Peluang sambung belajar buat anak kelahiran Sarawak subsidi yuran diberikan
Peluang sambung belajar buat anak kelahiran Sarawak subsidi yuran diberikan

Peluang sambung belajar buat anak kelahiran Sarawak, subsidi yuran diberikan

Rasyidah Zulkifi
12 May 2022 12:44pm
A
A
A

MIRI - Bahagian Pengambilan Pelajar Tempatan Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) mengadakan sesi jelajah bagi memperkenalkan peluang pendidikan dan biasiswa kepada anak Sarawak secara dalam talian.

Inisiatif ini dilakukan demi menyahut seruan kerajaan negeri untuk menggalakkan anak Sarawak melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri seperti Curtin Malaysia.

Baca juga

Esei keunikan bahasa dan etnik di Sarawak antara faktor anak kelahiran negeri ini berjaya diterima masuk ke Harvard

1,022 sekolah daif di Sarawak akan dinaik taraf – Ismail Sabri

Keutamaan diberikan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan United Examination Certificate (UEC).

Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Eksekutif Curtin Malaysia, Profesor Simon Leunig berkata penyertaan wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) amat dialu-alukan.

Simon berharap agar pelajar dalam sekolah masing-masing serta ibu bapa mereka mendapat perkongsian maklumat yang diberikan pihak universiti.

Semua peserta diberikan taklimat mengenai program pengajian asasi dan kursus-kursus ijazah yang ditawarkan seperti dalam bidang perniagaan, kejuruteraan, sains dan kemanusiaan.

Mereka juga diberikan penjelasan berkenaan bantuan kewangan, Skim Bursari BP40 yang disediakan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di Curtin Malaysia.

Melalui skim ini pelajar bumiputera Sarawak boleh menikmati kemudahan subsidi untuk yuran pengajian.

Selain itu, pinjaman penuh daripada Yayasan Sarawak turut diberikan kepada anak jati yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat asasi atau ijazah sarjana muda di Curtin Malaysia.

Pelajar hanya perlu membayar balik 25 peratus daripada jumlah pinjaman, tertakluk kepada prestasi akademik mereka dikekalkan pada Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.50 dan ke atas.

Dalam masa terdekat sesi jelajah penerangan sebegini akan diteruskan untuk sekolah-sekolah di Bintulu dan daerah sekitarnya.

Ini bagi memastikan pelajar Sarawak khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dan pelajar Tingkatan 5 tahun ini mendapat maklumat yang menyeluruh untuk menentukan pilihan pengajian mereka di universiti tersebut nanti.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Hampir 4,000 pelajar dari lebih 50 buah negara menuntut di Curtin Malaysia yang merupakan kampus cawangan Curtin University di Perth, Australia Barat.

Ia telah ditubuhkan pada 1999 sebagai usaha sama antara Universiti Curtin dan kerajaan Sarawak.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok