Pelajar jurusan Skrin pasang cita-cita jadi pengarah filem yang berjaya
Tanggapan seseorang terhadap impian dan cita-cita sudah pasti berbeza-beza. Hanya diri sendiri yang berhak mencorakkan dan menentukan jalan hidup yang dipilih.
Tidak mudah untuk membuat pilihan lebih-lebih lagi apabila melibatkan masa depan. Jika tersalah langkah maka terpesonglah jalan yang dituju.
Oleh itu, keputusan daripada pemikiran yang matang perlu dilakukan sebaik-baiknya demi memastikan impian dan cita-cita bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.
Susulan itu, GPSBestari tertarik untuk membongkar impian seorang graduan daripada Jurusan Skrin, Fakulti Filem Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Perdana, Shah Alam, Nurul Liyana Sulong, 24.
Telah menghabiskan masa lebih kurang lima tahun untuk belajar dalam bidang perfileman, keputusannya untuk menyambung pelajaran di fakulti filem adalah satu keputusan yang tepat selepas bergelar pelajar cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014.
Nurul Liyana mengakui bahawa keputusan yang diambil sedikit mengejutkan ibu bapanya memandangkan dirinya merupakan bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Klang, Selangor.
“Impian saya dalam bidang perfileman ini sangat tinggi. Saya mula meminati bidang ini sejak sekolah menengah lagi. Masa itu, banyak tengok filem ‘mainstream’ dan saya mula berimaginasi.
“Saya berhasrat satu hari nanti nak buat cerita sendiri, nak buka syarikat produksi sendiri dan sebagainya.
“Jadi bila dah habis SPM, walaupun saya dari sekolah agama tapi disebabkan minat yang mendalam, saya terus sambung sekolah filem. Saya mengaku agak janggal pada mulanya kerana selalunya orang bila keluar sekolah agama mesti akan jadi ustazah, doktor atau sebagainya tapi itu tidak terjadi kepada saya kerana setiap orang ada cita-cita masing-masing,” katanya.
GPSBestari turut bertanyakan mengenai reaksi dan maklumbalas daripada ibu bapanya apabila dia membuat keputusan untuk meneruskan pengajian di dalam bidang perfileman.
“Kalau ikutkan, ibu bapa saya bersifat terbuka. Alhamdulillah mereka terima dengan hati yang terbuka. Pada mulanya saya amat takut untuk berterus terang tapi disebabkan minat saya sejak zaman remaja lagi, saya beranikan diri untuk beritahu mereka.
“Sejujurnya, mereka tahu saya minat filem tetapi mereka tidak tahu minat cita-cita saya ingin menjadi pengarah.
“Sebenarnya ayah ingin melihat saya menjadi seorang doktor memandangkan saya ambil Sains Tulen sewaktu di sekolah. Saya ingat lagi semasa habis Penilaian Menengah Rendah (PMR), ayah terus ambil borang untuk saya masuk Sains Tulen. Masa tu, saya agak terkejut kerana saya sendiri belum membuat keputusan sama ada nak masuk aliran akaun atau bidang yang lain waktu itu. Masa itu, saya dapat rasakan ayah betul-betul mahu saya menjadi seperti yang diinginkan tetapi disebabkan minat seorang anak dia terpaksa akur dengan keputusan saya. Alhamdulillah setakat ini saya tidak menerima apa-apa tentangan daripada mereka,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai, pendedahan di fakulti filem, Nurul Liyana menjelaskan fakulti filem banyak mengajar dan mendedahkan dirinya dalam industri perfileman.
“Sebenarnya banyak yang saya belajar dekat FiTA. Kami didedahkan secara teori dan pada masa yang sama kami juga didedahkan secara praktikal sebab dekat sana, sejak diploma lagi kami akan diberikan tugas-tugas melakukan penggambaran (shooting) sendiri seperti hasilkan Music TV Video/ Music Video (MTV/ MV), hasilkan Public Service Announcement (PSA), hasilkan TV Commersial (TVC), semua tu kami buat sendiri.
“Perkara paling besar yang saya belajar di fakulti filem ini, bagaimana menjadi seorang pengarah filem yang baik. Saya juga turut belajar macam mana untuk menjadi penonton yang baik sebab walaupun filem kita ini makin maju tapi kalau penonton dia masih mentah dan tak pandai menilai filem itu sendiri, tak guna juga kalau kita hasilkan filem-filem yang hebat,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai pengalaman dan penglibatan dirinya dalam dunia perfileman, Nurul Liyana tidak kekok untuk berkongsi sejauh mana dia telah melibatkan diri dalam dunia perfileman ini.
“Semasa belajar dahulu saya telah membuat beberapa filem pendek seperti Seringgit Renjana, Tiganita, LuqSirna, Sesampah, Colourblind, Kampung Sosialit, Ila dan Aiskrim, Parasomnia, Melangit bitu, dan Melodi dalam Mustika.
“Filem-filem pendek ini adalah hasil idea, penulisan, dan arahan saya. Manakala untuk filem pendek seperti Ghosted, Knock Knock, Int.Hotel-Night dan Pola-Jector adalah hasil penglibatan saya sebagai salah seorang tenaga kerja.
“Saya juga pernah terlibat dalam penggambaran drama, Bahagia Bukan Bidaan; filem, Rahsia; Super Telemovie, Siapa Tutup Lampu; Telemovie, Ramona Bertanding Ketua Kampun;, TV Program (Travelog and Magazine), dan kandungan media sosial.
“Walaupun belum mencapai cita-cita sebagai pengarah filem tapi saya percaya apa yang dipelajari akan menjadikan saya seorang yang kaya dengan pengalaman dan mahir dalam selok-belok perfileman. Saya tidak akan berhenti untuk mencapai titik kejayaan yang saya inginkan” tambahnya lagi.
Nurul Liyana turut memberitahu, pengalaman-pengalaman yang dilaluinya secara tidak langsung menjadikannya seorang yang berilmu untuk belajar menjadi pembikin filem yang baik.
Oleh itu, untuk semua yang mempunyai cita-cita seperti Nurul Liyana, tidak salah sekiranya menimba pengalaman kerana kita tidak tahu rezeki kita dalam bidang apa.
Jadi jangan lepaskan peluang yang ada demi mencapai apa yang diinginkan.