STPM
STPM

Rabun bukan penghalang Niki raih keputusan cemerlang dalam STPM

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
19 Aug 2022 02:52pm

Walaupun mengalami masalah rabun sejak lahir, Niki Amirul Zimi, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, Kelantan tidak pernah menjadikan kekurangannya itu sebagai penghalang untuk meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia tidak menyangka akan memperoleh keputusan dengan nilai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92 dalam lima mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, Ekonomi dan Geografi.

Tambahnya, sepanjang tempoh pembelajaran dia terpaksa mengulang kaji bahan bacaan dalam jarak yang dekat akibat masalah rabun yang dihadapinya itu.

“Memandangkan saya mengalami masalah rabun sejak lahir, ia telah menjejaskan penglihatan saya untuk membaca dan ketika memberi tumpuan dalam kelas.

“Satu-satunya kaedah yang saya gunakan adalah membaca dalam jarak dekat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Niki yang turut menghidap penyakit Albino menjelaskan dia tidak mempunyai jadual tetap untuk mengulang kaji pelajaran dan hanya mengikut kemampuan diri.

"Kebiasaannya, saya hanya ulang kaji pelajaran sekitar tiga jam sehari, sekiranya kepenatan, saya tidak akan memaksa diri kerana ia akan mengakibatkan tekanan kepada saya yang mana fokus penglihatan juga mungkin terjejas.

"Saya bersyukur kerana guru, rakan-rakan dan kedua ibu bapa tidak pernah berputus asa memberi semangat dan dorongan sehingga saya berjaya meraih kejayaan pada hari ini,” jelasnya.

Dia juga berkata, keputusan cemerlang dalam STPM 2021 telah membuktikan kekurangan yang ada pada dirinya bukanlah satu penghalang untuk dia mencapai kejayaan.

“Saya ingin berpesan kepada golongan yang kurang bernasib baik seperti saya untuk sentiasa berfikiran positif walaupun ditakdirkan mempunyai kekurangan daripada orang lain kerana setiap insan itu mampu berjaya sekiranya ada usaha,” ujar Niki.

Artikel berkaitan

Gigihnya berusaha, anak buruh kasar raih PNGK 4.00 dalam STPM 2021

Keputusan STPM 2021 catat peningkatan 0.01 mata berbanding tahun sebelumnya

Anak pesara raih Anugerah Pelajaran Diraja, kini diserap bekerja sebagai jurutera


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp