photo1634835788 (4)
photo1634835788 (4)

Catatan penuh Cikgu Mohd Nasir sepanjang Program Pertukaran Guru di Thailand. Sebuah pengalaman berharga!

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
25 Oct 2021 12:59pm

Peluang mengikuti Program Pertukaran Guru di Thailand baru-baru ini, memberi pengalaman yang luar biasa buat Cikgu Mohd Nasir Zakaria.

Beliau yang merupakan guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(2), Wilayah Persekutuan Putrajaya berkata, program itu sangat bermakna kepada setiap peserta yang melaluinya.

“Ia merupakan program perkongsian kepakaran dan ilmu pengetahuan dengan pihak di Thailand.

“Bukan sahaja mengetahui lebih mendalam hal berkaitan pendidikan, tetapi pengetahuan berkaitan budaya, tatacara kerja, sikap dan corak kehidupan sesuatu tempat kita bertugas turut dikongsi,” katanya kepada GPSBestari.

Sebagai perkongsian untuk pembaca portal ini, Cikgu Mohd Nasir menulis sedikit catatan sepanjang mengikuti Teacher Exchange Programme (TEP 2019) anjuran KHURUSAPA Teaching Council of Thailand.

Sebagai delegasi pendidikan maka layanan kita terima lebih baik daripada sekadar melancong semata-mata.

Mari ikuti perjalanan menarik beliau sepanjang berada di sana.

1) Negara jiran

Umum mengetahui negara jiran, Thailand, sememangnya kaya dengan aspek budaya terutamanya di bahagian Selatan seperti Krabi dan Pattani yang sering menjadi destinasi pengunjung tempatan terutamanya pada musim sekolah.

Namun pengalaman saya bertugas dan mengajar di bahagian Utara negara tersebut, jelas menunjukkan kekayaan budaya negara gajah putih ini dari aspek kebudayaan dan sebagainya.

Ditugaskan mengajar di tiga buah sekolah iaitu Maryvit Pattaya, Thailand, Maryvit Bowin dan Maryvit Sattahip, ia bukan sahaja memberikan satu pengalaman baharu dalam dunia pendidikan tetapi saya turut berpeluang melihat sendiri pelbagai corak kehidupan yang sangat menarik untuk dipelajari.

Jika perjalanan kita ke Thailand semata-mata untuk melancong maka kita akan dilayan sebagai pelancong. Namun jika kita ke Thailand sebagai delegasi maka kita akan mendapat pelbagai kelebihan dan layanan yang lebih baik melalui program rasmi anjuran organisasi yang diiktiraf oleh Kementerian, Kesatuan Guru dan sebagainya.

Baca juga

Mahu sambung ijazah sarjana, ini 22 perkara yang perlu pelajar peka dan beri perhatian

Tip skor A subjek Fizik SPM, Cikgu Nurul Husna kongsi rahsianya

2) Aktiviti program

Setibanya di Maryvit Educational Center, saya telah disambut oleh murid-murid, guru-guru serta barisan pentadbiran dan diperkenalkan kepada semua.

Selain Gajah Putih, Thailand turut digelar sebagai The Land Million Smiles yang membawa maksud mereka sememangnya mesra pelawat yang mengunjugi negara mereka. Apatah lagi kehadiran saya sebagai wakil negara Malaysia merupakan satu lawatan rasmi. Sikap ingin tahu jelas terpampar di wajah mereka.

Sebuah sekolah memiliki 4,000 pelajar yang datang daripada pelbagai lapisan pendidikan yang berbeza iaitu peringkat sekolah tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Sekolah ini juga mempunyai empat cawangan yang berbeza lokasinya dan setiap sekolah mempunyai 4,000 murid.

Dalam erti kata lain sekolah ini memiliki hampir 15,000 pelajar. Walaupun dikategorikan sebagai sekolah swasta namun polisi kerajaan Thailand menggalakkan penubuhan sekolah seperti ini. Pihak sekolah akan menerima insentif berdasarkan bilangan murid dan pelajar yang mendaftar.

3) Jati diri bangsa Thailand

Pada setiap pagi, murid-murid akan menghadiri perhimpunan seawal 7 pagi. Ia akan dimulakan dengan senaman dan dibimbing guru-guru. Ibu bapa turut terlibat sebagai sukarelawan yang berminat melalui Parent Teacher Association (PTA). 

Seperti di Malaysia, mereka juga akan menyanyikan lagu kebangsaan sebagai tanda patriotik yang tinggi. Di samping itu, mereka juga akan menyanyikan lagu 12 sikap baik yang harus diikuti oleh semua warga sekolah dan merupakan salah satu nilai yang perlu diterapkan dalam menjadi warganegara yang baik.

Melalui program ini juga, kita akan dapat berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan guru di negara ASEAN khususnya dengan negara yang berjiran dengan kita.

Dikerumuni oleh murid-murid yang ingin mengetahui siapa saya yang hadir ke sekolah mereka. Murid-murid sudah terbiasa menerima pelawat kerana polisi mereka hendak menjadikan murid-murid yang faham akan budaya antarabangsa dan memiliki jiwa yang kental di peringkat lokal dan global.

4) Perkongsian dengan guru

Persediaan sudah dilakukan untuk saya kongsikan pengalaman mengajar dengan rakan guru di Maryvit Education Center.

Saya diminta untuk memberikan bengkel kepada semua guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Saya juga berpeluang memberikan maklumat berkenaan sukan yang berpotensi untuk di bawa ke antarabangsa iaitu sukan ragbi. Sukan ragbi sememangnya antara sukan yang popular hari ini.

Bengkel yang diadakan juga sangat bermanfaat kepada semua guru kerana mereka sangat teruja untuk mendalami dengan lebih lanjut berkenaan sukan ini.

Peluang untuk mereka mempelajari dengan lebih lanjut adalah dengan menghadiri kursus-kursus anjuran badan sukan di setiap negara masing-masing kerana sukan ini merupakan sukan yang turut di pantau oleh badan sukan dunia.

Guru-guru sangat teruja dengan program bengkel yang dikendalikan kerana mampu memberikan mereka ilmu pengetahuan yang baharu.

Sementara itu, bilik darjah sememangnya menjadi tumpuan utama pendidikan kerana di sanalah pembelajaran formal dijalankan. Keadaan yang selesa dalam erti kata kondusif memainkan peranan penting bagi memastikan murid dan pelajar dapat belajar dengan baik.

Teknologi yang bertujuan untuk menyempurnakan proses penyampaian proses pengajaran dan pembelajaran dapat menambahkan keupayaan murid untuk memahami sesuatu mata pelajaran yang diajar oleh guru.

Sememangnya ini akan memberikan impak yang besar di dalam pencapaian murid-murid di dalam akademik. Sehebat mana pun seseorang guru itu, istilah hebat itu hanya akan ditakrifkan sebagai keupayaan memberikan satu bentuk PdPC yang menarik melalui sokongan bahan bantu mengajar yang bersesuaian.

Dalam hal ini teknologi memainkan peranan penting di dalam penyampaian PdPC yang berkesan. Adalah diharapkan pada suatu hari nanti Malaysia juga dapat mengamalkan atau mengimplementasikan penyebaran alat teknologi secara meluas.

5) Aktiviti bersama murid-murid

Aktiviti bersama murid-murid merupakan satu perkara yang sangat dinanti-nantikan kerana mereka merupakan asas sesebuah sekolah atau institusi pendidikan. Penerimaan murid amat memberangsangkan kerana mereka didedahkan dengan konsep latihan yang terkini. Konsep pengajaran baharu dalam kejurulatihan merupakan konsep yang baik dan mudah difahami.

6) Latihan sukan yang menyeronokkan dan mudah

Konsep latihan yang saya lakukan adalah berdasarkan kepada latihan yang telah saya terima semasa menghadiri kursus kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan United States Sport Academy USSA.

Pendekatan yang digunakan adalah dengan mengaplikasikan motivasi dalam melakukan aktiviti sukan secara berpasukan. Melalui pendekatan ini murid-murid akan memberikan tumpuan semasa menjalankan aktiviti latihan kerana mereka seronok melakukan latihan bersama-sama rakan yang lain.

Terdapat juga idea pertandingan yang menggalakkan mereka bersaing dalam sesuatu aktiviti secara sihat dan paling penting ialah aktiviti seumpama ini turut diakui oleh guru yang mengikuti latihan kerana ia sangat mudah untuk dilaksanakan. Ia juga sangat sesuai dilakukan oleh peringkat umur yang berbeza sama ada di peringkat tadika, pra sekolah, sekolah menengah bahkan guru-guru sendiri.

7) Pengiktirafan dari badan sukan negara Thailand

Program ini bukanlah program yang kosong tetapi memenuhi standard yang diperlukan oleh seorang jurulatih yang berpengalaman dan berpengetahuan di dalam bidang yang diceburi. Sikap profesionalisme dalam menonjolkan diri semasa bergelar delegasi negara ke luar negara merupakan salah satu daripada asas kekuatan program.

Badan induk Persatuan Sukan Thailand juga mengiktiraf latihan yang saya sampaikan ini melalui posting Facebook mereka yang menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada inisiatif dan usaha yang dilaksanakan dalam memperkenalkan sukan yang bertaraf anatarabangsa ini.

7.1) Thailand Rugby Union

Pengurusan tertinggi Thailand Rugby Union turut menyatakan bahawa usaha seumpama ini sangat baik diteruskan pada masa hadapan untuk memberikan peluang kepada lebih ramai pihak mengambil bahagian di dalam sukan tersebut.

Usaha yang dilakukan adalah sangat baik dan berkesan kerana dapat meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran sukan tersebut. Usaha ini juga turut dapat mempromosi gaya hidup sihat yang perlu ada dalam memastikan bahawa murid-murid daripada segenap lapisan berupaya menjalani gaya hidup sihat secara konsisten.

Usaha ini juga perlu digalakkan oleh pihak-pihak tertentu yang melihat dari aspek positif bahawa penyertaan murid di dalam akiviti sukan perlu dimulakan sejak kecil lagi. Bukan sahaja begitu namun berupaya memberikan impak positif kepada hubungan dua hala kedua-dua buah negara. Sukan berupaya memberikan galakan kepada semua untuk aktif dan sihat dari segi aspek mental dan fizikal.

8) Saranan kepada guru-guru Malaysia

Guru-guru di Malaysia perlu mengambil bahagian dengan mencabar diri mereka keluar dari zon selasa mereka dan menyertai Program Pertukaran Guru yang rasmi dengan kerjasama KPM. Dan badan atau organisasi pendidikan yang diiktiraf.

Usaha seperti ini akan menggalakkan mereka untuk melihat dan berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan guru di negara ASEAN.

Melalui pengalaman yang diperolehi, mereka akan menjadi semakin matang dalam bidang yang mereka ceburi atau minati. Bidang pendidikan sangat luas di mana pengayaan bakat dan pengalaman perlu dilakukan dengan terlibat aktif di dalam aktiviti atau peluang yang ditawarkan. Pengalaman yang diperolehi adalah sangat berharga.

Sentiasa bersikap matang dan berfikiran terbuka dan menerima perbezaan pendapat adalah kunci sesuatu perkara dapat dilaksanakan dengan baik. Kita juga perlu berupaya memberikan pendapat kepada pihak yang berupaya menjalani proses atau program bagi sesuatu kerjasama yang hendak dijalankan. Sentiasa berfikiran positif dan menunjukkan minat tentang sesuatu supaya pihak lain tidak berasa kecil hati. Gunakan pendekatan diplomasi di dalam setiap perkara yang hendak disampaikan. Diplomasi merupakan salah satu pendekatan yang baik di dalam usaha kita hendak melakukan sesuatu yang memerlukan kita berkerjasama dengan pihak lain.

9) Ijazah perjalanan

Pengalaman yang dikongsikan kelak dapat memberikan dorongan kepada rakan-rakan sebagai satu motivasi untuk memajukan diri dalam lapangan masing-masing. Tujuan ini sangat baik dijadikan panduan kepada semua kita supaya mengamalkan sikap yang positif terhadap perbezaan budaya merupakan peluang untuk kita memajukan diri dan bukannya ancaman.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp