Picture8
Picture8

Pernas anjur Program Jejak Cemerlang, sasar peningkatan keputusan cemerlang pelajar SMK Seri Pantai

Adlan Farhan Azwan
09 Feb 2022 01:52pm
A
A
A

BANGSAR – Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) meneruskan usaha dalam melaksanakan penganjuran Program Jejak Cemerlang bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Program yang telah memasuki tahun kelima ini diteruskan semula di mana penganjuran terakhir diadakan pada tahun 2018.

Penganjuran program pada tahun ini melibatkan seramai 150 orang pelajar Tingkatan Lima sekolah tersebut yang diadakan selama dua hari iaitu pada 27 dan 28 Januari 2022 bertempat di Menara Pernas.

Baca juga

SK Taman Megah dan Sekolah Antarabangsa Tanarata harumkan nama Malaysia

Penutupan sekolah adalah langkah terakhir - Khairy

Program ini memberi pendedahan teknik menjawab soalan peperiksaan yang tepat selain berkongsi tip bagaimana untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam bidang akademik.

Melalui program ini, tenaga pengajar yang terdiri daripada guru cemerlang di sekitar Lembah Klang dibawa khas untuk membantu para pelajar bagi memperkasakan lagi penguasaan dalam subjek teras seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Islam.

Pada hari pertama program, para pelajar terlebih dahulu diberi peluang menyertai sesi motivasi bersama Ustaz Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz sekali gus membina semangat juang agar menyedari kepentingan pelajaran dalam kehidupan masa kini serta membina sahsiah diri yang baik dan terpuji.

PU Riz menyampaikan ceramah motivasi kepada pelajar SMK Seri Pantai.

Semenjak program ini dilaksanakan pada tahun 2015, terdapat peningkatan konsisten bagi Gred Purata Sekolah (GPS) SMK Seri Pantai.

Pada penganjuran tahun 2018, sekurang-kurangnya 80 peratus pelajar lepasan SPM yang mengikuti program Jejak Cemerlang berjaya melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang dan kemahiran di universiti dan kolej.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | Youtube | Tiktok

Menurut Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Francais Pernas, Mazlan Ibrahim, program ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak Pernas bagi membantu pelajar memperoleh keputusan cemerlang dan meningkatkan prestasi akademik pelajar SPM SMK Seri Pantai, sekali gus mendukung hasrat negara untuk berkembang maju melalui bidang pendidikan.

Para pelajar SMK Seri Pantai.

“Usaha ini dilihat bukan sahaja mengukuhkan lagi hubungan baik antara Pernas dan SMK Seri Pantai yang merupakan sekolah angkat Pernas sejak tahun 2012, tetapi membuktikan kami tidak pernah berhenti dalam memastikan para pelajar ini terus mendapat peluang pendidikan terbaik,” katanya.

Program Jejak Cemerlang merupakan program CSR pertama yang dijalan pada tahun ini dan antara program CSR lain yang bakal dilaksanakan Pernas ialah Program Asnafpreneur, Bakul Rezeki dan Back To School.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok