Untitled (12)
Untitled (12)

Pengalaman menjadi sukarelawan PPV asah kemahiran kendiri mahasiswa

Nor Azma  Muhamat Laila
06 Aug 2021 04:30pm
A
A
A

JOHOR BAHRU – Menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan sahaja merupakan sebuah pengalaman berharga namun turut boleh membentuk kendiri seseorang mahasiswa.

Ketua Sukarelawan PPV Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohd Affifudin Abdul Patar, berkata selain memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara, penyertaan sebagai sukarelawan PPV ini juga mampu mengasah kemahiran kendiri dan komunikasi seseorang mahasiswa itu.

“Sepertimana diketahui umum, kemahiran kendiri kini menjadi penentu seseorang graduan itu untuk mendapat pekerjaan sejurus selepas tamat pengajian.

"Di PPV IPT Integrasi UTM contohnya, sukarelawan bertugas terpaksa berhadapan dengan bermacam kerenah masyarakat yang datang.

"Keadaan ini menjadi peluang terbaik bagi seseorang mahasiswa itu untuk berkomunikasi dan menyelesaikan masalah yang dihadapi sekali gus mengasah bakat kemahiran kendiri yang ada dalam dirinya,” katanya.

Penuntut Ijazah Kedoktoran (PhD) jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Fakulti Kejuruteraan ini berkata demikian, sewaktu diwawancara di PPV IPT Integrasi UTM bertempat di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM kampus Johor Bahru, baru-baru ini.

Mohd Affifudin berkata seharusnya tiada tanggapan negatif bahawa pelajar mudah dijangkiti virus Covid-19 jika bertugas sebagai sukarelawan di PPV universiti.

Seramai 87 mahasiswa di pelbagai peringkat pengajian kini bertugas sebagai sukarelawan di PPV IPT Integrasi UTM dengan waktu penugasan dibahagikan kepada dua shif iaitu 7.30 pagi hingga 3 petang dan 2 petang hingga 10 malam.

PPV IPT Integrasi UTM ini mula dibuka pada 19 Julai lalu dari jam 8 pagi hingga 9 malam dengan kapasiti suntikan mencecah 1,500 orang sehari.

Menurut Mohd Affifudin, penyertaan sebagai sukarelawan ini juga penting bagi membolehkan PPV yang dibuka dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti setempat yang datang untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Golongan mahasiswa juga boleh menganggap bahawa penyertaan sebagai sukarelawan ini adalah satu cara menabur bakti kepada masyarakat sekeliling sepertimana yang dilakukan ketika menyertai sesi khidmat komuniti anjuran universiti masing-masing,” ujarnya.

Pelajar semester dua itu berkata, komuniti mahasiswa digesa untuk membuang persepsi negatif dan mendaftar sebagai sukarelawan untuk berkhidmat di PPV yang dibuka di universiti masing-masing.

Jelas Mohd Affifudin, tanggapan bahawa menjadi sukarelawan di PPV menyebabkan pelajar senang dijangkiti Covid-19 tidak patut timbul dalam kalangan mahasiswa.

"Persepsi ini tidak seharusnya timbul kerana sebagai sukarelawan di PPV, kebajikan mereka terjaga dan sekiranya belum divaksin maka keutamaan akan diberikan bagi mendapatkan suntikan.

“Selain diberikan keutamaan untuk mendapatkan vaksin, golongan ini juga layak mendapat imbuhan dalam bentuk wang ringgit apabila menerima bayaran RM50 untuk setiap shif mereka bertugas,” katanya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok