Untitled
Untitled

Penyelidik UTM menang tiga anugerah di iCAN 2021

Nor Azma  Muhamat Laila
28 Sep 2021 06:12pm
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pensyarah Sekolah Kejuruteraan Sains Bioperubatan dan Kesihatan (SKSBK), Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Ir Dr Malarvili Bala Krishan mengharumkan nama negara apabila memenangi anugerah penyelidikan berprestij di peringkat dunia.

Menerusi produk inovasi yang dikenali dengan nama iBreath, Dr Malarvili berjaya memenangi pingat emas, Anugerah Khas dan Anugerah ‘Leading Innovation Award’ di Pertandingan Inovasi Antarabangsa Tahunan (iCAN 2021) yang berlangsung di Toronto, Kanada.

Dr Malarvili bersama pasukan Biosignal Processing (BSP-RG) yang diketuainya dengan kerjasama Dr Teo Aik Howe dari Hospital Pulau Pinang telah mencipta peranti khas iBreath bagi penilaian dan pemantauan fungsi pernafasan.

Menurut beliau, peranti tersebut mengukur hembusan oksigen melalui saluran hidung serta menilai dan memantau fungsi pernafasan secara berterusan tanpa memerlukan pesakit melakukan banyak pergerakan.

"Bacaan pernafasan boleh diteliti pada skrin digital yang disediakan pada alat berkenaan. Sebagai peranti yang bersifat mesra pengguna, alat ini juga boleh diakses melalui telefon pintar yang dapat digunakan bagi tujuan keselesaan pengguna.

(Dari kiri) Dr Nadhira Dahari, Prof Madya Ir Dr Malarvili Bala Krishnan dan Dr Santheraleka Ramanathan dari SKSBK, UTM.

“Peranti ini bersifat mudah alih, ringan dan mudah digunakan di rumah atau di mana-mana pusat kesihatan. Ia dilengkapi dengan penyimpanan data kad USB/SD dan beroperasi dengan kuasa bateri cas semula,” kata beliau.

Sebagaimana peranti perubatan yang lain, alat ini telah melalui fasa ujian keupayaannya yang tersendiri sebelum memasuki fasa pembuatan dan pemasaran kepada pengguna.

Jelas Dr Malarvili lagi, buat masa ini iBreath mampu membezakan ciri pernafasan seperti asma, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Penyakit Paru Obstruktif Kronik (COPD) dan edema paru.

"Tiga ciri penting penggunaan peranti ini adalah mudah alih, tidak invasif (non-invasive) serta boleh diintegrasikan dengan aplikasi di telefon pintar. Penciptaan alat ini adalah sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 Malaysia (IR 4.0) di mana pertumbuhan ekonomi adalah disebabkan oleh penggabungan pelbagai sektor.

"Untuk menyesuaikan dengan keadaan pandemik Covid-19 kini, peranti ini akan dilengkapi teknologi bacaan pernafasan khas untuk pesakit Covid di masa akan datang,” katanya lagi.

Pengguna sedang menunjukkan bagaimana iBreath dihubungkan melalui saluran pernafasan hidung dan ciri pernafasan direkod sambil bernafas mengikut kadarnya sendiri, sementara hasilnya juga dipindahkan ke telefon pintar secara automatik.

Program iCAN 2021 kali ini diadakan melalui platform maya disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang tidak menggalakkan perjumpaan beramai-ramai secara bersemuka.

Walaupun dilaksanakan secara dalam talian, lebih daripada 650 hasil penyelidikan dari seluruh dunia telah dipamerkan.

Secara rasmi, sebanyak 70 buah negara telah mengambil bahagian dalam program ini sekali gus mencatat rekod penyertaan tertinggi berbanding dengan lima edisi penganjuran sebelum ini, bermula dari 2016 hingga ke 2020.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok