Perlu menghadiri temu duga universiti awam? Ini tip untuk panduan pelajar
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini sudah tentunya memberi hala tuju yang lebih jelas kepada laluan pengajian pelajar-pelajar ke peringkat yang lebih tinggi.
Dalam usaha membuat pelbagai pilihan pengajian, sudah tentunya ada pelajar lepasan SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi yang mendapat panggilan temu duga daripada mana-mana universiti awam (UA) bagi kemasukan sesi akan datang.
Sehubungan itu, Sinar Bestari kongsikan beberapa tip penting sebagai panduan menghadapi panggilan temu duga UA, hasil perkongsian daripada Pegawai Kaunseling Kolej Matrikulasi Johor, Faziha Diana Razib.
Ujar Faziha Diana, panggilan temu duga kemasukan ke UA (bergantung kepada pilihan program pengajian) yang dibuat ke atas calon lepasan SPM, STPM dan matrikulasi mempunyai tujuan yang tertentu.
"Antaranya ialah bagi mengetahui akademik dan pengalaman calon selain melihat personaliti, menilai motivasi dan keinginan, membuktikan kemahiran dan bakat serta menilai keperibadian dan sikap calon tersebut.
"Oleh itu, adalah penting untuk calon membuat persediaan rapi sebelum menghadiri sesi temu duga supaya mereka bersedia apabila berdepan dengan panel penemu duga dari UA," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Tip sebelum temu duga
Maklumat asas yang tepat
Calon dikehendaki untuk memastikan waktu, tarikh, masa dan tempat temu duga. Sekiranya terdapat perkara yang kurang jelas atau bercanggah, calon dikehendaki menghubungi penganjur atau universiti terlibat untuk mendapatkan maklumat yang tepat.
Membuat rujukan
Calon perlu bersedia dengan pengetahuan am tentang jurusan yang dipohon, mengetahui tentang organisasi dan maklumat mengenai universiti yang dipohon. Nilai tambah bagi calon yang bersedia dan mengetahui tentang hala tuju kerjaya dan peluang yang boleh dicapai melalui jurusan yang bakal diambil.
Mengenali potensi diri
Calon perlu mengenali bakat, akademik, kemahiran dan juga kelemahan diri. Biasanya calon tidak mengenali bakat dan kemahiran yang ada pada diri. Ini merupakan nilai tambah yang sangat membantu panel temu duga dalam memberikan markah lebih kepada anda.
Menyediakan dokumen
Memastikan semua dokumen yang diperlukan lengkap. Sila susun sijil mengikut turutan bermula daripada pendidikan tertinggi dulu dan kemudian yang terendah. Sila letakkan sijil seperti sijil pencapaian akademik di dalam fail untuk memudahkan panel membuat semakan.
Penampilan
Memastikan penampilan calon tampak profesional. Gunakan warna fabrik yang sejuk dan lembut. Pemakaian alat solek bagi calon perempuan juga seeloknya bersifat sederhana.
Tip semasa temu duga
Suara yang jelas
Memastikan suara calon didengari jelas oleh penemu duga. Buat latihan di hadapan cermin atau buat latihan bersama rakan-rakan.
Memberi respon yang baik
Memberi respon menunjukkan bahawa calon berminat dan memahami kehendak soalan. Dorongan minimum seperti anggukan, dan senyum juga merupakan salah satu contoh memberi respon yang baik.
Genuine (tulen)
Jujur dan jadi diri sendiri. Calon tidak perlu berpura-pura dalam menjawab persoalan yang diajukan.
Tumpuan kepada persoalan
Fokus pada persoalan yang diajukan oleh penemu duga. Perhatikan jenis persoalan yang ditanya, adakah soalan terbuka atau soalan tertutup. Soalan tertutup jawapannya bersifat pendek dan ringkas manakala soalan terbuka memberi peluang untuk calon menghuraikan lebih maklumat tentang persoalan yang diajukan.
Beradab
Sentiasa sopan semasa di dalam sesi temu duga, ketuk pintu dan memberi salam kepada penemu duga sebelum masuk dan juga sebelum anda beredar.
Tip selepas temu duga
Sentiasa mendapatkan info di laman sesawang.
Sentiasa berhubung dengan rakan-rakan, pensyarah dan kaunselor untuk mendapatkan maklumat. Calon juga dikehendaki untuk sentiasa melihat info-info terkini di laman sesawang untuk mengelakkan daripada terlepas maklumat penting.
Artikel berkaitan
Risau untuk temu duga kerja? Lepasan pengajian baharu boleh ikuti langkah mudah ini
4 tip pilih warna pakaian ke temu duga
Panik semasa temu duga dalam talian? Dr Zulkifli kongsi tip penting yang boleh dipraktikkan