WhatsApp Image 2021-12-02 at 4.09.08 PM
WhatsApp Image 2021-12-02 at 4.09.08 PM

Rangkul 2 anugerah utama, UTeM kongsi rahsia kejayaan mereka

Roshlawaty Md Raieh
06 Dec 2021 04:08pm
A
A
A

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah dinobatkan sebagai juara Cabaran Niaga Francais Malaysia 2021 dan turut memenangi anugerah Video Montaj Terbaik di Malaysia Franchise Awards 2021.

Program yang berlangsung di Putrajaya itu merupakan anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Kejayaan UTeM sebagai juara menerusi jenama Apai Mobile Repair Centre membawa pulang RM20,000 bersama geran perniagaan Francais berjumlah RM100,000, trofi dan sijil penyertaan manakala bagi video montaj terbaik pula melayakkan mereka menerima RM500.

UTeM diwakili oleh Mohammad Muadzan Abd Rahman, 24, pelajar Ijazah Sarjana Muda Mekatronik dengan Kepujian dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) yang merupakan Pengasas Apai Mobile Repair Centre bersama Muhammad Syafiq Abd Talib, 21, pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Automatif), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).

Kumpulan ini adalah di bawah bimbingan Pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) yang juga Pengarah Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE), UTeM, Dr Isma Addi Jumbri.

Dr Isma berkata, ini merupakan detik bersejarah buat UTeM dan para peserta kerana julung kalinya UTeM menyertai dan seterusnya merangkul johan di Malaysia Franchise Awards 2021 yang dianjurkan MFA dengan kerjasama KPDNHEP.

Baca juga Pelajar UniMAP raih naib johan Cabaran Niaga Francais 2021

Baca juga 5 filem menarik yang boleh ditonton guru dan pelajar. Ini senarainya!

Jelas beliau, kejayaan ini membuktikan pelajar kejuruteraan mampu berjaya dalam bidang keusahawanan apatah pula bila ditambah dengan bimbingan dan perkongsian kepakaran dalam bidang perniagaan serta keusahawanan.

Menyentuh mengenai impak projek Apai Mobile Repair Center ini kepada nasional dan dunia, beliau menyatakan projek perniagaan ini sudah tentu mempunyai peluang besar untuk dikembangkan melalui model francais dan berkembang ke pasaran global.

“Hal ini membuktikan bahawa pelajar UTeM yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan ini turut menjadi elemen penyumbang kepada kebolehpasaran graduan dan bertindak sebagai penjana pekerjaan sepertimana yang dihasratkan oleh  Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” ujarnya lagi dalam satu kenyataan.

Perancangan selepas ini, Apai Mobile Repair Centre yang terletak di Bandar Bestari Jasin akan berkerjasama dengan CREATE bagi melatih pelajar-pelajar UTeM yang berminat untuk membuka perniagaan membaiki telefon bimbit melalui konsep francais khususnya bagi para pelajar dalam kumpulan B40 dan ke bawah.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/ 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar pula berkata, kejayaan siswa UTeM ini jelas mempamerkan kejayaan universiti melahirkan mahasiswa yang seimbang dan holistik.

Katanya, universiti sentiasa dan terus memberikan sokongan dan melihat kepentingan aspek keusahawanan merupakan agenda negara dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Kejayaan ini menyerlahkan UTeM mampu menjana mahasiswa aliran kejuruteraan turut berdaya saing hebat dalam arena perniagaan dan keusahawanan yang bukan hanya di peringkat nasional malahan berpotensi menawan pasaran dunia,” katanya lagi.

Anugerah tersebut diumumkan sewaktu majlis Malaysia Franchise Awards 2021 dan kedua-dua anugerah telah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi dan disaksikan Pengerusi MFA, Datuk Dr Radzali Hassan seterusnya detik bersejarah ini turut disaksikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok