WhatsApp Image 2021-07-05 at 2.27.04 PM
WhatsApp Image 2021-07-05 at 2.27.04 PM

‘Pengurusan universiti cakna pelajar, agih bantuan sepanjang masa’ – Perkongsian siswa UUM ketika PKPD

webadmin
05 Jul 2021 04:43pm
A
A
A

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini, memberikan pengalaman baharu kepada seluruh warga kampus, khususnya kepada pelajar yang berada di universiti.

Seorang mahasiswa Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Kamarul Muhaimin ketika ditemui berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu tentang pelaksanaan PKPD berkenaan.

Walaubagaimanapun, Kamarul menerima berita itu dengan tenang dan dia yakin serta percaya pengurusan universiti telah melakukan yang terbaik bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin.

“Saya berharap pandemik Covid-19 ini akan segera berakhir kerana saya ingin mengikuti kelas seperti sebelum ini dan menjalani kehidupan normal meskipun perlu mengadaptasi norma baharu seperti memakai pelitup muka," katanya.

Kamarul

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, Raja Mohd Arif Raja Ahmad Yusoff berkata, sepanjang pelaksanaan PKPD, dia dan rakan-rakan yang lain hanya berada di bilik masing-masing.

“Suasana agak janggal dan sunyi sahaja sepanjang tempoh tersebut, tetapi lama-kelamaan saya mula dapat menyesuaikan diri, selain perlu melakukan sekatan pergerakan kendiri bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pengurusan universiti yang telah membantu memudahkan urusan sepanjang berada di dalam kampus, bukan sahaja diberikan makanan percuma sebanyak tiga kali sehari termasuk makanan kering, malah turut dibantu oleh pengurusan Inapan Siswa dan Pusat Penginapan Pelajar (SAC) untuk mendapatkan barang keperluan harian atau barangan mentah,” katanya dengan menambah keprihatinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM turut dipuji kerana menjaga kebajikan pelajar dengan baik.

Raja Mohd Arif

Pengalaman dikuarantin

Dalam pada itu, mahasiswa Sarjana Muda Teknologi Media, Nur Syafiqah Azdha Mahamad Subri memberitahu, ini merupakan kali pertama dia terpaksa melalui pengalaman dikuarantin sebagai langkah pencegahan kerana mengalami gejala demam dan batuk.

Menurut Nur Syafiqah, sepanjang tempoh itu, dia melakukan pelbagai aktiviti seperti bersenam dan menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah memandangkan tiada sebarang aktiviti akademik yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan pentaksiran (tugasan, pembentangan kuiz dan sebagainya).

Nur Syafiqah Azdha

"Ini satu cabaran dan pengalaman baru untuk saya kerana bimbang dijangkiti Covid-19, namun alhamdulillah kerana saya tidak dijangkiti sebaliknya hanya mengalami demam dan batuk sahaja.

“Saya juga berterima kasih kepada pihak universiti kerana menjaga kebajikan kami dengan begitu baik sekali sepanjang berada di dalam kampus," ujarnya.

Wan Muhammad Syazwi Wan Abdul Rahman iaitu pelajar Sarjana Muda Sains Ekonomi yang sedang menjalani latihan industri di Pusat Kokurikulum berkata, pelajar yang menjalani latihan industri perlu berdepan dengan cabaran, bahaya dan pelbagai risiko yang berbeza walaupun mereka bekerja dari rumah (BDR).

Wan Muhammad Syazwi

"Walaupun bagaimanapun, cabaran ini tidak pernah memudarkan semangat saya untuk terus maju ke hadapan bagi menimba ilmu dan mencari pengalaman baharu untuk menamatkan praktikum dalam tempoh yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Sumbangan artikel: Pelajar Pelatih dari School Of Multimedia Technology & Communication (SMMTC), Raja Muhammad Faiz Raja Iskandar

 

 

 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok