Pusat Perhubungan Alumni UPM santuni Anak-Anak Yatim & Miskin Rukaiyah
Pusat Perhubungan Alumni UPM santuni Anak-Anak Yatim & Miskin Rukaiyah

Pusat Perhubungan Alumni UPM santuni Anak-Anak Yatim & Miskin Rukaiyah

Azliyana Sulaiman
30 Apr 2021 04:14am
A
A
A

KAJANG - Biarpun dibelenggu wabak pandemik Covid-19, namun ihsan sesama insan terus dijalankan demi kesejahteraan sejagat.

Inilah yang dilakukan Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Perhubungan Alumni yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Arifin Abdu.  

Pusat Perhubungan Alumni itu telah menyalurkan sumbangan berupa makanan, pakaian dan juga peralatan persekolahan serta barangan untuk persediaan menyambut Aidilfitri kepada anak-anak yatim dan miskin di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim / Miskin Rukaiyah Sungai Merab Luar, Kajang pada Jumaat.

Dr Arifin berkata, sumbangan diperolehi daripada derma pihak perseorangan, syarikat dan juga kutipan amal yang dijalankan oleh  Pusat Perhubungan Alumni di kalangan staf UPM dan juga alumni UPM sendiri.

“Program Musaadah Ramadan pada tahun ini disertakan dua buah aktiviti iaitu Tautan Mahabbah yang berfokus kepada rumah-rumah kebajikan dan Mawaddah Ramadhan kepada pelajar UPM yang memerlukan,” katanya.

Dr Abdul Rahman (dua dari kiri) menerima sumbangan hasil kutipan daripada staf UPM, alumni dan orang perseorangan. Cek disampaikan oleh Dr Arifin (dua dari kanan).

Sementara itu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof Madya Dr Arba’ie Sujud berkata, Tautan Mahabbah yang diadakan setiap tahun itu kebiasaannya diraikan di UPM sendiri dengan menjemput anak-anak yatim dan miskin.

“Namun akibat wabak pandemik Covid-19, Tautan Mahabbah kali ini tetap diteruskan dengan cara, Pusat Perhubungan Alumni mengenal pasti rumah anak-anak yatim & miskin untuk disalurkan bantuan bagi mengelakkan berlakunya perhimpunan ramai,” katanya.

Katanya, sumbangan yang diberikan adalah dengan melihat keperluan pusat tersebut untuk menjalani operasi mereka dan melihat keperluan anak-anak merasai keindahan dan kemeriahan Ramadan dan seterusnya Aidilfitri. Ini juga antara aktiviti di bawah UPM Prihatin dengan sama-sama memikul tanggungjawab memastikan anak-anak yatim dan asnaf terbela nasib mereka.

Pihak pengurusan Rumah Anak-anak Yatim & Miskin Rukaiyah yang diwakili Pengerusi, Dr Abdul Rahman Kurais berkata, mereka mewakili anak-anak mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan. Sekurang-kurangnya mereka dapat merasai kemeriahan Ramadan dan Aidilfiri yang bakal menjelang.

Katanya, sumbangan dan derma daripada pihak luar amatlah digalakkan untuk memastikan operasi pusat terus berjaya dengan sempurna dan dapat memastikan nasib anak-anak terus terbela.

Rumah Anak-anak Yatim & Miskin Rukaiyah dihuni 11 lelaki dan 22 perempuan dengan 12 penjaga. Anak-anak ini berumur dalam lingkungan 10 hingga 17 tahun yang datangnya daripada keluarga kurang berkemampuan dan kurang bernasib baik.

Artikel menarik    

Bentang aplikasi mudah alih 'Go English Writing' di Turki, dua guru KV Keningau bukti kemampuan diri

6 tip sahur ini bantu kekal bertenaga sepanjang hari, guru dan pelajar boleh cuba nanti

      

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok