran bahasa asing supaya dapat menjadi nilai tambah kepada pelajar.

Nurainn menasihati kepada semua, penguasaan bahasa asing bukanlah satu pertandingan atau penanda aras untuk menunjukkan seseorang itu lebih hebat daripada yang lain,tetapi ia merupakan penyelesaian kepada jurang komunikasi antara kaum

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok