Untitled (3)
Untitled (3)

RU rancakkan inovasi negara, hasilkan pelbagai produk inovasi berkualiti tinggi

Nor Azma  Muhamat Laila
23 Aug 2021 04:34pm
A
A
A

Bidang penyelidikan dan inovasi di negara ini dilihat semakin berkembang dari masa ke masa melalui sumbangan yang turut dibuat oleh institusi pendidikan seperti universiti penyelidikan (Research University – RU).

RU ialah universiti awam (UA) yang telah diiktiraf oleh jemaah menteri pada 11 Oktober 2006 untuk menjadi hab kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan.

Universiti berkenaan terdiri daripada lima buah UA iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Visi RU ialah mengambil bahagian yang aktif dalam penerokaan idea baharu, menguji kaedah yang inovatif dan mengambil inisiatif secara intelek untuk terus meneroka dan mengembang ilmu yang terkedepan.

Misi RU juga cukup jelas iaitu untuk menjadi enjin pertumbuhan bagi negara, membuka peluang bagi pelajar dan para sarjana bertukar fikiran juga melakukan penyelidikan dalam suasana yang kondusif, menyemarakkan eksplorasi dan kreativiti untuk meneroka ilmu serta menjana kekayaan, di mana akhirnya meningkat kualiti hidup.

Antara matlamat penubuhan RU ialah bertujuan meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) serta meningkatkan pengambilan pelajar pascasiswazah dan pascadoktoral.

ia juga bertujuan meningkatkan bilangan pensyarah yang mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD), mewujud dan memperkukuh Pusat Kecemerlangan serta mempertingkat pengambilan pelajar asing serta menaikkan kedudukan atau kedudukan universiti di peringkat antarabangsa.

Buat julung-julung kalinya pada tahun 2020, kelima-lima RU Malaysia menunjukkan peningkatan amat membanggakan berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila berada dalam kelompok 200 terbaik dunia berdasarkan pengiktirafan dibuat Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2021.

Bertepatan dengan topik yang diketengahkan GPSBestari pada minggu ini berkaitan inovasi, kami kongsikan maklumat mengenai lima RU di Malaysia yang turut memainkan peranan dalam menghasilkan pelbagai kajian dan produk inovasi.

 

 

 

UM

- Ditubuhkan pada 1 Januari 1962 dan diberikan autonomi oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 2012. Diterajui oleh Naib Canselor, Prof Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor.

- Dalam senarai terkini QS World University Rankings, UM berada di kedudukan ke-59 dunia, tangga ke-9 peringkat Asia, ke-3 (Asia Tenggara) dan pertama di Malaysia.

- Antara produk yang berjaya dihasilkan oleh penyelidik UM ialah inovasi stesen wuduk mudah alih serta fleksibel diberi nama Succi Wudu bagi memudahkan golongan kurang upaya mengambil wuduk.

 

 

USM

- Ditubuhkan pada 1969, dan pada awalnya USM dikenali dengan nama Universiti Pulau Pinang. Pada 1971, USM berpindah dari Malayan Teachers’ Training College, Bukit Gelugor, ke lokasinya pada hari ini.

- Naib Canselor USM ialah Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan. Pada 2008, USM menjadi universiti pertama di negara ini yang dipilih oleh kerajaan Malaysia untuk mengambil bahagian dalam Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX), program pantas yang membantu institusi pengajian tinggi mencapai status bertaraf dunia.

- USM menduduki tangga ke-142 dalam QS World University Rankings 2021 dan tangga ke-165 dalam QS World University Rankings 2020.

- Antara produk inovasi yang berjaya dihasilkan oleh penyelidik USM ialah Covid-TT atau Covid Transport-Tool. Produk yang dicipta oleh penyelidik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian ini boleh membantu melancarkan proses pemindahan pesakit Covid-19.

- Penyelidik USM juga pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila kajian spesies tiramnya berjaya menghasilkan benih berkualiti dan mampu memberikan hasil kira-kira 2,000 tiram dalam sebulan.

 

 

UKM

- UKM mula membuka pintunya pada 18 Mei 1970 kepada 192 pelajar siswazah di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur, sebuah kampus sementara yang menempatkan tiga fakulti utama, Fakulti Sains, Fakulti Kesenian dan Fakulti Pengajian Islam.

- Pada Oktober 1977, UKM berpindah ke premis yang beroperasi sehingga sekarang, yang membentuk kampus utama di Bangi.

- Naib Canselor UKM ialah Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman. UKM adalah universiti terbaik ke-160 di dunia mengikut QS World University Rankings 2020 dan menduduki tempat ke-98 dalam 100 universiti baru terbaik yang ditubuhkan dalam tempoh 50 tahun lalu.

- UKM juga menerima Anugerah Inovasi 2020 di bawah kategori Institusi Akademik oleh Clarivate.

- Antara produk inovasi yang berjaya dihasilkan oleh penyelidik UKM ialah minuman kesihatan Gynulin yang dapat mengatasi masalah ketidaksuburan akibat diabetes; MyB Ortho Shoes, MyB Air Walker dan MyB Muslim Prosthetic bagi membantu pesakit berjalan dengan sempurna dan Airborne IoT Network untuk memantau kualiti air di Tasik Chini, Pahang.

- UKM juga berjaya menghasilkan varieti padi baharu yang dikenali dengan nama UKMRC-2 dan UKMRC-8 melalui pendebungaan terkawal spesies padi liar.

 

UPM

- Ditubuhkan pada tahun 1931 sebagai Sekolah Pertanian. Kini, UPM berjaya menggabungkan kemudahan moden dan pendekatan penyelidikan yang dinamik dalam pengajian dan kajian serta didokong oleh perkhidmatan dan reputasi kejayaan yang cemerlang di persada antarabangsa.

- Naib Canselor UPM ialah Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman. UPM tersenarai dalam kedudukan ke-132 di dunia dalam pengiktirafan QS World University 2021, ke-33 dalam Best Asian University in QS Asia University Ranking 2021 dan tempat pertama di Malaysia dalam QS 2021 Top 50 Under 50.

- Antara produk inovasi yang berjaya dihasilkan oleh UPM ialah varieti baharu padi U-Putra, krim REMDII untuk kulit sensitif, Dekoponix untuk aktiviti pertanian moden menggunakan kaedah hidroponik dan biji benih jagung dikenali dengan nama Putra GenesTM.

 

UTM

- Pada awalnya ditubuhkan sebagai sekolah teknik dan beroperasi sepenuhnya sebagai universiti pada 1972 sehinggalah berjaya melahirkan ramai tenaga pakar dalam bidang teknikal dan profesional untuk industri pekerjaan.

- Naib Canselor UTM ialah Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

- UTM berada di kedudukan ke 101-200 secara keseluruhan dalam Times Higher Education (THE) University Impact Rankings 2020 dan ke-191 dalam QS World University Rankings by Subject 2021.

- UTM juga berjaya mendapat penarafan enam bintang dalam Malaysia Research Assessment Instrument (MyRA) 2021 Star Rating Award dan berada di kedudukan kedua di Malaysia bagi 2021 Webometrics Ranking of World Universities.

- UTM menerusi Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) berjaya mencipta produk dan pemindahan teknologi membran gentian untuk rawatan air.

- Selain itu, AMTEC UTM juga berjaya mencipta komponen alat hemodialisis yang mampu mencuci darah pesakit buah pinggang sebanyak 14 liter seminit, berbanding lapan liter seminit produk yang ada di pasaran dan dikenali dengan nama Home-grown Haemodialysis System.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok