HomeGen ZPupuk semangat patriotik. Pendedahan bidang kepolisan pada peringkat sekolah menengah

Pupuk semangat patriotik. Pendedahan bidang kepolisan pada peringkat sekolah menengah

Pasukan Kadet Polis atau lebih dikenali sebagai Kor Kadet Polis mampu membentuk keperibadian golongan remaja dalam memiliki semangat patriotik dan disiplin tinggi.

Badan beruniform Kor Kadet Polis peringkat sekolah menengah juga akan bertindak sebagai telinga dan mata kepada sekolah serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membendung salah laku dalam kalangan para pelajar.

Justeru, Kor Kadet Polis merupakan antara badan beruniform yang agak istimewa dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Sinar Bestari merungkai rahsia penglibatan tiga pelajar sekolah menengah dalam badan beruniform Kor Kadet Polis.

Jom kita lihat perkongsian Nik Fatin Shamiera Mohd Nor Asikin, Sharifah Damia Batrisha Syed Mohd Soupi dan Muhammad Affiq Aiman Abdul Halim.

1.Nik Fatin Shamiera Mohd Nor Asikin

Ketua Platun Kor Kadet Polis (Perempuan) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Megah 2, Shah Alam, Nik Fatin Shamiera berkata, dia tertarik dengan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan pasukan beruniform berkenaan.

Pelajar Tingkatan Lima itu memberitahu, antara aktiviti menarik yang ditonjolkan dalam Kor Kadet Polis termasuk kawad kaki, buka dan pasang senjata, menembak dan banyak lagi.

“Bagaimanapun, sebagai pelatih Kor Kadet Polis, saya perlu sentiasa menjaga disiplin dengan mematuhi peraturan dan undang-undang terutama apabila berada di dalam kawasan sekolah.

“Dalam Kor Kadet Polis juga diterapkan semangat kerjasama berpasukan agar sentiasa bantu-membantu dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Nik Fatin Shamiera

Nik Fatin menambah, SMK Alam Megah 2 pernah merangkul naib johan dalam pertandingan kawad kaki peringkat sekolah daerah Petaling Perdana baru-baru ini.

Ujarnya lagi, sebagai pelatih Kor Kadet Polis, mereka juga perlu memiliki fizikal dan mental yang baik.

“Sebagai contoh, apabila terdapat pertandingan kawad kaki, kita akan menjalani latihan berterusan untuk memastikan keserasian dapat dicapai ketika berkawad.

“Dalam tempoh masa yang agak lama, para pelatih perlu memiliki ketajaman pendengaran dan stamina tinggi kerana bukan sahaja perlu berdiri lama tetapi mematuhi segala arahan diberikan ketika berkawad,” katanya.

Dia yang menyimpan cita-cita menjadi seorang anggota polis terpaksa melupakan impian berkenaan kerana tidak memiliki ketinggian ditetapkan untuk memasuki badan beruniform tersebut.

Tuturnya, ia sama sekali tidak melemahkan semangat untuk terus berbakti dalam Kor Kadet Polis di peringkat sekolah menengah.

2.Sharifah Damia Batrisha Syed Mohd Soupi

Pengerusi Kor Kadet Polis Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu, Sharifah Damia Batrisha berkata, penglibatannya dalam unit beruniform berkenaan bukan sahaja kerana dapat mendisiplinkan diri, malah mempelajari banyak perkara termasuk mengenai bidang kepolisan.

Selain memiliki disiplin tinggi, pelajar berusia 17 tahun itu memberitahu, untuk menjadi kadet polis yang baik, seseorang itu perlu memiliki sifat bertanggungjawab, amanah dan boleh dipercayai.

Sharifah Damia

“Terdapat banyak aktiviti yang boleh disertai apabila menjadi Kor Kadet Polis temasuk dapat menyertai kawad kaki pada peringkat tertinggi, sekali gus melatih diri supaya menjadi seorang beretika.

“Sebagai seorang Pengerusi Kadet Polis, ia juga dapat melatih diri supaya menjadi ketua yang berdisiplin,” ujarnya.

Sharifah Damia yang menyimpan impian menjadi pensyarah itu menambah, dia menjalani latihan satu setengah jam setiap hari Selasa, malah melakukan latihan tambahan jika mempunyai kelapangan.

Tutur anak bongsu daripada empat beradik yang pernah mewakili pertandingan kawad kaki ke peringkat negeri itu, latihan berterusan dalam Kor Kadet Polis dapat membentuk jati diri para murid pada peringkat awal.

3.Muhammad Affiq Aiman Abdul Halim

Ketua Platun Kor Kadet Polis (Lelaki) SMK Alam Megah 2, Shah Alam, Muhammad Affiq berkata, dia mula meminati Kor Kadet Polis apabila melihat kawad kaki.

“Disiplin tinggi yang dipersembahkan semasa kawad kaki menarik minat saya untuk menyertai Kor Kadet Polis.

“Selain itu, apabila menyertai unit beruniform ini, ia juga melatih dari aspek jasmani, emosi dan intelek para pelatih,” katanya.

Muhammad Affiq Aiman

Muhammad Affiq yang berusia 16 tahun menjelaskan, melalui pasukan beruniform itu, para pelajar turut diberi pendedahan dan kefahaman mengenai tugas-tugas kepolisan serta penguatkuasaan undang-undang yang merupakan aspek penting kepada masyarakat.

Katanya lagi, sebagai pelatih Kor Kadet Polis, dia berkesempatan untuk menabur bakti kepada masyarakat dengan menyertai gotong-royong dan sebagainya.

Artikel berkaitan

Dulu Komander Perbarisan, kini Pegawai Kanan Polis. Tahniah Nuraida Shafiza, kami bangga dengan anda!

Aktiviti kokurikulum bantu bentuk kemahiran insaniah pelajar

Alumni PALAPES UniMAP bantu pegawai kadet tingkatkan kecemerlangan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok