a474d6e2-0a89-4dfe-8230-79fdd0aef67f
a474d6e2-0a89-4dfe-8230-79fdd0aef67f

Penyakit misteri memaksa gadis ini untuk berhenti belajar

A
A
A

Gadis cantik kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, ini merupakan alumni Fakulti Filem Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Perdana, Shah Alam.

Kehidupannya sebagai pelajar tidaklah seindah seperti pelajar-pelajar lain. Pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa dilalui malah dia terpaksa ‘berlakon’ untuk memperlihatkan dirinya seperti rakan-rakan yang lain.

Siapa sangka, di sebalik senyuman manis yang terpamer, tersembunyi seribu derita buat dirinya.

Kehidupan sepanjang bergelar pelajar, yang memaksa dirinya untuk jauh daripada keluarga sedikit sebanyak memberikan kesulitan buatnya untuk meneruskan pelajaran.

Jauh daripada insan tersayang bermakna hilanglah tempat mengadu duka yang ditanggung.

Itulah yang dialami, Nurul Nabilah Muhammad Nizam, 24, yang menderita penyakit misteri sejak sekian lama.

Paling sukar buat dirinya apabila dia terpaksa menyembunyikan penyakit misterinya daripada rakan-rakan bagi mengelakkan persepsi negatif.

Menjalani kehidupan dengan menahan kesakitan yang ditanggung semata-mata ingin menghabiskan pengajian tidaklah semudah yang disangka.

“Sebenarnya, saya mula sakit sejak saya di bangku sekolah rendah lagi, waktu itu saya darjah satu.

“Saya mula rasa pelik apabila satu hari saya muntah keluar lipan dan saya bertanya kepada ayah tetapi tiada jawapan.

“Sejak itu, banyak perkara-perkara pelik yang berlaku, hinggalah bila saya masuk darjah enam, kepala saya mula botak,” ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai penyakit misterinya itu, Nurul Nabilah menyatakan, pada mulanya dia hanya mengalami botak di bahagian tengah kepala dan kali kedua di bahagian depan hingga menyebabkan dia terpaksa memakai scaft untuk menutup botak tersebut.

Apa yang peliknya waktu itu, botak itu, melengkuk ke dalam dan di sekelilingnya ada rambut-rambut putih.

Pada masa yang sama, Nurul Nabilah turut merasai kesakitan di tempat (botak) tersebut dan bergantung kepada ubat-ubatan untuk meredakan dan mengawal kesakitan tersebut.

Akibat daripada pengambilan ubat tersebut, gigi Nurul Nabilah terhakis dan menjadi hitam.

Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, doktor pakar telah mengesahkan Nurul Nabilah menghidap Alopecia Areata dan Migraine tahap kronik.

Begitupun tiada penjelasan yang terperinci mengenai penyakit tersebut yang diperoleh.

“Pelbagai pemeriksaan telah dibuat termasuklah ct scan tetapi masih lagi tidak tahu punca lekuk yang terjadi di kepala saya ni.

“Disebabkan sakit yang teramat sangat, saya juga pernah buat rawatan Islam beberapa kali di Terengganu dan Negeri Sembilan dan kali terakhir rawatan sebelum pandemik Covid-19 melanda,” jelasnya.

Ketika ditanya, keadaan beliau apabila jauh daripada keluarga semasa zaman belajar dahulu, Nurul Nabilah menjelaskan dia cuba untuk menjalani kehidupan seperti pelajar-pelajar lain.

“Saya menjalani kehidupan sebagai pelajar sama seperti pelajar-pelajar lain. Pergi kelas macam biasa cuma adakalanya saya akan menangis sebab tak tahan.

“Tidak ada siapa yang tahu mengenai penyakit ini kecuali kawan rapat dan selepas tamat pengajian di fakulti filem, saya dan dua rakan lain menyambung pengajian di universiti yang berbeza.

Ketika inilah Nurul Nabilah berkata, waktu yang paling mencabar dan ketika pengajian memasuki semester kedua, disebabkan masalah kesihatan dan kewangan, dia membuat keputusan untuk menamatkan pengajian.

Menyentuh mengenai impiannya untuk menjadi seorang wanita yang berjaya, dia mengakui dirinya tidak patah semangat dan akan berusaha untuk mencapai cita-cita tersebut.

Mungkin rezeki sudah tertulis dia tidak dapat memegang segulung ijazah tetapi dia percaya apa yang berlaku ada hikmahnya.

Pesannya kepada pelajar-pelajar di luar sana, walau apa pun masalah yang dihadapi, tetapkan semangat untuk meneruskan pelajaran.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok