WhatsApp Image 2021-07-14 at 1.53.13 PM (1)
WhatsApp Image 2021-07-14 at 1.53.13 PM (1)

Pelajar USM- KLE kongsikan pengalaman di India semasa Covid-19

A
A
A

Belgaum, sebuah bandar kecil yang terletak di Barat Daya Karnataka, India, adalah satu bandar yang tidak asing lagi bagi pelajar Malaysia yang menyambung pelajaran dalam jurusan perubatan.

Ini kerana, India sangat sinonim dengan pelajar yang bercita-cita ingin menjadi seorang doktor atau pakar perubatan.

Biarpun, keadaan persekitaran di sana tidak seperti di Malaysia, namun ramai pelajar yang memilih untuk meneruskan ‘perjuangan’ mereka di sana.

Kerjasama antara universiti terkemuka di Malaysia dan India, semakin mendorong ramai pelajar Malaysia memilih untuk ke sana.

Menurut pelajar perubatan tahun akhir, Universiti Sains Malaysia-Karnataka Lingayat Education (USM-KLE) International Medical Programme, Belgaum, Karnataka, India, Nur Syazwani Syaza Md Nor, kebanyakan pelajar di universiti tersebut terdiri daripada pelajar Malaysia.

“Disebabkan majoriti pelajarnya terdiri daripada pelajar Malaysia, kami sangat gembira kerana dapat melakukan pelbagai perkara bersama-sama seperti mewujudkan bazar Ramadan sendiri pada bulan puasa dan solat terawih bersama-sama,” ujarnya.

Bagaimanapun, disebabkan penularan virus Covid-19, mereka tidak dibenarkan untuk solat terawih dalam bilangan yang terlalu ramai dan mereka diarahkan bersolat terawih dalam kumpulan yang kecil di bilik masing-masing mengikut peraturan yang ditetapkan.

Menyentuh mengenai proses pembelajaran di sana, Syazwani Syaza menjelaskan hari pembelajaran dan hari bekerja bermula hari Isnin hingga sabtu dan hanya bercuti pada hari ahad.

“Sebagai seorang pelajar perubatan kami perlu ke hospital dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang,” ujarnya

Tempoh masa yang diwajibkan untuk mereka melibatkan diri sangat mencabar kerana sepanjang di hospital mereka perlu menghadiri lawatan ke wad pembedahan dan bilik pesakit-pesakit luar.

“Saya mengakui status sebagai pelajar perubatan sangat memenatkan kerana setiap kawasan yang kami lawati mengambil masa beberapa jam jadi keadaan ini membuatkan kami memerlukan tenaga yang mencukupi untuk memastikan kami terus memberi tumpuan di dalam kelas,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Syazwani Syaza menegaskan, persediaan awal sangat penting untuk setiap pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran sebagai pelajar perubatan di mana-mana juga institusi perubatan.

“Mengenai aktiviti dan pergerakan pelajar sepanjang pandemik Covid-19, di sini (India) turut dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kerajaan India telah mengecualikan pelajar perubatan dan kami masih menghadiri kelas di hospital seperti biasa serta proses pembelajaran berjalan dengan lancar,” katanya sebelum mengakhiri perkongsian.

Sumber Youtube: TV IKRAM, Covid 19, doakan kami di India! Kata pelajar perubatan dari Malaysia ini

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok