Pelajar perlu perkasa jati diri, bijak pilih rakan sebaya
Pelajar perlu perkasa jati diri, bijak pilih rakan sebaya

Pelajar perlu perkasa jati diri, bijak pilih rakan sebaya

webadmin
31 Dec 2020 01:22am
A
A
A

PADANG BESAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, golongan pelajar harus memiliki kekuatan dan motivasi diri yang tinggi, berpegang teguh kepada ajaran agama, memperkasakan jati diri serta bijak memilih rakan sebaya agar dapat membenteng diri daripada terjerumus ke dalam perlakuan tidak diinginkan.

“Marilah kita di negeri Perlis ini sama-sama berusaha mewujudkan generasi belia yang cemerlang dengan memperkasakan lagi sahsiah serta moral diri yang sempurna.

“Bertindaklah dengan lebih efisien di dalam menangani kepincangan sosial yang secara jelasnya memberi kesan secara langsung kepada belia, keluarga, masyarakat, agama, bangsa, negeri dan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat merasmikan program ‘Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Suleiman 2019’ di Dewan Datuk Mahmud Hj Hashim, Beseri, di sini kelmarin.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Program masuk tahun ke-12 itu adalah anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Baginda yang juga Pengerusi YTSP Perlis turut bertitah, sebagai ibu bapa dan guru, sudah pasti masalah sosial ini amat membimbangkan dan ia menjadi antara bentuk cabaran yang harus ditempuhi dalam dunia serba moden ini.

Justeru, baginda amat berharap agar pihak sekolah sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dan melipatgandakan kerjasama pintar dengan pelbagai pihak polis, AADK, PIBG serta komuniti setempat dalam usaha menangani gejala seumpama ini.

Bersempena kunjungan pada kali ini, Tuanku Syed Faizuddin berkenan merasmikan Dewan Terbuka Serbaguna Syed Sirajuddin Areeb Putra di sekolah berkenaan.

Baginda juga turut melawat Lazaritz Oven yang diperkenalkan di Program Pendidikan Khas Integrasi Pembelajaran (PPKIP) yang merupakan projek bakeri singkatan daripada perkataan lazat, laris dan oven sekolah itu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok